GEBANG SENI SUHAIMI HAJI MUHAMMAD

Profil :

Suhaimi Haji Muhammad dilahirkan pada 1934. Beliau mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah menggunakan pengantar bahasa Melayu dan Inggeris di negeri Perak, Malaysia hingga memperolehi sijil Cambridge Overseas School Certificate. Beliau juga pernah mempelajari bahasa Arab selama beberapa tahun.
Suhaimi juga mempelajari agama Islam yang merangkumi ilmu-ilmu Tauhid, Feqah, Tasawuf, Tajwid, Hadith, Tafsir dan lain-lain. Pernah mempelajari ilmu Tajwid secara khusus selama sepuluh tahun dan juga mempelajari ilmu lagu Al-Quran kerana bercita-cita untuk menjadi seorang qari yang baik. Pelajaran yang paling digemarinya ialah Tasawuf dan bacaan Al-Quran yang meliputi ilmu-ilmu Tajwid dan Tafsir.

Suhaimi berkelayakan menjadi guru agama sekolah rendah tetapi memilih menjadi guru biasa, lalu memasuki latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak dari tahun 1951 hingga 1954.
Beliau berpengalaman luas sebagai seorang guru di sekolah rendah dan menengah di negeri Perak dari tahun 1950 hingga 1975. Juga berpengalaman sebagai editor majalah kesusasteraan semasa berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur mulai tahun 1975 hingga 1989.
Suhaimi merupakan seorang penyair yang amat prolifik dan paling kontroversial dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, Malaysia. Semenjak karya sulungnya, sebuah cerpen tersiar dalam sebuah majalah bulanan di Singapura dalam tahun 1950, beliau menjadi penulis yang memegang teguh konsep dan stailnya sendiri. Meskipun beliau mula menulis dalam tahun 50an, beliau tidak terpengaruh dengan konsep gagasan dan stail penulisan penulis-penulis sezamannya. Malah, beliau adalah seorang penulis yang cuba keluar dari tradisi penulis-penulis zamannya.
Sebagai seorang penulis selama 46 tahun, Suhaimi telah berjaya menerbitkan 21 kumpulan puisi perseorangan mengandungi lebih daripada 1000 buah puisi yang terdiri daripada berbagai tema dan bentuk, di samping 3 buah kumpulan cerpen dan sebuah kumpulan kritik kesusasteraan. Sebagai seorang penyair, beliau pernah menegaskan bahawa beliau menolak realism kerana ia bukanlah hasil seni. Beliau juga pernah mengatakan bahawa, dia percaya pemikiran datang dari sakit dan bukan dari otak. Dalam kehidupan harian, beliau seorang yang selalu merendah diri sebagai orang biasa tetapi dalam penulisan, sikapnya berubah menjadi seorang yang tegas, berani dan serius.
Kebanyakan sajaknya adalah sukar untuk difahami dan dihayati pembaca termasuk dari kalangan pengkritik sastera, terutama karya-karyanya yang dihasilkan dalam tahun-tahun 1970an, 1980an dan 1990an. Antara buku puisinya ialah Jalan Ke Kotaku (1959); Tulisan di Kamar Tidur (1960); Lain Jiwa Lain Wajah (1960); Kelahiran Seorang Anak (1969); Bunga di Atas Batu (1970); Bumi Hijau (1971); Lilin Seinci (1980); Bulan Purnama (1981); Menganyam Bulan (1983); Siluet (1984); Menterjemah Bintang (1985); Tulang (1986); Alam Anggur (1987); Nyanyian Undan (1991); The Songs of Pelican (1992); dan Wujud (1996).
Karya-karyanya telah dibicarakan dengan meluas samaada oleh pengkritik sastera, para sarjana, penulis, guru-guru dan pelajar. Berbagai-bagai pemikiran dan pendapat timbul daripada perbincangan tersebut, samaada menyokong atau menolak karya dan pemikirannya. Berikut ini merupakan sebahagian daripada kesimpulan yang pernah dikemukakan :-
Dr. A. Rahman Hanafiah, seorang pengkritik sastera dan dramatis, menganggap Suhaimi sebagai pelopor yang bertanggungjawab membawa aliran surealisme ke dalam kesusasteraan Melayu Malaysia. Dr. Ramli Isin, seorang pengkiritik sastera menganggap Suhaimi sebagai reformis dalam perkembangan teknik perpuisian di Malaysia. Dr. Anuar Nor Arai, seorang pengkritik sastera dan filem, dan penulis drama menganggap Suhaimi sebagai seorang surealis dan juga "ahli sihir" dalam kesusasteraan Malaysia. Kerana karya surealisnya, karya-karya Suhaimi sukar dimengerti. Drs. Mohamed Daud Mohamed seorang pengkritik sastera muda menganggap bahawa Suhaimi ialah penyair yang amat dedikasi yang selalu menerokai dunia luar sedar, dunia bawah sedar dan dunia super sedar. Suhaimi ternyata merupakan salah seorang penyair besar dalam sejarah perkembangan kesusasteraan moden Malaysia.

