IMMERSION : EKSPLORASI TASIK BANDING

Seramai 26 orang artis visual tanahair terlibat dengan pameran ini. Antara artis yang terlibat : Agus Purnomo, Ahmad Shukri Mohamad, Bayu Utomo Radjikin, Bibi Chew, Eddy Sulistyo, Fairus Ahmad Yusof, Hamir Soib, Hasnul Jamal Saidon, Ili Farhana, Januri, Masnoor Ramli Mahmud, Mohd Fadli Yusof, Mohd Kamal Sabran, Mokhzaini Hairim Mokhtar, Raja Shahriman Raja Aziddin, Roslisham Ismail, Rosliza Aishah, Saiful Razman, Shahrul Niza Ahmad Zaini, Suzlee Ibrahim, Tan Vooi Yam, Teoh Joo Ngee, Umi Baizurah, Yaksa Agus Widodo, Zaslan Zeeha Zainee and Zulkifli Yusof.

Antara karya yang mengisi pameran Immersion :

Gulungan Sri Hijab Nurbaya - Hasnul J. Saidon
21.4cm x 21.9 cm, pencil, charcoal on paper
RM 3,500

Miang - Zulkifli Yusoff
51cm x 150 cm x 90 cm, Metal
RM 10,000
Subuh Firdausi - Fairus Ahmad Yusof
21.4cm x 21.9 cm, pencil, charcoal on paper
RM 320
Langit dan bumi -Saiful Razman
67 cm x 59.5 c, mixed media on canvas
RM 800
Ekspresi No. 1 - Hamir Soib
22.5cm x 14cm, news print, tissuepaper and resin
RM 1,400

Kesemua karya-karya adalah untuk dijual. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Cik Rafizah, Galeri Maya di talian 03 2282 2069. *** untuk keterangan lanjut mengenai Eksplorasi Seni Tasik Banding : Program anjuran YKP yang dilaksanakan dalam usaha merangkum perbagai ide seni, sokongan dan inisiatif artis tanahair...

Pelancaran Pameran IMMERSION di Galeri MAYA, 1 Julai 2004, jam 8.30 malam

Pameran telah dirasmikan oleh YB Zaili Bin Cha wakil kepada Y.B Dato' Dr. Zambry b. Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sumber Manusia & Teknologi Maklumat Negeri Perak.

IMMERSION…benaman jiwa seniman demi kemanusiaan

Lebih daripada seratus tetamu yang terdiri daripada para seniman dan sasterawan tanahair telah meraikan malam pembukaan pameran IMMERSION bertempat di Galeri MAYA, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pameran anjuran Yayasan Kesenian Perak(YKP) yang dilaksana untuk menyokong penubuhan Pusat Sumber Seni YKP ini dirasmikan oleh YB Zaili Cha yang mewakili YB Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sumber Manusia & Teknologi Maklumat Negeri Perak.

Pameran IMMERSION yang berakhir pada 18 Julai 2004, merupakan hasil rentetan program Eksplorasi Seni, yang dijalankan di Tasik Banding, Perak pada penghujung Februari 2004 dengan sokongan Balai Seni Lukis Negara dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Program bercorak ekspedisi yang berjaya mengumpul hampir tiga puluh orang artis visual sebagai peserta ini telah dikemudi oleh koordinator jemputan Hasnul Jamal Saidon yang kini berkhidmat sebagai pensyarah fakulti senireka dan senihalus serta merangkap Timbalan Dekan Pusat Seni dan Budaya, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Antara artis visual mapan yang mengambil bahagian di dalam pameran ini adalah Raja Shahriman Raja Aziddin, Zulkifli Yusoff, Bayu Utomo Radjikin, Umi Baizurah Mahir, Masnoor Ramli Mahmud, Hamir Soib, Ahmad Shukri Mohamad, Bibi Chew, Suzlee Ibrahim dan Teoh Joo Ngee. Sementara kelompok pelapis yang bakal mengharumkan persada seni tanahair seperti Roslisham Ismail, Tan Vooi Yam, Syahrul Niza Zaini, Fairus Ahmad, Ili Farhana, Mokhzaini Hairim, Saiful Razman dan Kamal Sabran turut terlibat di dalam program ini. Empat orang pelukis undangan dari kolektif seni Gelaran Budaya, Yogyakarta, Indonesia yang menyokong projek ini adalah Yaksa Agus, Januri, Eddy Sulistyo dan Agus Purnomo.

Di dalam Eksplorasi Seni, para peserta telah berpeluang mengenali, mendekati dan bermuhasabah dengan persekitaran alam semulajadi di Tasik Banding, yang menjadi platfom paling aman dan ideal bagi sesi-sesi 'ribut akal' (brainstorming) sesama mereka. Menelusuri tasik ke perkampungan orang asli untuk menjamah ubi bakar dan bersewang, mencium aura rafflesia di perbukitan, memancing, berkanu dan berendam hingga senja mendatang, mereka diminta mengutip pengalaman tersebut sebagai menokok inspirasi di dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif dan bermakna dalam konteks seni.

Selain daripada pameran IMMERSION ini, beberapa buah siri projek seni khusus untuk khalayak sekitar Perak, telah diputikkan melalui lima buah kumpulan seniman sewaktu sesi dialog dan perbincangan seni. Projek-projek yang bakal dilaksanakan adalah seperti festival seni yang mensasarkan beberapa buah sekolah sebagai 'pelanggan' utama, projeksi video seni di ruang awam dan lukisan mural di bangunan-bangunan serta tembok-tembok terbiar selain penghasilan karya-karya seni untuk kesedaran sivik. Di samping itu, projek senireka yang berteraskan senihalus, yang memilih objek 'akuarium' sebagai konsep asas, turut akan dilaksanakan untuk cuba mentebarluaskan permaknaan karya seni 3-dimensi. Projek yang dinamakan 'TAKUNG' ini dijangka menemui khalayak pada tahun 2005 di Kuala Lumpur.

Pihak YKP sedang di dalam proses pengumpulan bahan-bahan rujukan berkaitan seni dan budaya tempatan dan mengalu-alukan sumbangan orangramai untuk menyokong pelaksanaan Pusat Sumber Seni YKP serta program-program seni dan komuniti. Sesiapa yang berminat untuk menyumbang samaada dalam bentuk kewangan, bahan-bahan bacaan dan dokumentasi berkaitan seni dan budaya, sila berhubung dengan pihak YKP di talian 05-5484150 atau fax 05-5484151 (Nur Hanim).

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design