TAKUNG
Teks
Kuratorial asal yang mengisi katalog TAKUNG terbitan BSLN ini dihasilkan
oleh kurator pameran Hasnul Jamal Saidon.
MENGOCAK
TAKUNGAN
Hasnul J Saidon
Pameran
ini saya ulas dalam lima bahagian. Saya cuba mengocak takungan pameran dengan
harapan menghasilkan 'ekosistem' yang lebih sihat untuk ditadah bersama.
Bahagian
pertama lebih merupakan prelud atau 'appetizer'yang melaraskan nada. Ia boleh dibaca
sebagai abstrak yang agak romantis untuk kandungan katalog mahupun pameran.
Bahagian
kedua difokuskan pada latar awal yang meliputi objektif, definisi, dan persoalan
umum. Ia disusun semula dari kertas-kerja asal pameran yang telah diedarkan kepada
semua pengkarya terlibat selepas tamatnya ekspedisi Tasik Banding. Kandungannya
lebih bersifat panduan operasi yang umum untuk tujuan penyelarasan kerja pameran.
Bahagian
ketiga yang paling kritikal, paling panjang dan menjurus kepada realiti praktis.
Saya tekankan ulasan tentang latar takungan yang menindani kandungan pameran ini.
Tugas saya adalah memberikan latar yang sebenarnya banyak mempengaruhi bagaimana
karya-karya sezaman dibaca. Dalam bahagian ini, pembaca dan penonton dijemput
merenung samaada 'ekosistem' pameran "Takung" mahupun seni rupa sezaman
Malaysia amnya berdaya-hayat (sustainable) atau tidak, terutama jika dibaca dalam
konteks takungan yang lebih besar - seni rupa sezaman antarabangsa dan kancah
globalisasi? Walaupun "Takung" berskala kecil dan tempatan, semua dijemput
membacanya dalam konteks 'ekosistem' takungan antarabangsa. Ulasannya kait-mengait,
bertindan dan saling bergantungan.
Bahagian
keempat ditumpukan kepada cadangan kerangka konsep pameran yang lebih terarah.
Kandungannya bersifat teoretikal. Terasnya berasas kepada pembinaan persikapan
yang dirasakan dapat membentuk takungan 'ekosistem' pameran seni rupa lebih berdaya-hayat.
Ia dihuraikan dalam bentuk anjakan sikap dan kerangka prinsip yang dirasakan wajar
menjadi panduan berpameran pada masa hadapan. Walapun pernah menempiaskannya kepada
beberapa rakan pengkarya yang lain, kandungan bahagian ini tidak dibincangkan
secara khusus ketika ekspedisi, mahupun selepasnya. Saya mahu mengelak dari memaksakan
konsep atau teori kepada realiti amali. Projek dan pameran ini dijadikan satu
pelantar untuk meninjau sama ada kerangka konsep yang digariskan berpotensi untuk
diamalikan atau tidak? Lebih selesa tinjauan ini dibuat tanpa memaksa kerangka
konsep tersebut kepada pengkarya dalam bentuk 'arahan.' Lebih molek dibiarkan
isi takungan terbentuk sendiri tanpa banyak gangguan teori dari saya.
Bahagian
kelima mengajak pembaca melayari karya-karya dalam "Takung." Ia diletakkan
beriringan dengan esei utama untuk memandu pembaca dalam mencerap konteks yang
melatari isi "Takung."
Semua
pembaca dan penonton dijemput membuat refleksi diri. Ia persis merenung bayang
sendiri di atas permukaan air yang ditadah oleh kedua telapak tangan ketika membasuh.
Seperti juga posisi saya sebagai pengulas yang juga diulas (kurator dan pengkarya),
kita semua adalah 'yang menadah dan ditadah' dalam takungan yang jauh lebih luas
dan halus dari yang dapat kita bayangkan dengan pengamatan kasar.
Selamat
menadah dan ditadah!
1.
TAKUNG - YANG MENADAH DAN YANG DITADAH
1.1
Cinta dan ikatan spiritual yang semakin tenat
"Adakah
kamu Tuhan?" mereka bertanya kepada Buddha
"Tidak." Jawab beliau
"Jika
demikian, adakah kamu malaikat?"
"Tidak."
"Seorang wali?"
"Tidak."
"Jika
demikian, siapakah kamu?"
Buddha menjawab : "Saya ialah yang sedar!"
(1)
Dalam
kemelut kejutan global dari kesan tsunami, kata-kata seperti kocak, ombak, gelombang
dan getaran malangnya telah berubah makna, menyarankan bencana, kematian dan kesugulan.