A. Rahim Abdullah seorang pengkritik sastera, penyair dan penulis skrip drama menganggap Suhaimi seorang penyair yang membawa penyimpangan dalam dunia perpuisian Melayu moden. Justeru, Suhaimi merupakan penyair yang bersejarah (historical poet) dalam kesusasteraan Melayu. Pengucapan surealisnya cuba menggantikan pengucapan realis semenjak tahun 1950an yang menjadi tanda kewujudannya yang jelas dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden.
Di samping puisi, Suhaimi juga menulis cerpen, drama dan kritikan kesusasteraan selain rencana-rencana umum tentang isu-isu kemasyarakatan. Beliau juga menulis rencana-rencana mengenai agama Islam.
Kerana pengorbanan, sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan dan aktiviti penulisan, beliau telah memenangi beberapa hadiah dan anugerah. Dalam tahun 1971 dan 1987 beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia bagi puisi-puisinya. Dalam tahun 1981, beliau memenangi Hadiah Puisi Berunsur Islam dari Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Pada 1987 beliau dikurniai Anugerah Penulis Perak 1987 kerana pencapaian dan sumbangannya dalam karya kreatif dan non-kreatif. Pada 1995, beliau berjaya mendapat Anugerah SEA Write Award di Bangkok, Thailand yang merupakan anugerah prestij di kalangan penulis di rantau Negara Asean khasnya. Pada 1998 beliau turut dihargai dengan Anugerah Yayasan Kesenian Perak sempena memperingati Karyawan Perak Sepanjang Zaman.
Wujud merupakan kumpulan puisi Suhaimi yang ditulis dalam jangkamasa 15 tahun dari tahun 1980 hingga 1995. Secara peribadi, Suhaimi menganggap Wujud sebuah karyanya yang paling penting yang menggarap hubungan manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan Tuhannya dan berbicara tentang hidup-mati dan cinta dan tentang hidup yang penuh ketenangan dan kedamaian.

KERTAS KERJA ' KARYA KESUSATERAAN YANG FORMAL DAN YANG TRANSCEDENTAL '

