TAYANGAN & WACANA SENI FILEM INDEPENDEN GEDEBE

Nam Ron (Pengarah Gedebe)

SINOPSIS FILEM INDEPENDEN GEDEBE

Gedebe adalah sebuah filem independen yang boleh dianggap berbeza pendekatannya berbanding filem-filem komersial Malaysia yang lain. Projek perfileman Gedebe pada asalnya diilhamkan dari suatu pementasan teater arahan saudara Nam Ron pada tahun 2001 di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah kisah yang diadaptasikan secara longgar daripada karya William Shakespeare "Julius Caesar".

Pada tahun 2002, Cipta Films (bahagian perfileman Pustaka Cipta Sdn. Bhd.) telah bekerjasama dengan pengarah Nam Ron dan Amir Muhammad sebagai penerbit untuk menghasilkan versi filem Gedebe yang melalui penggambaran video digital.

Gedebe membawa maksud seorang yang samseng atau berani dan biasanya menjadi ketua kepada orang bawahannya, serta dipertanggungjawabkan segala urusan termasuk yang berkaitan dengan keselamatan pengikutnya. Di bawah pengertian ini, filem ini diolah dan dicanai menjadi suatu karya yang memaparkan konflik dalaman sesuatu kumpulan manusia yang berlaku apabila tercetusnya perebutan kuasa.

Jalan cerita Gedebe tidak banyak keluar dari tema-tema asal Shakespeare dalam Julius Caesar, tetapi diberi pendekatan, suasana, dialog dan interpretasi yang berbeza. Jika Caesar adalah seorang pemimpin yang dikhianati di empayar Rom purba, Caesar dalam Gedebe pula adalah seorang pemimpin sebuah puak yang dikhianati oleh sahabat karibnya Brutus di sebuah kota moden di Malaysia. Idea dan cerita yang disampaikan dalam Gedebe adalah dengan gaya yang segar dan spontan menggunakan frasa Melayu kolokial. Menarik juga adalah pilihan pengarah dan penulis lakon layar untuk menggunakan dialek Kelantan sebagai bahasa penyampaian untuk sebahagian besar filem ini.

Jalan cerita filem Gedebe ini memperlihatkan Caesar melantik dirinya sendiri sebagai pemimpin sebuah puak sekaligus telah mengundang keresahan di kalangan pengikutnya, terutama dari Cassius dan Brutus. Lebih-lebih lagi kerana Caesar berniat untuk menyatukan puak- puak lain yang selama ini bertelagah. Cassius, pada awalnya merupakan pengikut setia Caeser tetapi kemudiannya menjadi musuh yang berhasrat untuk menjatuhkan Caesar. Untuk menunaikan hasratnya, Cassius telah bersekongkol dan menghasut Brutus, orang kanan Caeser untuk mengkhianati Caesar.

Jika dibandingkan antara hasil karya yang dipentaskan dengan hasil karya yang difilemkan jelas kedua-duanya mempunyai tuntutan kreatif yang tinggi tetapi berbeza dari segi prosesnya. Teater adalah perantaraan yang berbeza daripada filem. Oleh demikian, filem Gedebe wajar juga dinilai secara sendirinya bebas daripada karya teater asal dan diulas dari sudut yang berlainan daripada suatu kritikan teater.

Secara keseluruhannya, filem Gedebe diharap akan mencetuskan pelbagai reaksi daripada penonton. Gaya visualnya adalah disengajakan 'raw', dan kekasaran penataan lampu dan bunyi bertujuan untuk mengekalkan sebuah rasa realiti dan bukannya fantasi.

Maka, demikian juga kita mungkin persoalkan, jika Gedebe bukanlah fantasi semata-mata, maka ia adalah realiti untuk siapa.

Dhojee & Juara ("The Rosihan Brothers")
Penerbit Eksekutif, Pustaka Cipta Sdn. Bhd.

