GEBANG SENI MARSLI N.O

Sasterawan dan aktivis teater ini akan berkongsi pengalaman beliau serta membicarakan tentang permasalahan dan kelangsungan hayat kumpulan teater dengan " Sejauh mana teater mempengaruhi persembahan puisi di pentas & pengkaryaan karya-karya sastera ".

BIODATA MARSLI N.O

Nama pena bagi Ramli Selamat. Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibunya pula negeri Terengganu, sehingga ini seringkali membuatkan beliau dianggap sebagai "anak orang luar". Mula melibatkan diri dalam bidang penulisan secara sungguh-sungguh pada tahun 1975 tetapi karyanya baru mendapat tempat pada tahun 1979. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah.
Tahun 1985 puisinya Di Hadapan Buku-Buku antara yang meraih sagu hati Hadiah Sastera Utusan Public-Bank, tahun 1989 puisinya Negeri Ini, Anak antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena. Pada tahun 1993 cerpennya Belon antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1994 cerpennya Pembela turut meraih anugerah yang sama. Sementara puisinya Begitu Kata Malam antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997. Cerpennnya Menanti Buraq pula antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 Kategori B (eceran). Sebagai penulis lirik, liriknya Dunia Milik Kita antara yang meraih hadiah sagu hati Pertandingan Mencipta Lirik sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Music Author's Copyright Protection (MACP) Bhd.

Sejak 1981 terlibat juga dengan teater selaku pelakon, penulis naskhah, jurulatih, sutradara dan aktif membacakan naskhah. Di samping tampil dalam sejumlah pementasan, antaranya ialah pada 26 - 28 Ogos 2000 dalam pementasan Gelanggang Tok Wali karya Ismail Kassan dan arahan Shukor Yon. Penglibatan ini turut memberikan kesan dalam cara dan gayanya ketika di pentas dan sikapnya dalam mengarang. Di samping itu, pada Pekan Teater Pahang 2000, bersama Bengkel Teater Kuantan pimpinanannya dan dengan naskhah Fragmen Tolong karya dan disutradarai oleh beliau, telah meraih Juara Pekan Teater Pahang 2000 dan ketika mewakili Pahang ke peringkat Zon Timur di Johor Bharu pada tahun yang sama telah berjaya meraih naib juara.
Sebagai deklamator beliau telah diundang dalam banyak acara. Pada 9 April 1988 di Baca Puisi Minggu Sastera DBP; 29 Oktober 1988 di Malam Puisi Riong III; Pembaca Sajak Terjemahan PPDKL 1988 (24 - 27 1988); 7 Mac 1989 di Puisi DBKL 1989; 15 Disember 1991 di acara Temu Puisi (Matic, KL); pada 13 Februari 1992 bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis DBP; pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL; 24 November 1993 di baca puisi Majlis Pelancaran Perisa (DBP); 29 Julai 1995 di acara Puisi Sepetang anjuran Kelab Sastera DBP; pada 9 September 1998 di acara Deklamasi Puisi Komanwel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Istana, Kuala Lumpur; 24 September 1999 di acara Baca Puisi Bersama-sama Kedutaan Asing sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 1999 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor; pada 29 Ogos 2000 beliau merupakan salah seorang penyair yang tampil membacakan puisi bersama Perdana Menteri Malaysia di acara Baca Puisi Patriotik anjuran Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya; bersempena Festival Puisi Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 15 November 2000 beliau mementaskan dekon Dari Pungguk ke Katarsis bersama warga Bengkel Teater Kuantan pimpinanannya; pada 18 Ogos 2001 dijemput sebagai salah seorang pembaca puisi di dalam konsert Phoenix Bangkit penyanyi M. Nasir tetapi ketika siaran rakamannya pada malam 30 Ogos 2001 di NTV7, segemen baca puisi tersebut tidak diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) atas sebab dan alasan yang tidak jelas. Sekali lagi, pada 28 Ogos 2002 beliau merupakan salah seorang penyair yang diundang membacakan puisi di Pesta Puisi Patriotik 3 anjuran Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Selain di pentas, beliau juga telah dua kali tampil di tv membacakan puisinya di rancangan Anjung Budi terbitan RTM 1. Bersama teman-temannya dari Bengkel Teater Kuantan, beliau juga mempersembahkan dekon di rancangan yang sama.