DEFINISI SENI

Kita selalu sahaja menyebut perkataan "seni", membicarakannya dan memakainya. Kita telah memakainya dengan agak selesa, umpamanya di sekolah, di kolej, di universiti, di firma-firma, di dewan-dewan serbaguna, kita tidak ragu-ragu atau segan-segan menyebut : seni lukis, seni rupa, seni tari, seni tampak, seni kaligrafi, seni foto, seni teater, seni filem, seni drama, seni lagu, seni tulis, seni tradisi, seni moden, seni Islam, seni khat dan sebagainya. Seolah-olah perkataan "seni" itu sudah sahaja kita fahami maksudnya, lalu kita pun dengan mudah pula menerima saja apabila orang menyebutnya atau menggunakannya.
"Seni" atau dalam bahasa Inggerisnya disebut art ini sebenarnya sudah digunakan sejak beratus tahun dulu, sama ada dengan definisi-definisi yang tertentu, sama ada dengan penghasilan-penghasilan karya yang tertentu, juga sama ada dengan aprisiasi-aprisiasi yang tertentu dan pengajaran-pengajaran yang tertentu. Para seniman yang terlibat atau para pengajar "seni" yang terlibat, ada yang mengaturkan batas-batas tertentu mengenai pengertian atau definisi tentang "seni" ini.
Perkataan "seni" amat selalu dihubungkan dengan perkataan "halus", "indah", "murni', "menarik", "cantik". "Seni" juga selalu dihubungkan dengan perkataan "luar biasa" "abstrak", "melampaui jangkauan fikir", "ajaib", "ghaib". Semuanya ini berhubung secara intim dengan kewujudannya sendiri yang berkaitan dan berhubungan dengan material, mental dan spiritual (kebendaan, pemikiran dan kerohanian). Maka justeru itu, seni selalunya merupakan manifestasi dari pengalaman, keintelektualan, kebijaksanaan dan kerohanian manusia.
Dari hasil seni ini maka timbul kesan dari segi materialnya, mentalnya dan juga spiritualnya. Adapun kesan-kesan ini pula tidak sama antara seorang audien dengan audien yang lain, bergantung pula dengan tingkat pengalaman, keintelektualan, kerohanian, minat dan penglibatan seseorang. Maka justeru tidak sama aprisiasi dari seorang peminat dengan seorang seniman, malah tidak akan sama aprisiasi dari seorang seniman dengan seniman yang lain tentang seni.
Seni sebenarnya merupakan sesuatu yang secara naluri wujud dan hidup di sekeliling kita, sama ada kita sedari atau pun tidak. Setiap kita memakai pakaian. Pemakaian pakaian ini sebenarnya merupakan seni yang awal kita praktikkan di dalam hidup. Mengapakah kita perlu memakai pakaian ? Tujuannya ialah untuk mencapai seni. Seni di sini mempunyai pengertian yang khusus, iaitu "memelihara keindahan", "mencapai keindahan", "membentuk keindahan". Dari sana kita berbahasa. Kita diajar berbahasa yang baik-baik, yang elok-elok, yang manis-manis. Tujuannya untuk "memelihara kelakuan", "memelihara peradaban", "mencapai tamadun hidup yang mulia". Dari sana kita diajar memakan makanan. Makanan yang kita makan sewajarnya yang baik, yang seimbang dengan keperluan badan, sewajarnya yang halal dari segi materialnya dan kerohaniannya. Tujuannya ialah untuk mencapai "seni". Seni di sini mempunyai pengertian yang lebih meluas. Kata atau bahasa yang diungkapkan dalam percakapan itu ialah bahasa yang halus, bahasa yang hormat, bahasa yang sopan. Makanan yang dimakan ialah makanan yang bersih, makanan yang menyihatkan, makanan yang menyelerakan, makanan yang halal. Inilah seni yang secara semula jadi wujud di persekitaran kita.
Di sekolah-sekolah kita, di universiti-universiti kita, penuntut-penuntut kita diajar mengenai aprisiasi seni. Ia diajar kepada mereka dengan tujuan untuk memberi kefahaman mengenai hasil seni itu sendiri. Dengan itu minda mereka akan menjadi lebih terbuka, akan menjadi lebih bijaksana akan menjadi lebih krirtikal. Ini merupakan tujuan yang fundamental meskipun kadang-kadang tujuan yang sebegini pun tidak tercapai. Tujuan yang begini dapatlah kita sebutkan sebagai "memasyarakatkan seni". Maka dengan sebegitu, kita berharap pada satu waktu nanti dari kalangan masyarakat banyak yang dapat memahami tentang seni, banyak yang dapat memahami makna dari seni atau hasil seni tersebut.
Di samping "memasyarakatkan seni", bahawa tujuan lain maka aprisiasi seni itu diajar kepada para penuntut ialah untuk melahirkan para seniman dalam bidang-bidang seni tertentu tersebut. Maka dengan demikian diharap nanti akan lahirkan seniman-seniman besar kita dalam bidang-bidang seperti : seni lukis, seni tampak, seni arca, seni teater, seni filem, seni sastera, seni kaligrafi, seni khat, seni musik, seni lagu dan sebagainya.
Bila menyebut tentang seni, kita tidak dapat melupakan apa yang disebut "kebudayaan". Sebagai suatu bangsa yang wujud di dunia, kita merupakan pewaris dari satu kebudayaan yang khas kita punya. "Kebudayaan" yang disebutkan ini bukan lain daripada "kebudayaan bangsa" atau "kebudayaan tradisi". Inilah yang menyaksikan jati diri bangsa kita di dunia antarabangsa.

Di samping kemasukan "kebudayaan barat" ke negara ini dan yang sesetengahnya diterima oleh rakyat kita, kerana nilai-nilai positifnya, kita jangan lupa menempatkan "kebudayaan tradisi" kita pada tempatnya yang khas dan istimewa. Inilah simbol keagungan kebudayaan kita sebenarnya.