Namun begitu, dari sudut pandangan fizikal atau saintifik, kata-kata ini adalah
lebih dekat dengan kita daripada makna-makna lazim yang seringkali kita kaitkan
dengannya. Keseluruhan alam adalah sebuah simfoni agung dalam mana jaringan rantaian
tenaga bergetar persis gelombang yang bertindih dalam pelbagai frekuensi. Kita
adalah sebahagian dari jaringan ini. Interaksi antara frekuensi-frekuensi ini
adalah apa yang kita cerap sebagai warna dan bentuk - termasuk diri kita sendiri
dan realiti fizikal di sekeliling kita. Kita sebenarnya saling berkait dalam jaringan
corak tenaga yang halus dan tidak kelihatan ini. Kita tidak pernah berdiri bebas
dengan sendiri, atau menjadi pemerhati yang bebas merenung suatu dunia lain 'di
luar sana.' Hanya yang angkuh dan jahil antara kita saja yang menyatakan dia boleh
bebas berdiri sendiri. (2)
Kita pada asasnya adalah getaran, kocak, ombak,
gelombang, yang sentiasa berselaras (atau tidak, bergantung pada pilihan sendiri)
dengan keseluruhan alam semesta yang lebih besar. Setiap orang memiliki pasang-surut
dan tsunami masing-masing. Kita adalah yang menampung dan yang ditampung, yang
menadah dan yang ditadah, yang memerhati dan yang diperhatikan, yang mencintai
dan yang dicintai.
Seorang
ketua masyarakat Amerikan-Indian pernah menyatakan bahawa, "kita adalah suatu
rantaian halus dalam sebuah jaringan hidup. Apa yang kita lakukan pada jaringan
ini, kita lakukan pada diri sendiri. Semua perkara adalah terangkai bersama-sama.
Semua perkara saling berkait." (3) Hikmah-hikmah sebegini telah dihuraikan
oleh banyak tradisi spiritual dan telah dibuktikan menerusi kajian-kajian sains,
terutama sekali fizik kuantum. (4)
"Kita
bukanlah manusia yang mengalami pengalaman spiritual. Kita sebaliknya adalah makhluk
spiritual, yang mengalami pengalaman manusia." (Teilhard de Charin)
Bagi
kebanyakan dikalangan kita yang suka bergantung kepada kesan-kesan deria untuk
mentafsir realiti yang semakin terbelah pecah, gelombang bisikan nurani dari Helen
Keller mungkin dapat membantu kita melaras-semula kewujudan atau keberadaan kita.
Helen pernah berbisik, "ianya memberi saya keselesaan yang mendalam apabila
menyedari bahawa apa saja benda yang dapat dilihat adalah sementara manakala segala
perkara-perkara ghaib adalah kekal." (5) Kecendeungan terhadap hal-hal yang
ghaib atau tidak kelihatan telah juga disarankan oleh Ralph Waldo Emerson yang
mengingatkan kita bahawa "apa yang ada di depan kita dan apa yang ada di
belakang kita adalah kerdil sekiranya dibandingkan dengan apa yang ada dalam diri
kita sendiri." Bagi beliau, "insan yang hebat adalah mereka yang melihat
hal spiritual sebagai lebih kuat dari apa jua tenaga material." Malah, minda
saintifik Galileo Galilei sendiri pernah merenung bahawa "kita tidak dapat
mengajar manusia segalanya; kita hanya boleh membantu mereka menjumpainya dalam
diri mereka sendiri." (6)
Mencari
dan mengembara ke 'dalam' untuk memahami dan menemui diri kita sendiri serta orang
lain, untuk menerokai nilai-nilai, untuk mengenalpasi visi dan matlamat kehidupan,
untuk memberi dan menerima menerusi kerja amal dan dalam penuh kesyukuran, untuk
menikmati dan menghargai ruang masa antara kelahiran dan kematian, untuk menggapai
keamanan dan cinta - kesemua ini merupakan suara-suara nurani yang wujud dalam
diri kita semua. Suara-suara ini memantulkan hubungan spiritual sesama kita dan
dalam nurani kita, juga antara kita dengan seluruh alam semesta.
Hubungan
yang halus dan tidak kelihatan ini disalurkan dan dijana oleh cinta yang tulus
dan tidak bersyarat, yang tidak memerlukan sebarang perantaraan fizikal. Cinta
dalam ungkapan St. Paul "adalah kesabaran dan budi; ia bukannya cemburu,
tidak mementingkan diri dan tidak angkuh; cinta adalah kebenaran. Cinta tidak
berputus asa; dan kepercayaan, harapan serta kesabaran cinta tidak pernah gagal."