Antara bukunya yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi Negeri Ini, Anak (DBP, 1994) dan Hanya Kata (DBP, 1995). Novel remaja Utusan Di Daerah Asing (DBP, 1993) dan novel kanak-kanak Mencari Misteri (DBP, 1997). Kumpulan cerpennya yang telah diterbitkan pula ialah Biduan (DBP, 1994) dan Demi (DBP: 1998). Secara persendirian pula, beliau telah menerbitkan kumpulan puisi Siapa di Balik Sana? (1986), Bla Bla Bla (1990), Ninabobok (1993), kumpulan cerpen Penipu (1997) dan bakal diterbitkan kumpulan puisi ialah Buku Sejarah. Dalam kumpulan bersama pula puisinya turut dimuat di dalam Manifestasi (Pena, 1982), Selagi Ombak Mengejar Pantai 5 (Kemudi, 1986), Masih Adakah Kasih Untukku (Utusan Melayu, 1986), Gema Membelah Gema 8 (1987), Gema Membelah Gema 10 (1991), Gema Membelah Gema 11 (1994), Puisirama Merdeka (PENA, 1986), Di Luar Kerelaan (DPMP, 1987), Jika kau Rindu (DBP, 1988), Di Atas Mimbar Merdeka (DBP, 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (DBP, 1990), Salam Samudera (Universiti Malaya, 1990), Antologi Temu Puisi (Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, 1991), Takhta dan Rakyat Suatu Manifestasi (DBP, 1993), Cetera (Kelab Sastera DBP, 1994), Rumah Merdeka (Gapena, 1998) dan Aksara Merdeka (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2000). Di luar negara puisinya turut dimuat di dalam ASEANO: An Anthology of Poems From Southeast Asia (Asean Committee on Culture & Information: Manila, 1995). Dalam kumpulan bersama pula cerpennya dimuatkan dalam La Q (DBP, 1991), Fenomena (DBP, 1992), Mercu 2 (DBP, 1993), Mercu 3 (DBP, 1995). Sementara tulisannya berupa rencana teater turut dimuat di dalam antologi Teater Terengganu Suatu Penelitian Pasca Moden (Tetamu, 1996) dan Jenama, Tulang Belakang, Akar Umbi Teater Terengganu (Tetamu, 1997).

Pada April 1993 hingga Oktober 1995 pernah menjadi pengacara rancangan Galeri Minda di Radio Tiga Kuantan yang membicarakan isu-isu sastera semasa dan ulasan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila. Pada 21 hingga 27 Ogos 2003 pula meakili negara ke Singapore Writer's Festival anjuran National Art Council, Singapura di Singapura.

Di samping meneruskan kerja-kerja kreatif dan keseniannya secara bersendirian di Kuantan, beliau turut juga membantu perkembangan bakat-bakat baru melalui bengkel dan kursus sama ada yang dianjurkan oleh jabatan setempat mahupun secara peribadi dan sering diundang menjadi hakim bagi sayembara deklamasi. Selain itu, dari tahun 1994 hingga 1999, dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan, baik berupa benda mahupun karya, secara tribulan pernah menerbitkan antologi karya kreatif/non kreatif yang diberikan judul P-S. Bersama beberapa teman seperti Muhd Nasruddin Dasuki, Amirul Fakir, Djazlam Zainal, Imlan Adabi, Shamsuddin Othman dan lain-lain, beliau merupakan salah seorang yang mewujudkan kelompok sasterawan dengan nama Angkatan 21.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai sasterawan juga telah beberapa kali diundang sebagai pemakalah. Antaranya pada Forum Kemelut Sastera Malaysia anjuran bersama KALAM, DBP dan Gapena pada 30 November 1996; Dialog Sasterawan Generasi Baru 1 (anjuran Kelab Sastera dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, 3 Oktober 1998); Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (23 - 25 November 1998 anjuran Kelab Sastera DBP); Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (anjuran DBP, Gapena dan PPJ di Johor Bahru, 17 - 21 April 1999)dan Perkampungan Penulis Muda Malaysia (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuching, Sarawak pada 12 - 15 Jun 2003).

 

 

KERTAS KERJA - " TEATER, PUISI, PERCAKAPAN SEORANG ANONIM * ". oleh Marsli N.O

1
Diri

ENTAH kerana rasa rendah diri yang terlalu menebal atau memang ini satu kenyataan, saya selalu ingin meletakkan diri sendiri di tengah dunia seni dan sastera yang sentiasa heboh ini cuma sebagai seorang manusia yang hanya akan datang atau muncul bila dirasakan perlu dan kemudian akan dengan segera pula menghilang bila sudah menyelesaikan tugas.