YANG FORMAL DAN YANG TRANSCENDENTAL

Saya lebih cenderung memberi tanggapan bahawa seni itu mencapai kewujudannya dari unsur-unsur formal dan transcendental. Unsur formal saya lebih maksudkan kepada segala unsur material, unsur luaran, unsur lahiriah. Dalam seni lukis umpamanya, unsur formal itu termasuklah alatan yang digunakan, komposisi warna-warna, subjek yang menjadi bahan memenuhi kanvas, keseimbangan atau kewajaran persembahan lukisan. Unsur formal ini lebih cenderung kepada penciptaan karya-karya realisme, karya-karya naturalisme dan karya-karya potret.
Kalau dalam seni lagu, unsur formal lebih menjurus kepada segala yang menyentuh indera luaran, yakni pendengaran dan perasaan pendengar, iaitu ia berkaitan dengan penyusunan irama, penyusunan atau gubahan nada suara, tinggi rendahnya, nyaring lembutnya. Apa yang sangat ingin dicapai ialah "lagu" itu supaya sedap didengar oleh para audien.
Dalam seni kesusasteraan pula saya lebih cenderung menganggap bahawa unsur formal lebih membabitkan karya sastera yang mempunyai unsur-unsur yang begitu telus dan begitu terus mudah dinikmati. Dengan sekali atau dua kali baca, ia sudah saja dimengerti maksud atau tujuannya. Tak ada nilai-nilai yang terselindung atau pun nilai-nilai yang tersembunyi. Karya-karya sastera yang berunsur formal ini banyak terdapat pada karya-karya sastera protes, juga karya-karya sastera yang berunsur falsafah.
Karya-karya seni yang transcendental atau dengan kata lain boleh kita sebut sebagai karya-karya seni yang mengandungi unsur-unsur transcendental ialah karya-karya seni yang lebih sukar atau komplikated untuk dihayati sekali pandang (bagi karya seni lukis), sekali dengar (bagi karya seni lagu), sekali baca (bagi karya seni sastera). Transcendental mempunyai pengertian dalam bahasa Melayu : mempunyai sifat-sifat melebihi atau melampaui batas-batas pengetahuan biasa ; mempunyai sifat-sifat luar biasa ; melangkaui pengalaman atau bukti pengetahun manusia ; melebihi atau melangkaui realiti yang dihayati atau dialami manusia biasa ; merupakan pemikiran dan pengalaman yang amat kerohanian, yang sukar difahami oleh manusia biasa ; sesuatu yang amat abstrak bagi pengetahuan manusia ; sesuatu yang tidak dapat di analisis dengan akal tetapi dapat dirasai oleh pengalaman atau perasaan.
Karya-karya seni yang transcendental ini dianggap sebagai puncak dari karya-karya seni. Dan inilah yang selalu diburu oleh para tokoh seniman. Dan inilah karya-karya yang selalu menjadi karya-karya yang kekal dan disanjung oleh sesuatu masyarakat dan bangsa di dunia ini.
Kedua-dua jenis karya ini, sama ada yang formal atau yang transcendental mempunyai peranan penting masing-masing, sesuai dengan suasana dan zamannya masing-masing. Karya-karya yang formal seperti yang ditunjukkan oleh karya-karya seni protes, amat berguna bagi masyarakat bagi membendung ketidak adilan dalam sesebuah masyarakat, kejahatan penjajahan dan pencerobohan, juga menjadi alat penentangan terhadap keburukan peperangan. Karya-karya seini protes ini amat berperanan untuk membangkitkan kesedaran masyarakat supaya menjadi orang yang berpihak kepada keadilan dan kebenaran.
Karya-karya seni yang formal ini biasanya amat telus dan terbuka untuk dihayati oleh sebilangan masyarakat. Karya yang mudah dan telus ini ada yang kekal abadi dan disanjung oleh masyarakat. Namun demikian karya seni yang formal ini biasanya tidak dianggap oleh para seniman atau oleh ahli seni sebagai hasil seni yang tinggi mutu seninya berbanding dengan hasil seni yang transcendental.
Hasil seni yang transcendental itulah sebenar-benarnya hasil seni. Ia menjadi hasil seni yang kekal abadi bukan kerana sejarahnya atau kerana kisah atau peristiwa yang dipaparkannya tetapi lebih kerana nilai kebenaran yang diungkapkan. Nilai kebenaran ini yang membuat hasil seni yang transcendental itu hidup dan terus menggoda dan mempesona hati rohani para audiennya dari waktu ke waktu. Para peminat hasil seni akan berkali-kali melihatnya dan kalau ia sebuah drama maka drama itu akan berulang kali dipentaskan, ditonton lagi, dari zaman ke zaman.
Ini kerana ia mengandungi seni yang melampaui batas-batas pengetahuan manusia biasa, mengandungi seni yang melampui batas-batas realiti dan pengalaman biasa, ia merupakan suatu pengalaman kerohanian yang menyentuh hati nurani manusia, ia merupakan sesuatu yang sukar dinyatakan dengan perkataan tetapi amat menyentuh perasaan, ia pun merupakan suatu pengalaman abstrak yang sukar dinyatakan dengan kata-kata apa pun, ia mungkin saja suatu pengalaman perasaan yang pelik, yang ajaib, tetapi benar.