Bagi Martin Luther King, cinta "adalah satu-satunya tenaga yang mampu mengubah
seorang musuh menjadi sahabat." Kita adalah yang mencintai dan dicintai,
seperti mana yang dikiaskan oleh Khalil Gibran, "cinta tidak memberi yang
lain selain cinta, dan tidak mengambil dari yang lain kecuali cinta. Cinta bukan
pemilikan juga tidak boleh menjadi bahan milik, kerana cinta adalah cukup untuk
cinta." (7) Kemanusiaan secara keseluruhan sepatutnya memulakan 'perlumbaan
pelukan atau kasih' bukan 'perlumbaan senjata.'
Cinta
adalah apabila seseorang itu berselaras dengan gelombang, corak tenaga dan simfoni
keseluruhan alam semesta. Apabila cinta untuk keseluruhan yang lebih besar menjadi
tenaga yang meresapi seseorang, keseluruhan alam - setiap insan, setiap tumbuhan,
setiap binatang, segala jenis makhluk dan peristiwa akan berkonspirasi untuk menjadi
rakan proaktif dalam suatu komunikasi berterusan yang tulus. Kemanusiaan tidak
perlu terlalu bergantung kepada satu 'sistem amaran global' sekiranya ia berselaras
dengan getar alam semesta.
"Fikiran
menjelma menjadi kata-kata. Kata-kata menjelma menjadi usaha. Usaha membentuk
tabiat; Dan tabiat mengeras menjadi karektor. Oleh itu berilah perhatian terhadap
fikiran dan ciri-cirinya dengan teliti. Dan biarlah ia terbit dari cinta yang
dilahirkan dari keprihatinan terhadap segala makhluk." (Buddha)
Dalam
keterlibatan kita dengan era rangkaian global, ledakan media, kemajuan saintifik
dan kecanggihan teknologi, nilai-nilai spiritual semakin dipinggirkan dan diberi
gambaran yang buruk. Malah perkataan-perkataan seperti agama, belas-kasihan, ikhsan,
kemaafan, amal baik, kesyukuran, keceriaan, kekaguman, ritual, sembahyang dan
kepercayaan malangnya semakin dipisahkan dari konteks spiritualnya dalam usaha
untuk mencadangkan makna-makna yang lebih sesuai dengan ciri-ciri kehidupan yang
kononnya sekular. Malah cinta turut ditunggangi untuk kepentingan peribadi yang
sempit. Bagi segelintir mereka yang intelektual dan elit , perkataan-perkataan
ini dengan rela-hati ditipiskan menjadi artikulasi 'tanda' dan 'teks' untuk dianalisa,
dihuraikan dan digahkan menerusi 'wacana objektif.' Boleh dikatakan, kita kini
berada dalam keadan kehilangan makna yang kritikal, dalam dunia yang semakin licik
dan licin serta berperang secara ideologikal.
1.2
Apa selepas tsunami pasca-moden?
Arena
seni rupa kontemporari Malaysia untuk sepanjang 15 tahun yang lepas, terutama
sekali ketika era 90an, rata-rata dipenuhi pelbagai realiti perubahan yang dibawa
oleh arus globalisasi, pasaran bebas, revolusi maklumat dan teknologi digital.
Pertembungan dengan pasca-moden dibingkai oleh wacana bertindih pasca-strukturalisme,
pasca-kolonialisme, nyahbina, feminisme dan teori-teori gender. Dalam arena seni
kontemporari Malaysia, segala wacana yang dinyatakan di atas digerak oleh isu-isu
berkaitan dengan diaspora, tuntutan multibudaya dan pluralisme, krisis representasi,
pengasingan budaya, penguasaan dan persaingan budaya, kritikan terhadap sejarah,
imperialisme media, hegemoni dan pemusatan kuasa, kritik terhadap budaya popular
dan konsumerisme melampau, kritik terhadap globalisasi, krisis urbanisasi, dan
eksposisi media baru serta kesannya. (8)
Keterlibatan
dalam isu-isu di atas diperkasakan lagi oleh kecenderungan lingkaran seni rupa
antarabangsa mengenengahkan karya-karya yang menampilkan kecenderungan sosio-politikal,
penyanggahan dan anarki politik, kenakalan dan sindiran-sindiran politikal. Beberapa
pengkarya Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa menerusi kecenderungan sebegini.