Justeru, saya peribadi lebih banyak ingin menyendiri dan malah sering juga dengan sengaja memilih untuk bersembunyi dan kalau muncul juga di mana-mana, selalu jauh di dasar sanubari saya, terpercik rasa malu dan tersipu-sipu kerana amat menyedari betapa diri ini sebenarnya bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan sejumlah nama lain yang tentu saja jauh lebih banyak dan bernilai segala bentuk sumbangan seni serta sasteranya.

Mungkin semua ini dirasakan kerana saya memang memiliki rasa rendah diri yang sangat tebal, sehingga selalu terjadi goncangan-goncangan di dalam jiwa saya begitu bila saya perlu atau terpaksa berhadapan dengan khalayak di mana pun.

Rasa rendah diri ini mungkin puncanya kerana saya selalu merasa dan malah meletakkan diri saya dalam hubungan hanya sebagai seorang yang bukan apa-apa, seorang yang anonim, yang sebenarnya boleh saja untuk tidak diperhitungkan dan dalam waktu lain, di tengah dunia seni dan sastera yang semakin bising dan sibuk ini, boleh jadi juga akan tiba-tiba bangkit berteriak atau membentak untuk menyatakan sikap dan pendapatnya terhadap sesuatu isu atau peristiwa yang khusus melibatkan diri serta masyarakat bangsanya. Pertanyaan demi pertanyaan yang bergaung di dalam jiwa, gugahan demi gugahan yang bertalu-talu mendesaki perasaan, akhirnya membuatkan saya jadi lupa dengan sekelip mata akan rasa rendah diri itu dan memberikan segala tumpuan diri serta perasaan terhadap pergulatan peribadinya sebagai seorang seniman. Ketika ini jugalah, bukan mustahil yang terhambur adalah barangkali juga teriak dan rasa marah. Namun, untuk sesekali dapat bangkit berteriak atau membentak menyatakan sikap dan pendapat, atau mengajak diri bergulat sebagai seniman, saya sebenarnya terpaksa menjadi murid kepada sejumlah manusia yang saya namakan guru. Tanpa mereka, tentu saja, saya akan tetap terus hanyalah seorang anonim yang sama sekali tidak mempunyai erti. Kerana adanya guru-guru inilah, maka saya setidaknya bukanlah semata-mata debu, tetapi titik, walau titik itu pun barangkalitidaklah terlalu jelas dan besar di tengah bahagian-bahagian tertentu peta sastera negaraku yang kadang-kala dikumali oleh debu dan warna yang entahkan apa.

... untuk artikel selanjutnya silalah dapatkan kertas kerja Marsli N.O keluaran YKP yang berharga RM 2.50 senaskah termasuk kos penghantaran, SEKARANG!

Gebang Seni Bersama Marsli N.O :
Titik Kecil Yang Berani Demi Hak !


Oleh : Amirul Fakir.
amirulfakir@yahoo.co.uk

RUMAH YKP baru-baru ini telah dimeriahkan dengan kunjungan para penggiat teater dan peminat seni sekitar bandar raya Ipoh. Malahan turut kelihatan adalah sekumpulan aktivis seni daripada kalangan anak muda dari Kuala Lumpur yang mau menimba ilmu pada petang yang damai itu. Acara Gebang Seni suatu sessi santai yang acapkali diadakan di rumah YKP, menampilkan tokoh-tokoh dalam berbagai bidang seni sama ada yang mapan maupun di kalangan mereka yang mulai melakar nama untuk bersama berkongsi pengalamannya lewat percakapan dan diskusi bersama khalayak.

Yayasan Kesenian Perak pada sessi kali ini telah mengundang seorang sasterawan, aktivis teater dan deklamator berbakat dari Pahang, Marsli N.O untuk memperkatakan tentang; 'Sejauh mana teater mempengaruhi persembahan puisi di pentas dan pengkaryaan karya-karya sastera.' Dengan nada apologis, Marsli di awal percakapannya beranggapan bahawa beliau bukanlah sebuah nama yang gemerlap di dalam bidang teater malah secara jujur menjelaskan bahawa beliau hanyalah seorang pekerja teater yang sekadar bergerak di sekitar daerahnya demi kelangsungan hayat teater di sana.