Buat julung kalinya, YKP berjaya menganjurkan sebuah tayangan serta wacana seni filem independen tanahair. Hasrat yang telah kian lama wujud ini akhirnya tercapai bila mana pihak Pustaka Cipta Sdn. Bhd. dengan rendah hati mengusulkan filem independen bertajuk 'GEDEBE' arahan Nam Ron.

Hampir 100 penonton yang terdiri dari pelbagai peringkat usia dan latarbelakang hadir untuk tayangan pertama filem ini pada 5 Julai 2003 bertempat di Rumah YKP.

Dengan mengambil motif-motif dari kehidupan golongan punk serta penggunaan dialek Kelantan, filem yang diadaptasi dari tema-tema asal Shakespeare dalam Julius Caesar ini diolah dengan pendekatan yang menjurus kepada teori absurd dan ekstensialisme, menjadikan ia sebuah 'conversational piece' yang banyak menimbulkan persoalan-persoalan dalam diri.

Walau pun filem ini dianggap banyak bertentangan dengan kebiasaan persembahan dalam industri perfileman tanahair, peluang-peluang berdialog dan melontarkan kritik secara terus dengan pihak penerbit dan pengarah sedikit sebanyak membantu memperjelaskan lagi keadaan. Diharap program-program sebegini dapat mencetus pemikiran yang lebih kritikal dan menjana perbincangan-perbincangan yang sihat.

Kurator

ARTIKEL [BUKAN] AKU BUNUH CAESAR!!!

"Oi Caesar! Hati-hati pada 15 haribulan Mac!!", pesan mamat nujum di 'gig Lupercalia' Bangsar tanggal 21 Februari 2001. Syahdan… Brutus mengisahkan kepada anggota Cawangan Khas di sebuah rumah. Cassius pula menceritakan kepada pegawai polis di lokap tahanan. Kedua-duanya selang-menyelang tuduh-menuduh memerikan susurgalur peristiwa komplotan yang membawa kepada pembunuhan ketua 'puak'. Siapa bunuh Caesar? Sebab apa dibunuh Caesar? Apa dosa Caesar? Siapa yang benar? Dialog-dialog 'flashback' dan narasi sanggah-menyanggah yang silang-menyilang antara Brutus dan Cassius berupaya membina karektor dan mengawal plot filem Gedebe. Diangkat dari naskah teater tempatan yang berdasarkan adaptasi longgar dan apresiasi baru Julius Caesar karya Shakespeare, Gedebe adalah sebuah filem independen yang meriwayatkan konflik trajis perebutan kuasa dan anasir-anasir berkaitan yang melanda sekelompok remaja 'underground'. Bukan sembang visual kosong tentang komentar sosiobudaya belia negara. Juga bukan semata-mata gambaran humor kecamuk identiti yang melanda anak-anak bangsa generasi 'anak kecil main api' akibat 'kununnya' kelompongan akhlak, budaya, sahsiah, aspirasi dan halatuju. Apa yang cuba digarap oleh lakonlayar Nam Ron dan anak buahnya ialah paralelisme, kesejajaran dan pencerminan di antara 'scene riot subculture' dengan iklim sosiopolitik tanahair di awal abad ke-21, berasaskan episod tragedi 'The Ides of March' yang menimpa Parlimen Rom dahulukala.