(9)
Ada
yang mungkin berhujah bahawa apabila kita melibatkan diri secara keterlaluan dengan
kecenderungan 'sekular' yang dinyatakan tadi atas dasar kemarahan, kebencian,
cemburu, syak wasangka dan ketidakpercayaan persis api dan angin yang tidak berhala-tuju
(bukannya atas dasar cinta murni dan tulus), kita hanya akan berlumba ke arah
kematian spiritual, justeru kepupusan rasa saling-berkait sesama kita. Dalam perlumbaan
sebegini, kita mungkin secara tidak sedar membisukan dan mentabirkan segala 'Ying'
dalam diri kita dengan ketaksuban kita terhadap segala gelora 'Yang' di sekeliling
kita. Dalam menyusuri jalan sebegini, kita mungkin mendapati diri kita berada
dalam keadaan yang sangat memerlukan penawar 'Ying' untuk melaraskan semula kita
dengan keseluruhan alam semesta; untuk menjadikan kita berselaras semula dengannya
dan untuk menyedarkan kita dari lamunan.
"Tuhan
beradu di dalam batu
bermimpi di dalam tumbuhan
berkocak di dalam binatang
dan
bangun di dalam kemanusiaan." (Tradisi Sufi)
1.3
Ke arah 'ekosistem' seni rupa berdaya-hayat
"Takung"
dicetus oleh keinginan untuk mengembara ke dalam 'Ying' untuk mengimbangi kepanasan
'Yang' dalam kancah seni kontemporari. Ia bermula lebih kurang setahun sebelum
dunia dikejutkan oleh tsunami. Ia mengajak beberapa orang pengkarya muda yang
lazimnya dikenali menerusi kecenderungan di atas untuk berdepan dengan alam menerusi
sebuah tasik bernama Banding. Mereka diasingkan selama dua hari dari persekitaran
serta konteks kota untuk merenung, memikirkan, mencari dan mengembara ke dunia
'dalaman.' Pengasingan ini diharap membolehkan mereka menjumpai getaran, kocakan,
dan gelombang mereka sendiri dalam jaringan corak tenaga alam semesta. Mereka
menjadi penadah dan yang ditadah, pemerhati dan yang diperhati, pencinta dan yang
dicintai. Mereka diharap akan terjaga dan menjadi 'yang sedar.'
Pameran
ini adalah hasil dari pertemuan di atas.
Semua
dijemput menjadi sebahagian dari hasilnya.
"Suatu
hari, setelah kita mampu menguasai angin, ombak, pasang-surut laut, graviti, kita
akan menghasilkan tenaga cinta. Ketika itu, untuk kali kedua dalam sejarah dunia,
kemanusiaan akan menjumpai api." (Teilhard de Chardin).
2.
YANG MENADAH DALAM TAKUNG
2.1
Genesis Takung
"Takung"
adalah susulan dari cadangan program seni akuarium yang dicetus oleh kumpulan
kecil pimpinan Prof. Madya Zulkifli Yusoff dari Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) ketika sesi sumbangsaran dalam ekspedisi Tasik Banding.
Cadangan
ini, dan empat cadangan yang lain kemudiannya telah dibentang untuk pertimbangan
dan perbincangan terbuka kesemua peserta ekspedisi. Cadangan program seni akuarium
mendapat reaksi paling proaktif. Prosesnya demokratik. Setelah diberi mandat,
ia dipinda dan diolah semula oleh kurator jemputan dalam bentuk kertas-kerja.
Kertas-kerja yang dirangka banyak merujuk kepada pembentangan asal Prof. Madya
Zulkifli Yusoff. Ia telah diedar kepada semua pengkarya untuk komentar dan pembaikan
susulan.
Pameran
yang dicadangkan berupa pameran berkumpulan yang berpaksikan aspek-aspek berikut
:
i.
Tinjauan hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam semulajadi menerusi
penghayatan terhadap sistem ekologi takungan air semulajadi dan buatan manusia
ii. Introspeksi dan pembacaan intrinsik (dari pelbagai 'entry points' dan
fokus) yang dicetus oleh pemerhatian dan penghayatan terhadap ekologi tersebut
iii.
Pembacaan ekstrinsik yang dicetus oleh sistem ekologi tersebut, yang boleh diselaraskan
sebagai tamsilan untuk wacana semasa, baik dari segi sosial, politik, ekonomi,
kebudayaan, teknologi, sains dan lain-lain
iii. Penafsiran dan terjemahan
semua aspek di atas dalam bentuk karya dan pameran seni rupa sezaman
Para
pengkarya bebas membuat penafsiran dan terjemahan peribadi berdasarkan 'entry
points' dan fokus masing-masing. Kurator pula perlu mencetus wacana yang dapat
memberikan konteks yang komprehensif untuk 'takungan' yang dirujuk, baik secara
metaforikal, santai mahupun ilmiah.