Ini dijelaskan secara tuntas di dalam kertas percakapan yang diedarkan pada khalayak. Beliau secara sedar mengakui telah memanupulasikan kelebihan ilmu teater yang dimiliki untuk mengembangkan bakat seninya ke dalam genre puisi, cerpen dan novel kerana baginya teater merupakan sebuah rumah pengalaman dan ilmu yang tidak ternilai. Melalui bidang teater beliau mengenal arti disiplin, keyakinan, kawalan diri dan maksud penghayatan. Tidak sekadar kata-kata tetapi dipraktikkan secara langsung dalam kehidupan.

Meskipun mulai mengorak langkah ke dalam dunia seni dengan menghasilkan puisi namun apabila beliau mencumbui dunia teater, kegiatan deklamasi tumbuh secara beriringan dengan latihan-latihan teater yang dijalani saban minggu bersama Kumpulan Anak Seni Inderapura. Melalui bengkel-bengkel yang dihadiri dan bimbingan daripada tokoh-tokoh teater yang tersohor antaranya Matari Rahman, Dr. Zainal Latiff, Allahyarham Aziz H.M, Samad Salleh dan Marzuki Ali serta beberapa nama lagi, beliau dengan penuh keyakinan menubuhkan Bengkel Teater Kuantan (BTK) sekitar tahun 1986.

Bersama teman-temannya di dalam BTK, Marsli cuba mempraktikkan konsep teater 'hati-nurani' yang ditiru daripada khazanah permainan tradisi seperti mak yong, main puteri dan lain-lain, berlandaskan gerak daripada dalam diri pemain. Melalui konsep ini, pemain menggali kisah dalam diri manakala sutradara hanyalah berperanan sebagai 'pemandu arah' namun bentuk ini memerlukan keberanian dan kejujuran pemain untuk berhadapan dengan wataknya itu.

Dengan latihan teater saban minggu yang dijalani dan garapan ilmu teater tradisi dan moden yang didapati daripada tokoh-tokoh teater tersohor itu, BTK kemudiannya merealisasikan konsep tersebut melalui beberapa pementasan. Di antaranya ; 'Sampuk', 'Sang Aktor', 'Sang Babi', 'Sampuk II', 'Parasit' dan 'Fragmen Tolong' sehingga pernah dinobatkan sebagai juara Pekan Teater Pahang dan menjadi naib juara dalam pertandingan di peringkat Zon Timur yang diadakan di Johor Bharu.

Berbekalkan latihan teater seperti olah tubuh, nafas, anggota, penghayatan dan melontar suara melawan debur ombak di pantai berhampiran kediamannya, Marsli dengan penuh keyakinan, acapkali tampil ke pentas deklamasi melontarkan bait-bait puisi yang digarapnya. Melalui pengalaman deklamasi ini, beliau semakin arif betapa baca puisi itu bukanlah laung dan lolong suara semata tetapi perlu dibarengi oleh emosi, warna suara dan perwatakannya serta dijaga juga tempo cepat lambat, tekanan tinggi rendah nadanya.

Pengertian deklamasi juga baginya tidak lagi hanya tertumpu pada naskah puisi malahan cerpen dan novel juga boleh dibawakan ke pentas untuk dinikmati khalayak. Ini kemudiannya dibuktikan bersama beberapa teman daripada BTK yang menampilkan pembacaan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.

Dunia teater yang diakrabi, turut memberi kesan terhadap sikap dan konsep dalam dunia kepengarangannya. Ini jelas terlihat dalam cerpen-cerpen yang digarapnya kerana bagi beliau sebuah cerpen adalah sebuah pentas yang memaparkan kejadian demi kejadian, watak demi watak dan sebagai pengarang, beliau hanyalah seorang sutradara yang diizinkan untuk sementara waktu mengendalikan pentas dan pentas bagi seorang pengarang adalah kertas! Untuk itu beliau selalu beranggapan cerpennya sebagai naskah drama dengan maksud nantinya dapat dibacakan di atas pentas.

Ketika disoal tentang maksud pernyataannya, bahawa: 'teater telah meredamkan rasa marah seni saya' oleh Rashidi Kharris, salah seorang ahli Badan Budaya Perak sewaktu sessi dialog berlangsung, Marsli menjelaskan orang seni perlu ada rasa marah kerana ia memungkinkan meledaknya pertanyaan-pertanyaan namun harus rasional. Kemarahan seni yang diredam, akan menghasilkan kebijaksanaan dan teknik dalam teater mampu mengolahnya kepada bentuk yang positif.