Mewujudkan situasi metaforikal, filem sepanjang 60 minit 38 saat ini mengadun beberapa penataan artistik yang mungkin baru dalam senario filem negara; tidaklah pula sifatnya 'avant-garde', 'eksperimental', 'neo' mahupun 'arty'. Ia mandiri semandirinya: belanjawan sederhana, peralatan ringkas, pelakon tanpa bintang, 'prop' santai, teknik mudah, teknologi murah. Untuk yang ralit dengan wayang-wayang gambar arahan sutradara 'kapitalis', filem ini tentu sekali sukar menghasilkan hubungan dinamik di antara produksi seni dan konsumsi seni. Kerana pemfilemannya bukan tipikal; bukan konvensional; ikut konsep diy. Tidak tertakluk kepada rukun format lazim sinematografi komersial Malaysia, perkembangan plot Gedebe sedikit berciri 'non-linear'. Organisasi visual, aliran cerita dan gerakan adegan tidak diolah sejajar dan berkesinambungan dari mula sampai tamat; sekejap ke belakang, kemudian ke hadapan; sekejap Brutus, kemudian Cassius. Namun, terselit jua beberapa babak 'absurd' yang mengganggu audien: jenaka 'sensitif bodoh' pesan nenek dan nada didaktik pengarah serta bicara tohor intelek yang ditonjolkan di akhir cerita. Komedi selingan, kiasan kritikal atau kupasan sensibiliti belia kontemporari? Kenapa dengan pembunuhan berganda (yang kedua-duanya lakonan 'toye') yang dirakam di bawah 'lembah Philippi'? Seorang penembak, dua sasaran tetapi hanya Brutus dianggap mati, kemudian tersedar dan hubungi 'tuan' perencana komplot. "Lu…kalau lu nak faham, lu fikir. Fikir pakai otak! Kalau tak faham jugak…lu diam," adalah khutbah maha skeptikal. Artikulasi fonetik dengan lenggok loghat Kelantan dan slanga anak muda lobotomi amat bersahaja, dinamik dan bertepatan dengan tema filem. Tentunya penggunaan loghat itu disengajakan memandangkan kemasyhuran penduduk Kelantan dalam jaringan polemik politik lokal dan kesohoran rakyatnya dalam persoalan 'gedebe' tempatan. Orang Kelantan minat bermain politik, lebih-lebih lagi 'realpolitik': dari ulamak pondok ke gangster Golok, dengan tasbih dan kapak kecik, atas podium ceramah dan pentas dikir barat. Percubaan serius Cassius berbahasa baku di depan video polis ketika membuat kenyataan tuduhan ke atas Brutus adalah kritik Nam Ron kepada elemen verbal filem negara yang kaku dengan komunikasi piawai berskala 'buku'. Di sebalik nilai independennya yang barangkali dikaitkan oleh khalayak penonton filem Melayu parokial dengan kerendahan kualiti, Gedebe menawarkan kesedaran objektif pada bahan subjek yang dipaparkan; bukan sangat pada mutu estetika persembahan aspek formal dan pengolahan elemen visual. Pada Gedebe payah nak dicungkil simulasi cinta remaja Sembilu atau reproduksi lawakjenaka Senario The Movie. Gedebe seumpama melayani impian mahaguru propaganda, Goebbels: imej-imej tampak menggantikan bahasa; rasa emosionalisme menggantikan lojik fikir; kesannya bukan terletak pada gambaran retina mata, tetapi tersirat pada tanggapan neuron benak…seala kadarnya.

Mendabik dirinya "lahir sebagai manusia merdeka…macam Caesar," Cassius seorang yang keras hati, vokal dan bijak memanipulasi minda. Bencinya terhadap Caesar sangat keras: "Aku Cassius, hanya manusia celaka anak haram jadah…wajib tunduk bila berjalan depan dia!" Brutus anti-tesis kepadanya, sampai dikira "baik sangat, orang ambil kesempatan, sekarang lemah". Seorang idealis, patriot, pencinta kebebasan dan keadilan dan berkemungkinan 'hantu' pihak berkuasa, Brutus nampak seolah-olah merangka satu agenda personal. Sepanjang cerita, watak Caesar pula diam; selain bersuara, "Aku pergi dulu…" sebelum memasuki Death Centre. Namun dialog-dialog naratif Cassius dan Brutus serta penampilan dinamik imej berjaya mengangkatnya sebagai antara protagonis Gedebe: ketua yang berniat menggabungkan 'punk' dan 'skinhead'; cuba mencipta sistem dan perundangan baru buat puak yang sediakala ada prinsip hidup dan dogma perjuangan; yang dituding melantik diri sebagai pemimpin "sebab takut pada bayang-bayang sendiri". Malangnya gerak-geri beliau disangkaburuk oleh Cassius: "Punah dunia kalau kuasa kat Caesar;" "Apa kamu dapat duduk celah kangkang Caesar?" "Caesar buat kita macam kuli…bebas tapi kuli!" Itulah mula timbul hasutan, dakyah dan fitnah terhadap Caesar: pemimpin yang mempunyai program peribadinya sendiri sehingga dikhuatiri berupaya melupuskan hak istimewa dan kepentingan 'puak'; pemimpin yang kelak dikelilingi oleh barua-barua; yang mencengkam kemerdekaan rakyat dalam "gelap, sempit, kosong" sebuah dunia republikan. Adakah mungkin Cassius si penghasut ikhlas mempertahankan 'status quo'? Atau beliau pun ada nawaitu jahat tersendiri atas rasa iri dan kesumat yang tersembul dalam kabut ganja dan libido erotisisme? Demikian, adakah Brutus sebagai sahabat baik Caesar tidak memahami tingkahlaku ketuanya? Atau dia juga cuba memperkotak-katikkan suasana dengan sekonyong menyetujui komplot 'political assassination' Cassius atas nasihat pihak-pihak tertentu, atau serakah alternatif? Ketiga-tiga watak bertarung memerah otak dan ruh dengan strategi, taktik dan siasah masing-masing untuk menguasai wacana puak. Wacana siapakah yang bakal dijulang oleh pengikut dan bakal 'membeli undi' penyokong?