2.2
Membaca "Takung"
"Permukaan
tasik terhasil dari gabungan pelbagai riak dan kocakan kecil yang dicetus oleh
pelbagai sumber dari pelbagai arah dan ruang-masa. Riak atau kocak kecil membentuk
riak dan kocak besar. Ombak dan gelombangnya dipengaruhi pelbagai faktor termasuk
kepingan tektonik dan jenis mukabumi yang menakung atau menadah , kandungan air
yang ditadah dalam hidrosfera, jenis kehidupan dalam biosfera (binatang, tumbuhan
dan manusia), suhu, aliran dan arah udara serta angin dalam atmosfera yang kesemuanya
wujud dalam sebuah ekosistem yang saling bergantungan. Simbiosis antara pelbagai
faktor menentukan samada ianya sebuah sistem yang berdaya-hayat (sustainable)
atau sebaliknya. Sekiranya kesemua agen-agen ini berselaras dalam suatu gabungan
getaran frekuensi yang saling melengkapi, hasilnya adalah kesatuan tenaga atau
simbiosis kealaman berdaya-hayat, yang membentuk ikatan spiritual sesama manusia,
antara manusia dengan alam dan antara manusia dengan Pencipta. Begitu jugalah
sebaliknya. Peranan manusia bergantung kepada getar atau kocak halus yang ada
dalam setiap jiwa insan - suara nuraninya. Setiap manusia ialah agen yang menadah
amanah menjamin kelangsungan (survival) dan daya-hayat (sustainability) ketiga-tiga
hubungan di atas. Apakah kemanusiaan secara umum telah berjaya melaksanakan amanahnya
dalam pembinaan sebuah ketamadunan atau 'takungan' yang berdaya-hayat'? Jawapannya
terletak dalam tangan setiap insan, persis dua telapak tangan menadah takungan
air untuk membasuh wajah sendiri. Apakah hasil pameran yang bakal diusulkan dapat
membantu perlaksanaan amanah yang sama?"
"Takung"
ditafsirkan sebagai suatu tempat dimana air ditadah; atau suatu yang boleh diisi
atau diairi, dimuatkan; juga sesuatu yang menahan. (10) Istilah 'takung' sengaja
dipilih untuk mencetus pelbagai kemungkinan pembacaan terhadap sistem ekologi
takungan air, baik semulajadi, mahupun buatan manusia (terhasil kerana pembinaan
empangan umpamanya).
Pertama,
bumi dan manusia yang menghuninya adalah sistem semulajadi yang menakung air.
70% dari permukaan bumi adalah lautan. (11) Dari sudut geologi, kepingan tektonik
bumi dan sistem hidrologi semulajadinya memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi
ekologi bumi secara keseluruhan. Dari sudut astronomi, sejarah pembentukan (mengikut
skala masa astronomi) bumi sebagai sebuah planet yang boleh didiami memaparkan
bahawa segala kejadian-kejadian kosmologikal yang telah berlaku sebelum ianya
terbentuk dalam keadaan sekarang, seolah bersepakat atau berkonspirasi untuk membolehkan
spesis manusia dan organisma hidup di atasnya. Malah, bumi tidak mungkin menjadi
habitat yang boleh didiami sekiranya berlaku perubahan pada 'formula' yang membentuknya,
walaupun dalam kadar kurang dari 1%. (12) Bumi sebagai 'takungan' hayat adalah
syurga jika dibandingkan dengan Mercury (1000 darjah sentigred), Venus (450 darjah
sentigred), Marikh (minus 100 darjah sentigred), Jupiter, Uranus dan Neptune (bergas,
dan bergraviti terlalu kuat hingga boleh menghancurkan manusia, mempunyai ribut
tanpa henti berkelajuan 1000 batu sejam dan tidak beroksigen).
Kedua,
istilah 'takung' juga dipilih atas potensinya berfungsi sebagai metafora yang
dapat diselarikan dengan 'ekosistem' seni rupa sezaman tanahair. Justeru ia boleh
dibaca sebagai suatu hasrat membina sistem ekologi saling bergantungan yang sihat,
persis cabaran membentuk 'ekosistem' seni rupa Malaysia yang mapan. Kepincangan
dalam sistem ini boleh menjadikan sesebuah takungan itu keroh, berkelodak, tidak
berdaya-hayat malah busuk dan membusukkan.
