GEBANG SENI HASNUL JAMAL SAIDON

BIODATA

Hasnul J Saidon dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada tahun 1965. Beliau menerima pendidikan formal dalam Seni Halus dari Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) dari 1984 hingga 1988.. Di UiTM, Hasnul menerima suntikan suntikan asas kesenian daripada mendiang Joseph Tan dan Ruzaika Omar Basaree. Sebagai seorang pelajar seni, beliau turut beruntung menerima tunjuk ajar dari para pensyarah penting yang berpelbagaian pegangan seperti Fauzan Omar dan Choong Kam Kow untuk catan (painting), Amron Omar dan Ismail Zain untuk lukisan (drawing), Ponirin Amin dan Awang Damit untuk senicetak(print-making) serta Ariffin Ismail dan Zakaria Awang untuk arca (sculpture). Selepas memperolehi ijazah dari MARA, Hasnul menyertai Center Stage Performing Arts di bawah bimbingan Normah Nordin dan Najib Nor, dan bekerja secara intensif dari 1988 hingga 1989 sebagai pembantu produksi, pereka pentas dan set, pelakon dan pemusik untuk pelbagai produksi pementasan.

Hasnul menerima biasiswa daripada UiTM untuk menyambung pelajarannya di Amerika dari tahun 1990 hingga 1993; memperolehi Sarjana Muda Seni Halus (Bachelor in Fine Art) dari Southern Illinois University (SIU) dan Sarjana Seni Halus dalam Seni Elektronik (Masters of Fine Art in Electronic Arts) dari Renssealer Polytechnic Institute (RPI). Di SIU, beliau menjalankan dua pameran solo dan telah memenangi beberapa anugerah besar universiti tersebut.

Di RPI, Hasnul turut aktif dan banyak mengambil bahagian di dalam projek-projek kolaboratif bersama para pencipta musik terkenal seperti Barton dan Priscilla Mc Lean, Karl Korte dan Robert Ashley. Hasnul mendapat pendidikan seni komputer dan video daripada Miroslav Rogal dan Branda Miller, persembahan dan gubahan musik komputer daripada Neil B. Rolnick dan Richard Povall. Dalam masa untuk meraih MFA, beliau telah menerima gelaran Pelajar Terbaik Anugerah Video bagi video eksperimentalnya semasa Atlanta Film and Video Festival USA

Sekembalinya beliau ke Malaysia pada akhir 1993, Hasnul telah berkhidmat sebagai pensyarah dalam subjek Catan dan Lukisan di UiTM (1993-1994), pensyarah, Ketua Jabatan Seni Halus dan Timbalan Dekan di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari 1994 hingga 2000, Ketua Senireka dan Media
Baru di Center For Advanced Design (Cenfad) dari 2000 hingga 2001. Kini, beliau memegang jawatan sebagai pensyarah dan Pengerusi Jabatan Senireka, Pusat Seni, USM.

Pada tahun 1997, Hasnul mempersembahkan pameran solo yang terdiri dari catan, lukisan, CD-ROM seni interaktif , karya-karya video dan animasi yang bertajuk "Hyperview". Sejak itu, beliau telah menerima banyak undangan untuk mengambil bahagian dalam pameran-pameran seni peringkat kebangsaan dan antarabangsa,
menjadi kurator beberapa pameran kebangsaan, termasuk Pameran Seni Elektronik yang pertama di Balai Seni Lukis Negara pada 1997. Beliau juga menerima beberapa anugerah besar peringkat kebangsaan seperti Anugerah Video Malaysia, Anugerah Bakat Muda Sezaman dan Phillip Morris.

Hasnul juga menulis untuk katalog-katalog pameran termasuk majalah, suratkhabar dan laman web. Selain daripada mendidik, beliau pernah mengarah dan membimbing Kem Seni Remaja dan menyediakan khidmat perunding untuk pelbagai projek seni dan persembahan pentas. Kadangkala, beliau didapati bekerjasama dalam persembahan pentas berbentuk eksperimental, menyanyi atau meluahkan lagu-lagu sendiri, membentangkan penulisannya, atau dengan berat hati berkhidmat sebagai hakim/juri untuk pertandingan-pertandingan seni rupa.

