PELANCARAN ANTOLOGI ANTI - PERANG ' LAKARAN & PUISI '

Pelancaran Antologi Anti-Perang -Lakaran & Puisi telah selamat dilangsungkan pada 12 April 2003 bertempat di Rumah YKP. Majlis yang diadakan secara seni ini telah diserikan dengan kehadiran para tokoh sastera seperti Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - Dato' A. Aziz Deraman, Pengarah Pusat Pengembangan Sastera DBP -Hamdan Yahya, Baha Zain, Suhaimi Muhammad, Dr Zakaria Ali, DJ Dolasoh, Onn Abdullah, Sabariah Bahari dan Amirul Fakir. Selain itu, antara pelukis yang turut menyokong acara adalah seperti Zainon Abdullah, Syed Mohd Syed Shahidin, Kamal Sabran, Yee Mok Sin, Noor Azizan Rahman Paiman dan Fairus Ahmad.

Luahan rasa seniman terhadap kemelut peperangan di Iraq telah dimanifestasikan dalam
bentuk bacaan dan deklamasi puisi, nyanyian serta ukiran plak yang disediakan oleh artis
seramik -Syed Mohd. Syed Shahidin. Bacaan puisi antiperang yang berkumandang sepanjang petang membuktikan protes secara kreatif para seniman.

Editor Penyelenggara antologi merangkap Pengerusi YKP -- Raja Ahmad Aminullah dalam kata pengantarnya berkata, " Sebagai seniman buku ini merupakan respons kita terhadap pencerobohan dan peperangan yang sekali imbas kelihatan terlalu besar dan boleh menjadikan kita berada dalam keadaan shock and awe, meminjam istilah yang digunakan oleh pihak yang mencetuskan peperangan ini. Keberadaan seniman samaada sasterawan, pelukis, pengarca, penggiat teater, tari mahu pun filem, adalah penting apatah lagi jika kita mengingati peranan seniman sebagai perakam atau pentafsir zamannya." , " Persoalannya bukanlah samaada respons seniman boleh merubah suasana atau menghentikan peperangan. Persoalannya ialah sejauh manakah sebagi seniman, nurani dan jatidirinya tergetar oleh peristiwa yang menyayat dan melululantakkan naluri kemanusiaan kita."

Antologi ini telah dikumpulkan dalam masa 7 hari daripada mula timbulnya ide tersebut pada 1 April 2003; akibat rasa terkilan yang amat sangat terhadap peristiwa peperangan yang semakin melarat. Kecepatan komunikasi sekarang merupakan faktor bantuan : tetapi rasa kemanusiaan dan jiwa besar para seniman telah memungkinkan kelahiran buku ini. Antara seniman yang menyumbangkan karya mereka adalah-A. Aziz Deraman, A. Samad Said, A. Samad Ismail, Amirul Fakir, Anwar Ridhwan, Baha Zain, Dinsman, Faisal Tehrani, Fairus Ahmad, Hamdan Yahya, Kamal Sabaran, LAT, Loo Win, Mansor Ghazalli, Marsli NO, Muhammad Haji Salleh, Mustapa Haji Ibrahim, Noor Azizan Rahman Paiman, Onn Abdullah, Rahimidin Zahari, Sabariah Bahari, Sharifah Zuriah Al-Jeffri, Shukri Abdullah, Siti Zainon Ismail, Suhaimi Haji Muhammad, Syed Ahmad Jamal, Tan Sei Hon, U-Wei Saari, Yee Mok Sin, Zainon Abdullah, Zakaria Ali dan ramai lagi.

Dihasilkan secara DIY, antologi sebanyak 118 mukasurat dengan kulit senicetak asli ini dijual pada harga RM 15 sahaja. Hasil jualan akan disalurkan kepada mangsa-mangsa peperangan. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi YKP di talian 05-5484150 atau faks 05-5484151. Edisi Terhad.

Kurator

Raja Ahmad, Pengerusi YKP berkunjung ke rumah Tn. Haji Mansor Ghazalli dalam usaha mengumpulkan sketsa bagi Antologi Anti-Perang, Lakaran & Puisi.

Raja Ahmad sedang mengambil catitan untuk dimuatkan dalam Antologi.

Fauzi Sedon sedang mencetak kulit Antologi.

Amirul Fakir selaku salah seorang editor sedang meneliti puisi.

PELANCARAN ANTOLOGI ANTI-PERANG, LAKARAN & PUISI PADA 12 APRIL 2003.

ANTARA SKETSA ANTOLOGI

Sketsa Mansor Ghazalli, LAT, Paiman, Dr.Zakaria Ali, Loowin.

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design