Ketiga,
istilah 'takung' boleh dibaca sebagai suatu introspeksi ibarat melihat wajah sendiri
terpantul di atas permukaan takungan air. Kocak pada permukaan sesuatu takungan
tidak pernah berhenti dan sentiasa memantulkan bayangan wajah yang berubah-ubah,
bertindan dan tidak kekal.
Menatap
takungan air yang dikepung oleh kedua-dua telapak tangan kita sendiri sebelum
membersihkan muka merupakan terjemahan tampak yang paling dekat dengan aspirasi
'takung.' Getar suara nurani (niat) dan sebarang lafaz (doa, mantra, seruan, jampi
dll) yang dituturkan sebelum tindakan atau perlakuan membasuh muka merupakan intipati
penting dalam ritual pembersihan semua tradisi spiritual manusia. Getarnya tersangat
halus dengan sentiasa berkocak, bergolak serta turun-naik. Manusia dan kemanusiaan
amnya ialah penadah amanah yang saling-bergantungan dalam membina sebuah 'ekosistem'
ketamadunan yang berdaya-hayat.
2.3
Untuk apa menakung?
Pameran ini secara ringkasnya bertujuan untuk
:
i. Mengumpulkan karya-karya mutakhir beberapa pengkarya muda sezaman
tempatan dan meninjau penafsiran peribadi mereka terhadap sistem ekologi takungan
air semulajadi atau buatan manusia
ii. Mengajak khalayak membina kesedaran
kendiri yang holistik terhadap kepentingan alam semulajadi sebagai rujukan dan
kesedaran kealaman yang diharap dapat menjadi katalis untuk pelbagai pembacaan
atau penafsiran yang menarik dan segar serta relevan dengan cabaran global sepanjang
masa
iii. Mengajak khalayak merenung peranan mereka sebagai yang menadah dan
yang ditadah dalam menjamin daya-hayat 'ekosistem' seni rupa Malaysia dan antarabangsa
2.4 Persoalan Pra-karya
Merujuk
kepada hasrat di atas, berikut disenaraikan secara ringkas beberapa pokok persoalan
umum yang wajar direnungi oleh para pengkarya sebelum berkarya :
i.
Bagaimanakah sumber rujukan dapat ditinjau, dihayati, direnung, dibaca dan diterjemahkan
dari pelbagai sudut (dari sudut saintifik, artistik, sosial, politik, ekonomi,
kerohanian dsb) dan apakah kerangka wacana yang paling sesuai digunakan untuk
membincangkannya?
ii. Apakah pula hikmah yang dapat dihayati, direnung dan
dikongsi bersama oleh khalayak terhadap karya dan wacana yang dicetuskan oleh
pengkarya dan kurator menerusi pameran ini?
iii. Apakah sumbangan pameran ini
terhadap ekologi seni rupa sezaman tanahair secara khusus dan seni rupa sezaman
antarabangsa secara am?
iv. Bagaimanakah sumbangan di atas dapat diselaraskan
dengan pembinaan ekologi seni dan budaya tanahair yang berdaya-hayat?
3.
YANG DITADAH DALAM TAKUNG
3.1
'Ekosistem' seni rupa yang saling-berkait
Profail
para pengkarya dan karya-karya 'yang ditadah' bersama latarnya dibuat persis menganyam
- takungan kecil dalam takungan besar. Saya lakukan secara bertindan dan saling-berkait
dengan pelbagai realiti perubahan yang dibawa oleh arus globalisasi. Dalam perkataan
lain, bersifat 'transbiografikal.' Ia juga dapat mengelakkan sindrom 'bintang'
dan karya agung. Ini memudahkan kita membaca profail para pengkarya dan karya
yang ditadah sebagai sebahagian dari 'ekosistem' seni rupa kebangsaan dan antarabangsa
yang saling-bertindan dan bergantungan.
Pendekatan
transbiografikal juga membantu kita meninjau kedudukan para pengkarya dan karya-karya
mereka dalam pertembungan dengan pasca-moden yang dipenuhi kocak wacana bertindih
seperti pasca-strukturalisme, pasca-kolonialisme, politik budaya dan ekonomi,
nyahbina, feminisme dan teori-teori gender. Kita juga dapat meninjau secara sepintas
lalu hubungan mereka dengan isu-isu yang seringkali ditunggangi dalam seni rupa
sezaman Malaysia dan antarabangsa. Pada masa yang sama, kita perlu juga melihat
takungan ini dalam konteks sains, serta pertindanannya dengan globalisasi.
Saya
cuba berikan sedikit imbasan berdasarkan sumber biografi yang ada dalam simpanan,
sambil menggunakan metafora alam sebagai tamsilan.