BEBERAPA KARYA DAN APRISIASI

Seperti yang kita maklum dalam dunia kesusasteraan kita, kita memiliki seniman-seniman dalam genre novel dan cerpen antaranya ; Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Abdullah Husain, Keris Mas, S. Othman Kelantan. Dalam genre drama kita memiliki Nordin Hassan, Syed Alwi, Hatta Azad Khan, Anuar Nor Arai. Dalam genre puisi, kita memiliki Usman Awang, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Latiff Mohidin, Siti Zainon Ismail, T. Alias Taib, Dharmawijaya. Kewujudan karya-karya mereka amat membekas dalam kehidupan kesusasteraan kita. Maaf, kerana saya hanya dapat menyebut beberapa nama sahaja.
Dalam pembicaaran di sini, saya akan membicarakan beberapa hasil puisi yang ditulis beberapa penyair kita yang lebih menjurus kepada unsur-unsur seni yang formal dan unsur-unsur seni yang transcendental.

Katakan Padaku Apalagi Yang Harus Kulakukan
(Suara Hati Shatilla)

Bila kupanggil ambulans
kereta tank yang datang

Bila kupanggil peguam
pembunuh yang datang

Bila kupanggil para perwakilan
jurugambar tahun lalu yang datang

Bila kupanggil kau
arwah yang datang

Katakan padaku
Apalagi yang harus ku lakukan?

-Latiff Mohidin
(dari kumpulan puisi Rawa-Rawa)

Puisi ini merupakan suatu pengalaman ngeri di medan perang di mana mayat-mayat bergelimpangan, di samping para perajurit dan orang awam yang mati, ada pula yang luka-luka akibat dari serangan mortar, bom dan senapang. Di sinilah terjadinya kekejaman demi kekejaman dan tak ada lagi rasa simpati dari musuh-musuh. Maka justeru itu tidak wujud lagi kereta ambulan (sebagai simbol pertolongan dan kasihan) tetapi yang wujud hanya kereta-kereta tank (simbol senjata-senjata dan alat peperangan dan pembunuhan), tidak lagi wujud peguam (simbol pembelaan, kebenaran dan keadilan) tetapi yang wujud ialah para pembunuh (simbol para musuh yang menceroboh), tidak lagi wujud para perwakilan ( simbol orang yang merencanakan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan), tetapi yang wujud ialah jurugambar (simbol para pemberita dan jurugambar di medan perang), tidak lagi wujud kau (simbol orang yang disayangi) tetapi yang wujud ialah arwah (simbol mayat-mayat dari pejuang dan penceroboh dan orang awam).
Puisi ini merupakan suatu kutukan terhadap perang atau suatu penentangan terhadap perang atau suatu penyesalan terhadap kekejaman perang. Puisi ini tergolong puisi seni yang transcendental kerana beberapa hal. Antaranya : Banyak sekali hal-hal yang tersembunyi tidak diterangkan, umpamanya perkataan "perang" itu sendiri. Kerana adanya beberapa banyak unsur-unsur tersembunyi, itu menjadikan puisi ini mengandungi pengalaman-pengalaman melampaui batas-batas realiti dan pengalaman biasa, mengandungi beberapa banyak rahsia yang perlu digali oleh audiennya.

Masjid Kecil Moskwa

Serangkai tasbih di mimbar tua
seuntai nestapa di wajah jamaahnya

Angin musim gugur menguning emas daunan
mencari lapangan hati

Lihat stadium olimpik mendesaknya
kilat mata khatib menyusun doa

Walau kecil terpencil
ia bukanlah katedral bisu.


Moskwa
1989

-Kemala
(dari kumpulan puisi Titir Zikir)

Puisi ini ditulis oleh Kemala sewaktu melawat Kota Moskwa dalam era komunis. Di sana dia sampai pada sebuah masjid kecil. Di sana dilihatnya ada serangkai tasbih tersangkut di mimbar tua di dalam masjid itu. Masa lawatannya itu ialah pada musim gugur, di mana angin musim gugur meniupkan daun-daunan kuning keemasan juga menghembus menusuk ke dalam hatinya. Waktu itu dia teringat bahawa stadium olimpik negara itu menghimpit kedudukan masjid yang kecil tersebut. Dia teringat itu sewaktu khatib sedang membaca doa. Waktu inilah dia memberitahu bahawa meskipun masjid itu kecil lagi berada di tempat yang terpencil, namun di sana wujud zikir para jamaah yang sentiasa menyebut Allah, Tuhan yang Maha Besar dan Maha Kuasa dan tidaklah seperti katedral (rumah ibadat orang Kristian) yang tidak lagi menyebut nama Allah.
Puisi ini merupakan hasil seni yang transcendental yang indah dan tinggi mutunya kerana adanya banyak unsur kerohanian yang ada di dalamnya. Unsur-unsur kerohaniannya ialah unsur kerohanian Islam. Ini dapat disusuri melalui pemakaian perkataan-perkataan seperti ; tasbih, mimbar, jamaah, khatib, doa dan masjid. Ia transcendental bukan saja kerana penggunaan unsur-unsur kerohanian yang wujud secara spontan tetapi kerana ia mengandungi beberapa unsur tersembunyi. Puisi ini sebenarnya merupakan suatu manifestasi "kesunyian", "kesedihan", "kemurungan" seorang penyair Islam, melihat perilaku orang-orang komunis di tempat yang disinggahinya yang telah tidak memperdulikan agamanya. Maka justeru itu, rumah ibadat mereka telah tidak lagi berpenghuni, maka tidaklah lagi ada kata-kata mengingati Allah.
Hanya satu perkataan saja, iaitu "nestapa" digunakan oleh penyair bagi menyatakan manifestasi "kesunyian", "kesedihan" dan "kemurungan" rohaninya. Ini satu perkataan sudah cukup. Di samping keistimewaannya yanag tersebut di atas, puisi ini menjadi hasil seni yang mengandungi nilai-nilai transcendental ialah kerana ia menyediakan beberapa banyak persoalan. Antaranya : mengapa terjadinya serangkai tasbih tersangkut di mimbar tua? Mengapa seuntai nestapa wujud di wajah jamaah? Mengapa terjadinya stadium olimpik mendesak (menghimpit) kedudukan masjid kecil itu? Mengapa mata khatib mengilat (merenung ke persekitaran) sewaktu membaca doa? Mengapa katedral menjadi bisu?

