PAMERAN 6DECKS

6DECKS; Suatu Percubaan

Karya minimalis oleh Tengku Azhari Tengku Azizan melalui aturan mendatar berlatar hitam yang mengandungi teks dibaca secara turutan roman, Mokhzaini Hairim Mokthar bercerita tentang arca kayu bersaiz kecil yang diatur dalam posisi terancang dengan menggunakan bantuan cahaya untuk menuntut kewujudan bayang, Fairus Ahmad Yusof dengan karya catan separuh logik yang melawan etika galeri menggunakan bingkai sebagai pendokong dan karya kanvas oleh Zaslan Zeeha Zainee tanpa bingkai dan dipamerkan secara bersahaja adalah sebahagian daripada isi yang terkandung di dalam pameran 6DECKS. Apa yang dimaksudkan dengan 6DECKS? Apa yang menyebabkan karya mereka sebegitu? Apa yang mereka mahukan? Kesemua karya ini membezakan peranan daripada kefahaman konteks, teori dan pendekatan, namun apa yang pasti, masing-masing mencari kelainan di dalam pameran ini.

6DECKS merupakan sebuah pameran kolektif oleh 4 orang artis muda visual tanahair, Zaslan Zeeha Zainee, Fairus Ahmad Yusof, Mokhzaini Hairim Mokhtar dan Tengku Azhari Tengku Azizan bersempena dengan Malam Genta Merdeka 3. Pengalaman dan pengajaran yang dikutip diadaptasikan dalam bentuk dan ruang hasil daripada ekspedisi Kembara Seni - Meniti Arus Bahtera Bayu. Dilambung ombak, dibuai angin, sejauh pandangan perjalanan dijejak, yang nyata dunia materialistik menjadi panduan. Kebosanan dan kepura-puraan dalam kenyataan menjadikan mereka bosan kepada kelaziman hidup dan berusaha mencari jatidiri dan kebebasan dalam berkarya.

6DECKS tidak sekadar hanya pengalaman peribadi pengkarya yang dikongsi malah jauh lebih daripada itu mengajak khalayak untuk pendefinisian makna yang terkandung di dalam pameran ini. Mungkin persoalan akan timbul apabila bahan dan karya seni tidak lagi menjadi syarat utama di dalam mengutarakan hubungan makna tetapi apakah sikap pelukis itu sendiri yang berperanan menghayunkan rentak kejujurannya sewaktu proses pengkaryaan sedang berlangsung. Kemungkinan juga karya adalah kulit yang menceritakan isi daripada pameran atau sebaliknya. Mungkin ini menjadi penyebab kepada semangat anak muda berempat ini menawarkan keakraban diri mencari peribadi mereka di dataran masin. Pameran 6DECKS yang berlangsung selama sebulan (20 Ogos hingga 20 September, 2004) adalah suatu proses permulaan, percubaan dan gelanggang bagi mereka untuk meneruskan pentradisian berkarya secara lebih intelektual dan matang.


Pelukis
-------------------------------------------------------

Dari kiri : Raja Ahmad Aminullah, Zaslan Zeeha Zainee, Mokhzaini Hairim Mokhtar & Fairus Ahmad Yusoff.

>> Zaslan Zeeha Zainee What I See

WHAT I DON'T SEE I DON'T KNOW
WHAT I DON'T KNOW I DON'T WANT
WHAT I DON'T WANT I DON'T NEED
WHAT I DON'T NEED I DON'T FEEL
WHAT I DON'T FEEL I DON'T SAY
WHAT I DON'T SAY I DON'T DO
WHAT I DON'T DO I DON'T LIKE
WHAT I DON'T LIKE I WASTE

" Art is not always created for art's sake. In the case of popular art, artists draw on society's beliefs, myths, icons, and heroic ideals to create art which has a definite purpose in reaffirming society's values. From antiquity, art has been used to reach out to the majority of the community... "


>> Fairus Ahmad Yusoff Antara Langit Dan Bumi; mengALAMinya

KEMBARA SENI
Ini sedikit catatan pendek yang dikutip daripada perjalanan itu.


>15.00>Julai.03.2004
>Lumut>Jeti Pengkalan
Tanpa mengenal batas masa, aku melakar sejarah estetika dengan menyusur air masin yang luas. Pengalaman bersama angin bayu sambil menikmati secangkir kopi, membawa bersama catatan harian untuk di kongsi dengan teman akrab yang sentiasa tidak jemu berkarya untuk suatu daerah seni. Masing-masing bertanya dan menjawab untuk diri sendiri kepada kemungkinan-kemungkinan kepada suatu keadaan yang tidak pasti.

garam = masin
+
besi = padu
+
angin = deru
+
arah = seragam

>13.00>Julai.04.2004
>Langkawi>Jeti Kuah
Ramai orang menawarkan kebaikan daripada keburukan, dan kita sebagai tetamu menerimanya bulat-bulat tanpa sebarang hukum. Semacam tabiat yang diamalkan sehinggakan kehidupan harian tawar-menawar sebagai satu kelaziman. Di laut tidak ada tawar-menawar, walhal hasil daripada laut itu juga akan dinilai keasliannya apabila dibahagikan kepada gred dan kelas. Maka wujud status baru dalam masyarakat yang dianggap maju dan bertamadun itu kepada kelas-kelas kehidupan. Apakah bentuk dan cara hidup mereka itu?

kaya + miskin
+
pangkat + darjat
=
orang tempatan + orang asing

>16.00>Julai.04.2004
>Langkawi>Galeri Seni Ibrahim Hussain
Kecantikan yang dilihat daripada kulit adalah keburukan yang paling nyata untuk dinilai kerana ia tidak pasti atau mungkin jua tidak sama dengan apa yang ada di
dalamnya.

RM 12.00 + cermin tebal (mungkin kalis peluru) + petak/bulat/bersegi +
no camera or video cam please!
= daun/burung/tanah/awanbiru

>20.00>Julai.05.2004
>Lumut>M.V. Fajar Samudera
Lepas kiblat, keramaian bersama dengan aneka juadah dan bahasa indah jua memuji TUHAN / ALAM / MANUSIA atau memuja?. Maaf kerana kami tak dapat bersama kerana ini bukan gelanggang kami!

Alam menilai pemikiran manusia supaya tidak sesat kepada kebenaran yang diukur oleh kebijaksanaan akal dan kewarasan budi. Dataran kelabu dan kemasinan yang luas itu adalah pengukuran kepada kesungguhan manusia untuk terus pergi jauh daripada kepompong hidupnya demi sebuah masa yang tidak pasti hadnya sehingga kepada seruNya.

Pengukuran budi manusia melalui bahasa alam adalah sebagai signifikasi kepada sifat mengALAMinya yang mempunyai hubungan langsung atau tidak nyata mungkin jua sedikit kekaburan pada pandangan mata hati diri. Visual yang dirakam adalah pengalaman-pengalaman budi terhadap nilai kesepaduan atau keakraban diri daripada mengALAMinya. Keakraban ini diterjemahkan secara peribadi dan dinilai kembali sebagai kemungkinan-kemungkinan yang boleh dikongsi atau dimiliki secara bersama.

Kadang kala kita sedar mungkin jua sebaliknya dengan apa yang telah berlaku kerana ia adalah sebahagian daripada kendiri kita. Atau kita sendiri yang sentiasa mahu menafikannya?

>> Mokhzaini Hairim Mokhtar ' healing hands make happy souls '

>> Tengku Azahari Tengku Azizan meeting people

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design