3.2
Main dalam kolam!
"Takung"
menadah 25 orang pengkarya seni rupa sezaman Malaysia (dan Indonesia) yang berpeluang
berkembara bersama di Tasik Banding. Penglibatan para pengkarya ini adalah atas
tiket 'jemputan.'
Para
pengkarya dijemput oleh YKP atas beberapa faktor. Antaranya :
1.
Penglibatan dan peranan yang penting dalam arena seni rupa Malaysia
2. Kepakaran
dalam beberapa bidang tertentu seperti seni arca, seni catan, lukisan, instalasi,
seni elektronik, penulisan dan lain-lain
3. Mempunyai rekod yang proaktif terhadap
wawasan dan inisiatif berterusan pihak YKP
4. Minat dan komitmen yang tinggi
dalam menjayakan projek ini
Jumlah
asal yang dijemput pergi lebih dari lapanbelas, tiga puluh orang semuanya. Malangnya,
seiring dengan lagu '10 budak hitam,' yang tinggal adalah 25. Selainnya tercicir
'main di tepi kolam.' Untuk lebih memanas dan meribut kocak dalam "Takung"
dan menggantikan yang tercicir, ditambah beberapa pengkarya jemputan, termasuk
seorang penyair-penulis muda tempatan dan seorang perupa dari kumpulan Taring
Padi Indonesia. Selain mengapi, meniup dan mengocak, mungkin si'taring' dari Indonesia
boleh memberi lebih sengatan atau gigitan, atau 'sedutan' untuk khalayak pengkarya
Malaysia tercinta (terutama Melayu atau Bumiputera) yang adakala dituduh terlalu
'jinak, selesa, pasif, santai dan main selamat.'
3.3
Visi ekonomi-politikal kebangsaan : Gemilang, Cemerlang, Terbilang
Profail
latar ekonomi dan politik para pengkarya "Takung" agak sukar dikenalpasti
secara tepat kerana ia hal sensitif bagi sesetengah pengkarya. Enam orang pengkarya
termasuk yang menulis ini sudah ada pekerjaan bergaji tetap dalam sektor kerajaan,
oleh itu secara teknikalnya dikira pengkarya separuh-masa, serampang dua mata
separa profesional. Mereka secara perundangan sudah beraku-janji untuk tidak terlibat
secara langsung dengan politik kepartian, walaupun diizinkan menjadi kaya. Pengkarya
selainnya bekerja sendiri, atau berkarya sepenuh masa, atau sepenuh masa melukut
di tepi gantang sektor swasta dan program-program residensi. Ada juga yang tiada
masa (untuk berkarya) kerana lebih cenderung 'berfikir' dan 'mengkritik.' Mereka
tidak perlu 'aku janji.'
Latar
ekonomi banyak memainkan peranan yang kompleks dan ironik, dan boleh dibaca dalam
kerangka dua konteks - politik kebangsaan dan politik antarabangsa. Boleh juga
dibaca sebagai habuan dan abu; baik dan buruk yang bertindan dan semakin sukar
dibezakan.
Secara
amnya, boleh dianggap kesemua pengkarya "Takung" 'tidak miskin' dan
ramai juga yang sentiasa tekun berusaha untuk 'lebih selesa' dalam kerancakan
'ekosistem' pemasaran 'industri seni rupa' tempatan. Selain dari tempias ringgit
sektor awam (ikhsan Balai Seni Lukis Negara), latar ekonomi pameran ini ditindani
bayangan kelas 'usahawan' atau 'korporat Melayu baru versi UMNO.' (13) Bayangan
sektor swasta mahupun NGO (selain YKP) tidak begitu kelihatan, mungkin disengajakan.
Latar
ekonomi Malaysia lewat 80an dan dekad 90an telah membina 'ekosistem' takungan
seni rupa yang berdaya-saing, agresif, progresif, inovatif, rancak dan saling
cemburu-mencemburui dalam takungan pemasaran seni rupa yang kecil.(14) Dari kegiatan
picisan yang bergantung kepada dana sektor awam, amalan seni rupa sezaman Malaysia
semakin menjadi industri perniagaan rancak yang digerakkan oleh sektor swasta,
sebelum belonnya pecah lewat 90an.