Kritik apa yang digarap? Komentar apa yang disirat? Protes apa yang dihajat? Analoginya tepat, parodinya pedas, metonimianya hampir: dialektik politik bangsa dijelajah dengan genre 'subculture': satu perdana, satu sub-budaya; satu elitis, satu picis; satu pengaruh kelas pertengahan, satu dokongan kelas jelata; dua-dua memperjuangkan kedaulatan nasionalisme kesukuan alias asabiyah; dua-dua mengalami keretakan 'mystique' perpaduan: dikotomi 'sharp/nazi', 'tim'a'/tim 'b', 'bulan/keris', 'liberalis/fundamentalis', 'lebai/korporat'. Spektrum politik kepartian negara sudah ternoda rona, bentuk dan isi. Warnanya kelam, formatnya 'clique', intinya marginal. Kesamsengan dan tipuhelah menjadi adab demokratik cara Melayu Baru. Formula empirikal 'cah keting', 'peteh kaki', sabotaj, 'gunting dalam lipatan' dan 'musang berbulu ayam' disifat tartib normaliti. Tipainduk dunia gelandangan dari 'underground' ke 'parlimen', demi ketaksuban doktrin dan dogma. Siapa memiliki daya muslihat, bakal mewarisi takhta. Tiada lagi kemulusan hati di dalam memenangi jawatan dan menduduki kerusi. Perebutan jawatan pemimpin wahid bertukar kepada pergocohan 'naluri jalanan' ala-gedebe. Konspirasi yang dirangka dalam jamban, surat layang berciri fiksyen 'brutal' dan 'melampau', manipulasi minda menerusi media, kelicikan 'mata seni' cctv, 'grafiti' palsu penyataan sokongan, fitnah liar, mahkamah (tu)kanggaru dan pencantasan karektor peribadi merajalela diangkat sebagai teks baru; sehingga tergolong sebagai metodologi klise dunia politik Malaysia alaf ini. Suratkhabar, tv, hakim, wanita cantik, maknyah adalah senjata baru perspektif protokol Darwinisme. Ikhlas, redha, setia dan akur itu lagam lama. Siapa mahu main politik dengan dondang sayang dan keroncong nusantara? Ini musim sadis lolong 'punk' dan 'skinhead'. Wajah baru, muzik baru, lambang baru, sahsiah baru. Tiada lagi zapin dan inang panggung politik. Ini siasah 'pogo' dan 'slam' bergelumang bawah selubung arena 'Death Centre'. Biarpun canggung tingkah dan sumbang langkah.