Seorang peminat seni dari Ipoh, Syed Omar melontarkan persoalan tentang Angkatan 21, yang menurutnya seolah-olah cuba disembunyikan kewujudannya daripada sejarah kesusasteraan tanah air. Marsli secara tegas menyatakan Angkatan 21 tidak mungkin dapat dilenyapkan daripada sejarah kerana ianya sudah didokumentasikan di dalam manifesto yang berjudul; 'Angkatan 21: sikap, pemikiran dan karya.'(Forum Abad 21,2000), tetapi cetakan yang dihasilkan agak terhad. Malah menurut Marsli lagi beliau yang bertindak sebagai penyelaras manifesto tersebut, turut mewujudkan laman webnya.

Angkatan 21 kini telah menyerap ke dalam persatuan-persatuan bagi menyebarkan idealismenya yang mana antaranya ialah sastera yang tidak berpihak, tambahnya lagi. Namun dengan nada kesal beliau mengakui, terdapat juga di kalangan golongan muda kini yang bersedia untuk bersekongkol dengan sebahagian pihak yang mau memesong dan melenyapkan sejarah itu.

Menjawab soalan tentang pengertian sastera independen dan dalang sastera, daripada salah seorang kelompok anak muda dari Kuala Lumpur, beliau berpendapat sastera independen ialah yang menyatakan secara telus akan sesuatu itu sama ada ia benar atau sebaliknya berlandaskan agama dan moral. Manakala dalang sastera adalah mereka yang tampil dengan berbagai wajah dan kostum untuk merealisasikan agenda yang tersembunyi. Suatu hal yang harus dipelajari daripada sejarah alam Melayu ialah jangan sekali-kali mau menjadi Hang Nadim!

Salah seorang pelukis muda, Fairus Ahmad bertanya tentang sejauh mana penggiat teater memanfaatkan teater tradisi dalam mementaskan teater moden dan kepentingan prop dalam sesebuah pementasan teater. Menurut Marsli, tidak ramai orang teater yang memahami dunia tradisi kecuali beberapa orang penggiat yang benar-benar memanfaatkannya. Ini mungkin kerana mereka yang terlibat dengan teater moden tidak minat dan tidak sedar akan kepentingan itu. Manakala tentang prop dalam pementasan teater, beliau menyatakan bahawa di daerah-daerah, pementasan dan prop tidak dibantu oleh teknik yang canggih lantaran kurang ilmu dan pekerja teater yang mahir dalam hal tersebut hampir tidak ada.

Onn Abdullah penyair dari Ipoh, melontarkan tanya mengenai bentuk deklamasi di luar negara apakah seperti yang terdapat di rantau sebelah sini yang tekniknya agak pelbagai. Marsli menjelaskan bahawa deklamasi di rantau sini lebih berlatarkan unsur tradisi sedang di barat yang dipanggil 'poetry reading' itu hanya sekadar membaca puisi tanpa dibumbui elemen teaterikal. Tambahnya lagi, menjerit di pentas itu belum tentu hebat kerana apa yang lebih penting ialah harus bersesuaian dengan puisi dan mesej yang mau disampaikan.

Oleh kerana pembacaan puisi di negara ini kini lebih dihangatkan oleh golongan selebriti dan glamour serta sedikit ganjaran, maka kini berbondong-bondonglah mereka yang ingin membaca puisi sehingga wujud golongan pembaca puisi palsu. Iaitu mereka yang tak punya sebarang persiapan, latihan dan memahami arti puisi itu sendiri tetapi begitu berselera untuk tampil agar memperolehi ganjaran yang sememangnya sedikit itu, jelas Marsli lagi dengan agak lantang.

Sebelum mengakhiri bicaranya pada petang yang damai tetapi hangat dengan lontaran soalan dan jawaban yang gerah itu, Marsli sekali lagi menyatakan secara jujur bahawa daripada beliau memang tidak terdapat hasil kerja teater yang dapat diperagakan di peringkat nasional namun sebagai seorang seniman dari sebuah daerah, beliau amat bersyukur lantaran tidak terpaksa untuk menjadi pengekor atau penjilat hanya untuk memperolehi nama yang besar kerana secara peribadi baginya, segala kebesaran atau apa pun yang sejenis dengannya bukanlah menjadi matlamat. Sebaliknya, sebagai seniman dari sebuah daerah, beliau berasa berbahagia kerana kehadirannya dalam dunia kesenimanan tidak hanya debu semata tetapi adalah sebuah titik meskipun kecil tetapi tetap berani menyatakan hak !



KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design