Tuan Rumah

Pada detik putus
tuan rumah membebaskan diri
dari ikat waktu
dengan rasa benar
dilepaskan kunci dan rantai
dari pagar karat dan pintu cengal.

Dengan segera
datang anjing gila
kucing lorong,
gagak kolam, babi hutan
berteduh di beranda.


Bising dan bau pendatang
memaksa dia bersiar di luar
setelah beberapa lama
sewaktu memanjat tangga
dia digigit
sebagai penceroboh.

-Muhammad Haji Salleh
(dari kumpulan puisiWatak Tenggara)

Puisi Muhammad Haji Salleh ini amat padat, yakni tidak ada kata-kata yang tidak berfungsi dipakai. Saya menganggap Muhammad Haji Salleh sebagai penyair Melayu yang berkembang di luar arus perdana perpuisian Melayu di Malaysia. Dia tetap penyair yang menyendiri, tetap subur dengan alam dan dunianya sendiri. Puisi "Tuan Rumah" sebagai hasil seni yang transcendental yang indah lagi mempesonakan ialah kerana ia membawakan isu yang besar ke dalam posisi yang amat kecil. Puisi ini menceritakan kisah sebuah rumah dengan nasib seorang tuan rumah.
Persoalannya kelihatan kecil dan remeh, tetapi ia tidaklah begitu seperti yang disangka. Ia sebenarnya merupakan manifestasi perkara yang amat besar dan global dan sangat perlu diambil perhatian oleh sesiapa saja yang ingin membina eksisten dirinya dan ingin pula mengekalkan eksisten kewujuduannya itu. Rangkap pertama menceritakan seorang tuan rumah yang ingin membebaskan dirinya dari kebosanan berada beberapa lama di rumah, lalu di turun dari rumahnya, membuka kunci dan rantai pagar rumahnya dan juga membuka pintu rumahnya yang terbuat dari kayu cengal. Kunci dan rantai pagar dan juga pintu rumah yang terbuat dari kayu cengal melambangkan bahawa tuan rumah ini orang kaya.
Rangkap kedua diceritakan apabila pagar rumah dan pintu rumah sudah terbuka maka, datanglah anjing gila, kucing lorong, gagak kolam, babi hutan lalu berteduh di atas beranda rumah itu. Rangkap ketiga pula menceritakan tuan rumah yang tidak sanggup dengan kerenah bising dan bau binatang-binatang itu lalu memaksa dia keluar bersiar di luar rumah. Setelah beberapa lama, dia pun ingin masuk rumahnya. Tetapi malang sekali sewaktu naik tangga rumahnya, dia diggit oleh binatang-binatang itu dengan tanggapan bahawa dia bukan lagi tuan rumah tetapi adalah seorang pendatang.
Kalau kisah ini kita bayangkan sebuah negara dan tuan rumah pula menjadi rakyat sesebuah negara. Apakah akan terjadi kepada negara dan rakyat negara tersebut, jika pintu negara itu dibuka seluas-luasnya, imigrasinya sangat longgar, siapa saja boleh diterima menjadi warga negara, siapa saja boleh turun mengundi dan menjadi calon, siapa saja boleh bercakap dengan bebas, siapa saja boleh melakukan apa saja tindakan termasuk jenayah dan yang tidak disukai oleh pemerintah. Apa akan terjadi kepada "tuan rumah", yakni pemerintah dan rakyat asal negara tersebut? Malapetaka dan celakalah nasib pemerintah dan rakyat asal negara tersebut.
Demikianlah amaran dan peringatan dari puisi "Tuan Rumah" yang kelihatannya membawa isu atau persoalan yang amat kecil tetapi rupa-rupanya ia bukanlah kecil seperti yang disangka. Demikianlah kerja seorang seniman, demikianlah tanggapan dan manifestasi seorang seniman tulin, yang amat sensitif dan amat peka dengan persekitarannya. Inilah hasil seni yang transcendental, yang menjangkau batas-batas renungan dan pengalaman manusia biasa.