Watak Cassius merakamkan prinsip-prinsip primordial pelaku-pelaku radikal 'undergound'; khususnya 'skinhead' dengan lojik fasis neo-Nazi dan egomania agresif 'Malay Power'. Beliau petah berpidato memuntahkan idealisme 'anti-establishment' yang terkurung angkara marginalisasi budaya: "Diri kita, kena jaga diri kita;" "Bergocoh dan menentang untuk kebaikan puak kita, bukan untuk kepentingan peribadi;" "Aku ludah orang, orang ludah aku balik…tanda aku sayang pada puak aku…sepak terajang, bahaya;" "Sebagai pemberontak, kita mesti berani tanggung risiko;" "Sumpah itu kata-kata kosong, yang penting semangat untuk memberontak." Unsur 'punk' dan 'skinhead' sudah menjalar ke dalam konteks politik kebangsaan; tidak lagi semata-mata korpus ide dokongan anak-anak muda bawah-tanah akibat tujahan media mancanegara. Kedua-duanya pelantar memacu pandangan-dunia baru-utopia mendefinasikan 'unite and fight, roots and boots-bersatu dan beradu, bako dan but'. Tidak hanya falsafah dangkal (menurut kongkongan kacamata lama) anak-anak muda terperangkap dengan politik kebosanan, keterasingan, keangauan, keisengan. Ia punya ideologi dan idealisme, wicara dan wacana, dan tersusun oleh struktur dan sistem. Benar hujah Greg Graffin (A Punk Manifesto): berfikir dan bertindak melawan arus pemikiran popular adalah penting ke arah perkembangan tamadun manusia-demikianlah manifestasi 'punk'; sebentuk wahana perjuangan unjuran paradigma kemodenan individualisme yang menyangkal kekonyolan natijah-natijah sosial perdana. Ia bukan tin kosong tengadah di pinggir lorong budaya tradisi atau istiadat nasional; sewenang disepakterajang sepatu-sepatu hitam meluncur ke longkang hanyir peradaban. Mekanisma madat menggelupur di lapang diskriminasi sosial yang padat dengan pijat-pijat parasit merempit: 'poseur', oportunis, kapitalis, ultra-nasionalis, pragmatis, prejudis, hipokrit. Yang mahu jadi hero dengan lagak anti-heroisme kepada kusu masing-masing dengan slogan Machiaveli neo-Melayu: "The ends justify the means-niat menghalalkan cara". Angkatlah metod dan hukum apa sekali pun, janji kemenangan milik aku! Dengan manusia, mesin, media dan wang di bawah telunjukku, persetankan dengan isu teologi, nilai maruah dan akhlak tradisi! Itu moraliti lapuk pujangga dongeng merdeka. "Hidup 'skinhead'! Hidup 'skinhead'!"-Dirgahayu Melayu! Selamat 'front' kebangsaan! Hail! Zeitgeist! Hancur!

Estetika 'skinhead' dan etika kuncu-kuncunya bercorak revolusioner dan jebat; bukan sahaja melawan arus, bukan cuma satu gejala jelaga alternatif. Tapi suatu kepastian sosiosaikologi buat anak-anak muda pribumi pasca-kekolotan yang berani melanggar konformiti, mendampak formaliti, melantak jiwa kembiri; yang kerapkali disulap-terjemah sebagai representasi kebejatan sosial dari sumbang bohsia ke seleweng agama. Kitaran hayat mereka membenarkan ungkapan 'Kesasar Ke Lapar' Sitok Srengenge (Anak Jadah): "Aku terus melangkah, ke sampah-sampah / Lapar-haus kumamah, tak beribu tak berayah / Aku anak jadah dari peradaban yang pongah." Atau jerit angkuh Si Bongkok Tanjung Puteri: "Walau gunung berhalang, walau laut melintang, tetap kutentang, kudaki, kuharung, kurenang seberang / Aku tetap mahu bebas, ingin lepas / Aku tak mahu dipaksa, diperintah dikongkong derita jiwa." Berahi anarki terbit dari gaung kebebasan mutlak; tanpa rukun, tanpa hukum mengikat dasar.