Buat masa ini, bila masa agak terluang, Hasnul selalunya dilihat mengadun tamannya samaada di rumah mahu pun di Pusat Seni USM.

Hasnul J Saidon
Singgah untuk Gebang Seni.
Yayasan Kesenian Perak, Ipoh.
Jun, 2003

CATATAN HASNUL JAMAL SAIDON

"Seni adalah sebuah pengembaraan mencapai kemanusiaan, mencari Mei (keindahan/kecantikan) yang disempurnakan oleh Shan (kebenaran/kebaikan)" (Falsafah China)

Nama saya Hasnul Jamal. Menurut ayahanda dan bonda saya, Hasnul bermaksud 'yang baik/benar' dan Jamal bermaksud 'yang cantik/
indah'. Mungkin sebab nama inilah, saya menjadi manusia pengembara yang berhajat mencapai kemanusiaan, mencari Mei dan menyempurnakan Shan. Sehingga kini, saya belum jumpa, dan tidak pernahnya sempurna, apatah lagi mencapai kemanusiaan. Terlalu banyak hijab dan bayang-bayang dalam Mei dan Shan saya sendiri.

Ibarat mengembara atas perahu, kalau sudah hampir dua dekad (bukan jenis ruang-masa fizikal saja, tetapi juga ruang-ruang dari jenis yang lain), mungkin banyak cerita dan pengalaman yang telah dikutip, dibawa dalam perahu sebagai muatan dan
kemudiannya hendak disedekahkan kepada
yang sudi apabila singgah di mana-mana persinggahan. Persinggahan seterusnya di YKP, Ipoh, Perak, negeri tanah tumpahdarah yang saya
tinggalkan selalu.

Perahu saya kecil, dan itu sajalah satu-satunya yang Tuhan pinjamkan pada saya. Masa yang saya ada, Wallahualam. Mungkin perahu sudah semakin sarat dengan muatan, tidak berimbangan dan hampir karam. Saya ingin kongsi dan sedekahkan sedikit muatan kepada yang sudi. Mungkin boleh ringankan
bebannya sikit. Bahan muatannya macam-macam, dari mula berkayuh dulu hinggalah kini (cadangnya kini nak pakai tenaga solar dan teknologi ICT). Bahannya pelbagai, dan harap dapat dibasuh menjadi bekal ilmu bila singgah nanti. Ada rezeki, perahu saya boleh dibaiki supaya boleh terus mengembara, singgah, dan kongsi lagi di kemudian hari.

Jika ada yang sudi dan tiada aral dari Tuhan,
saya singgahlah…

Acara Gebang Seni ke-10 di rumahykp memberi makna yang sangat manis bila mana 'whizz-kid' dalam bidang seni elektronik Malaysia tampil berkongsi ilmu dan pengalaman seninya.

Hasnul Jamal Saidon, satu nama yang agak popular dalam konteks seni rupa khususnya di kalangan para perupa kontemporari tanahair, telah buat pertama kalinya berkongsi 'rahsia-rahsia' perjalanan hidup beliau, bermula dari kenakalan zaman kecil hingga remaja, terus menjangkau kepada kehidupan kininya yang lebih matang dan bertanggungjawab. Puluhan buku sketsa dan lakaran-lakaran yang mengandungi segala macam dokumentasi pahit manis kehidupan, perjalanan serta cita-cita Hasnul telah dapat dinikmati audien Gebang Seni dalam suasana yang sangat santai.

Karya seawal usia 10 tahun, tatkala belajar di ITM dan di USA telah dipertontonkan melalui tayangan sisipan (slides) dengan penerangan-penerangan berkisar tentang konsep, metafora dan pelbagai unsur yang menyebabkan keterhasilan karya-karya tersebut. Rata-rata audien turut terpegun dengan karya eksperimental 'video-art' Hasnul bertajuk 'The Borrower of Light' yang memakan masa kira-kira 11 minit. Karya seni video ini merupakan hasil tangan paling akhir (2003) Hasnul dengan kolaborasi bersama Wan Marina dan John Othman, dan kini sedang dipamerkan di Malmo Konstmuseum, Sweden sempena pameran seni visual Malaysia bertajuk 'Of Shadows and Images'.

(keterangan lanjut mengenai pameran ini boleh didapati di www.artgallery.org.my)

Kurator


KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design