Penghibur di Stesen Bawah Tanah

Tanpa peduli sesiapa
matanya di hujung jari
memetik seruling
menutup lubang
menyimpul nafas
atau bila bibirnya menyedut trompet
telah begitu lama dia menjerit
mengumpul cinta
sambil meminum air mata yang tak tumpah
mengelus pipi kekasihnya
biola yang halus dan pipih
tak perlu ia menghitung penny
kerana setiap getaran dari dering
logam itu
yang menyentak batinnya
tapi pada matahari jauh di luar
urat-urat autumn lengannya
daun-daun roma kakinya
telah menggeliat
di situ ia dihimpunnya gema
memecah tenggorok
seruling, trompet atau biola
ia tak malu

bukan kerana penny
ia harus berada di situ.


London
Julai 1986

-Siti Zainon Ismail
(dari kumpulan puisi Puisi-puisi Asean)

Siti Zainon Ismail satu-satunya penyair wanita Melayu yang paling berjaya di persada kesusasteraan tanah air telah mencipta puisi ini bila melawat London. Di sanalah sewaktu dia melawat sebuah stesen bawah tanah, disaksikannya ada penghibur jalanan yang sedang memainkan alat bunyian. Penyair menelusuri permainannya dan juga sejarah hidup penghibur jalanan ini dengan penghayatan kerohaniannya. Satu demi satu diselusuri permainannya yang memetik seruling menutup lubang seruling, menghembuskan nafas, bibir menyedut trompet. Kemudian penyair menyelusuri kisah hidup seniman jalanan ini, pernah mengumpulkan cinta, pernah bersedih meminum air mata, pernah mengelus pipi kekasihnya. Sudah lama dia berkhidmat menghiburkan orang ramai, kini lengannya sudah berurat, kakinya juga sudah bersisik. Demikianlah kisah seorang seniman jalanan dan ia tidak malu melakukannya. Ia puas dengan perkhidmatannya yang penuh dengan keikhlasan untuk memberikan hiburan, kedamaian dan kebahagiaan kepada masyarakat.
Wang bukanlah matlamatnya, ini dipelambangkan oleh untaian katanya yang berbunyi: tak perlu ia menghitung penny. Tetapi yang dicarinya ialah kepuasan cinta, ini dipelambangkan dengan kata-katanya yang berbunyi: telah lama dia menjerit mengumpul cinta. Ini merupakan gambaran seniman sejati.
Puisi ini merupakan karya seni yang transcendental kerana kehalusan gubahan puisinya dan kerana kehalusan interpretasinya. Penyairnya telah menyorot hal-hal yang luarannya dan juga yang dalamannya. Dari segala yang lahir disorotnya melalui mata kepalanya dan segala yang dalaman disorot melalui mata kerohaniannya. Puisi ini menjadi karya seni yang transcendental kerana banyak perkara yang tersembunyi tidak dijelaskan, umpamanya tiada suara rungutan dari seniman ini sama ada orang yang lalu-lalang dan orang yang menghayati permainannya memberinya wang (penny) atau tidak. Dia tidak memaksa orang supaya kasihan kepadanya. Dia tidak memaki hamun orang atau sesiapa. Dia tetap siuman. Dia tetap tabah. Dia tetap dedikasi dengan konsep hidupnya sebagai seorang seniman sejati, yakni : aku perlu ikhlas dalam segala khidmatku, yang ingin kubina dalam hidupku ialah keikhlasan dan cinta.

Dari Sarajevo ke Jalan Lain ke Neraka

Ini adalah zaman yang mencatat sejarah hitam
ibu-ibu dihamilkan dengan benih seribu dendam
anak-anak dilahirkan dengan tangisan pertama di
muncung senapang
ayah mereka tewas dengan lehernya ditusuk senjata tajam.

Segala yang baik diukur kebaikannya dengan pembunuhan
segala yang berani diukur keberaniannya dengan
penyembelihan
inilah piagam yang diam-diam ditandatangani di PBB
rumah besar bangsa manusia yang mengamanahkan
kerusinya kepada Boutros dan Akashi.