Gedebe membina banyak paradoks, banyak perumpamaan, banyak sindiran. 'Death Centre' adalah 'Capitol', gelanggang "'spike', 'skinhead' dan 'punk' boleh 'pogo' sama-sama" meraikan kemenangan 'Caesar' ke atas 'Pompey'. Acara gig sebagai majlis meditasi kirtana kini laksana sidang parlimen tempat dicurahkan inzal Reich. Bingit muzik Oi! dan 'street punk/rock' dan melodi 'ska' dan 'rocksteady' Plague of Happiness dan Couple adalah 'spectacle' kebisingan penuh signifikan unik bikinan sida-sida dewan senat. Kinja 'pogo', gelek 'skanking' dan lompat 'slam' adalah tarian 'Freud' murba dendangan helah seloka jerangkung politikus. Air ludah adalah jampi fitnah, sundal-menyundal dan kata-mengata yang menular atas langit politik. Kencing lambang kanibalistik 'kawan makan kawan', kerana di dalam nuansa politik masa kini tiada sahabat yang kekal, tiada musuh yang tegal; walau berbuih mulut mengingatkan "lu jangan kencing gua", "aku setia kepada kau". Ini tampuk patriarki berduri tajam, tempat tikam-menikam, sepakterajang, makihamun, cacimaki kaum Adam; kehadiran Hawa barangkali satu pantang yang menginzalkan anti-klimaks. Ini buana anak jantan mengasap emosi primitif. Ini bong laga lantang, jalang, telanjang, kontang, malang, songsang. Tidak wajar muncul Yin-Yang; tidak patut terbit keharmonian; tidak perlu kepada keseimbangan. Kerana titik ekuilibrium menghancurkan hakikat kenikmatan berontakan dan amukan. Mesti ada 'chaos', baru ada 'order'. Kekalutan dituruti kedamaian…perpecahan dibondongi perpaduan…"unity in diversity"?

Dalam buakan darah dan kecai isi otaknya melimpahi lantai Death Centre, Caesar tidak sempat membisikkan "Et Tu Brute-And Thou Brutus"; belum sempat pun ditabalkan sebagai 'PM' puak 'punk' dan 'skinhead'. Jua tiada kelibat Mark Anthony di sampingnya (sebab sudah dibujuk pergi Decius) untuk mendengar syair wasiat terakhir perjuangan yang belum selesai. Brutus bisukelu merenung fantasma ketika dewan jadi sunyisepi, tika berdesing bedilan pistol; entah siap menjentik picunya. Cuma muncul wartawan asing sinis merakam sekujur tubuh kaku Caesar. Latah jurucakap Bukit Aman, episod pembunuhan itu hanyalah tohmahan rekaan media luar, bukan konspirasi polis; hanya khabar angin bertujuan mencakar wibawa pasukan keselamatan dan integriti kerajaan. Tutup fail. Kes selesai. Kebenaran tak terungkai. Teori konspirasi peringkat tertinggi terjuntai-juntai. Rakyat jelata terintai-intai. Dendam politik tak bisa begitu mudah terlangsai. Sungguh pun 'Cassius' telah dipenjarakan dan otopsi ke atas jenazah 'Caesar' dan 'Brutus' sudah disempurnakan, akan terbongkarkah rahsia "then fall Caesar" dalam kerangka politik kepartian nasional? Atau barangkali 'Brutus' hidup senang-lenang di apartmen mewah, 'Cassius' dikirim ke luar sempadan, dan 'Caesar' dibedah rupa buat samaran? Yang peningnya dalam vakum intelektual dan moral ialah khalayak murba. Wajarkah diturut semangat "kalau tak faham jugak, lu diam…boleh?" Lantas mungkin tertunaikah alamat tilikan Cassius: "Caesar, thou art revenged, even with the sword that killed thee"? Dendam masih membara; senjata kekal terhunus. Garda-depan 'Octavius' terus amarah mara. Oratori suara keramat 'Anthony' bakal bergemakah dalam legasi korpus 'Sejarah 'X' Malaysia'? Siapa pejuang? Siapa petualang? Siapa dalang? Caesar…Cassius…Brutus… Bayang-bayang? Yang pasti, bukan 'aku' bunuh mereka…

NH Khairuddin

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design