Demikianlah apabila mereka yang bergelar Muslim itu
membaca genocide*, merekalah yang menanggung
maknanya
meskipun kata itu ditafsir berkali-kali di New York
dan Geneva

di meja lain, lain ertinya kerana kemanusiaan itu bukan
hak sejagat lagi
kemanusiaan itu hak milik Amerika, Inggeris, Perancis
dan Rusia
selainnya adalah warisan Islam, Afrika dan Asia.


Desa Pandan
Jun 1994

-Baha Zain
(dari kumpulan puisi Puisi-puisi Asean)

* genocide = Penghapusan etnik melalui pembunuhan beramai-ramai.

Puisi-puisi ini amat sarat dengan unsur-unsur sindirannya. Hampir setiap baris dari ketiga-tiga rangkapnya mengandungi kata-kata sinis yang penuh dengan sindiran yang amat tajam.
Ketiga-tiga rangkap ini mengandungi sindiran terhadap manusia yang terbabit dalam usaha-usaha untuk menegakkan keamanan, keadilan, kebenaran dan kesejahteraan umat manusia. Rangkap pertama dikemukakan apa yang dilakukan oleh manusia itu di medan perang, di mana ibu-ibu dihamilkan dalam suasana penuh kemarahan, pencabulan dan kenodaan, anak-anak dilahirkan semasa ledakan senjata berkumandang semasa bapa-bapa mereka gugur di medan peperangan. Inilah yang dikatakan usaha-usaha perjuangan manusia yang mendabik dada memperjuangkan nasib manusia di dunia yang luas terbentang.
Rangkap kedua pula merupakan analisis apa yang berlaku di majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Majlis ini dengan diam-diam telah diperalatkan oleh beberapa jenis bangsa manusia. Mereka yang kuat dari segi persenjataan, politik dan ekonomi menguasainya. Dengan kekuatan ini - persenjataan, politik dan ekonomi, maka "kebaikan" (dan "kebenaran") diukur dengan "pembunuhan", "keberanian" (dan "kekuasaan") manusia diukur dengan "penyembelihan". Demikianlah secara kerohaniannya apa yang telah berlaku kepada majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diharap menjadi pelindung bagi negara-negara yang membangun, sedang membangun dan juga negara-negara kecil.
Rangkap ketiga dan terakhir memberikan konklusi, bahawa sama ada di New York atau di Geneva, bahawa kuasa besar dunialah sebenarnya yang tetap menguasai, mempunyai hak, memberikan pengertian terhadap erti kemanusiaan. Pengertian kemanusiaan di dunia ini hendaklah mengikut istilah, konsep dan visi mereka. Negara-negara lemah dan miskin tidak lagi mempunyai hak untuk memperkatakan dan untuk memberikan pengertian kemanusiaan itu. Antara negara-negara kuat dan besar yang disebut oleh penyair sebagai mempunyai hak ke atas makna manusia itu (pada tahun 1994) ialah : Amerika, Britain, Russia dan Perancis.
Nah. Apa yang disebutkan oleh penyair ini sudah berlaku di Iraq. Amerika dan Britain telah menceroboh negara Iraq yang berdaulat tanpa mandat dari majlis Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 Mac 2003. Malapetaka Iraq telah berlaku di Iraq, Amerika dan Britain telah menghancurkan Iraq dengan peluru berpandu, mortar, meriam dan lain-lain senjata pemusnah yang berteknologi tinggi. Maut di sana sini di bumi Iraq.
Penyair menyebutkan: bahawa pengertian kemanusiaan bukan lagi hak manusia sejagat, tetapi hak kuasa-kuasa besar.
Dengan itu juga sekaligus bermakna, bahawa orang Islam, Afrika dan Asia tidak lagi berhak ke atas erti kemanusiaan itu lagi. Mereka, maka dipaksa untuk menerima pengertian kemanusiaan mengikut konsep, acuan dan visi kuasa besar.
Karya ini merupakan hasil seni yang formal dan juga transcendental. Ia menjadi hasil seni yang formal kerana penggunaan kata-katanya yang tidak lagi berselindung-selindung, tetapi ia juga sekaligus suatu hasil seni yang transcendental kerana ia digarap dengan unsur-unsur sinis, sindiran, abstrak dan ambiguiti yang merupakan alat kepada karya-karya seni. Puisi ini ("Dari Sarajevo ke Jalan Lain ke Neraka") tidak syak lagi akan menjadi hasil seni yang abadi di dalam perpustakaan dan kesusasteraan Melayu Moden.


Sekian.

SUHAIMI HAJI MUHAMMAD
Gebang Seni - 26 April 2003

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design