Ketika
zaman gemilang ini, ramai pengkarya tempatan mendapat habuan dan tempiasnya. Ramai
yang berganjak status kelasnya. Ada yang sudah bergelar kontraktor, malah mewahan,
jikapun bukan jutawan. Selain dari seni catan 'korporat' dan seni arca 'lobi,'
ekologi ekonomi sebegini telah melahirkan ramai pengkarya yang boleh dianggap
'berdaya-saing,' dan berjaya dari segi komersial, termasuk beberapa pengkarya
dalam "Takung." Imej pelukis yang busuk selekeh persis pengemis semakin
dipupuskan oleh 'natural selection' atau pemilihan semulajadi. Ekologi takungan
sebegini cepat mengundang saudagar seni, broker teori dan pencari habuan yang
hidungnya cekap mengesan bau keuntungan. Ada yang mengatakan ia semakin meriah
pekat dan mungkin juga tepu. Sekiranya dibaca berdasarkan nilai pulangan ringgit
dan geraf untung-rugi, agaknya boleh diistiharkan gemilang, terbilang dan cemerlang
hingga golongan pengkarya seni rupa sudah boleh masuk senarai panas calon menantu!
Siapakah
agaknya yang gemilang, terbilang dan cemerlang dalam "Takung"?
3.4
Nilai perasan lwn nilai pasaran
Suara
pameran "Takung" boleh dikatakan terbingkai oleh persekitaran kelas
pertengahan Melayu arus perdana dan bersikap terbuka terhadap kelas atasan dan
juga kelas di antaranya. Kelas rendah miskin melampau mungkin terpaksa dijadikan
modal bermelankoli, bukan lagi bingkai utama.
Ekologi
ekonomi dan politik dalam lingkaran bumiputera atau Melayu arus perdana sering
menjemput dendangan seni rupa yang jinak, lunak, mendayu-dayu dan bersopan-santun
dalam nada pop balada ala Siti Nurhaliza yang gemilang, atau jenaka santai ala
senario dan filem-filem Razak Mohaideen yang tak terbilang. Sekiranya mahu menjerit
bising-bangat, model terbaik adalah konsert Sure-Heboh TV3 yang khabarnya cemerlang
dari segi pulangan komersial. Jika mahu yang Hadhari, Forum Perdana di RTM dan
kumpulan-kumpulan Nasyid pop boleh dijadikan analogi.
'Ekosistem'
takungan seni rupa Malaysia ketika zaman rancaknya menuntut para pengkarya bergelumang
dengan persoalan ekonomi, modal, untung dan rugi. Kegiatan berkarya tidak lagi
tertakung dalam konteks ide, konsep, perasaan dan sentimen peribadi, tetapi juga
konteks pasaran yang semakin bertindan dengannya. Pengkarya mula belajar melihat
diri sebagai entiti komoditi yang mempunyai 'nilai persaingan' dan 'nilai pasaran,'
bukan saja nilai perasaan mahupun 'perasan' semata-mata. Nilai spiritual, sosial,
seni, budaya, dan nilai ilmu keseluruhannya mungkin perlu ditipiskan sedikit,
atau di'jenama'kan agar lebih 'hip' dan berdaya-saing dalam persaingan pasaran.
Tempiasnya ada dalam "Takung" samada disengaja mahupun tidak disedari
kerana sudah sebati. Ada juga yang 'terpaksa alah.'
3.5
Bebas atau kebas - Pengkarya dan projek komuniti
Di
celah rencah nilai perasan dan pasaran, terdapat segelintir pengkarya yang cuba
bergerak bebas dari cengkaman dasar-dasar rasmi dan pemasaran yang dianggap baku-beku.
Mereka membentuk rantaian perkumpulan-perkumpuan kecil yang cuba menjamin 'daya-saing'
kepentingan sosial dan budaya, nilai komuniti, nilai kasih, cinta, pemurah dan
tidak mementingkan diri, yang mungkin semakin dipinggirkan. Ada yang mengatakan
diri bebas, ada yang bergerak dibawah payung NGO-NGO tertentu.
Begitupun,
terdapat perkembangan yang menarik dan putik kemungkinan yang segar dalam beberapa
projek seni berasaskan komuniti. Projek-projek berkepentingan sosial ini kebanyakannya
bertujuan untuk memperkasakan gelora perasaan, suara dan pandangan golongan yang
tertindas atau terpinggir dari arus perdana. Selain dari digerakkan oleh beberapa
perkumpulan seniman yang kecil , projek-projek ini kebiasaannya berdana kecil.
Ada juga yang melukut di tepi gantang institusi-institusi kerajaan, sektor korporat,
dan juga NGO. Dalam situasi begini, sumber dan aliran modalnya lebih rumit untuk
dikesan. Begitu juga dengan agenda yang mengarus di bawah permukaan - bercampur-baur
antara idealisma dan semangat berbakti dengan tuntutan, tekanan serta kekangan
modal, dan juga persaingan dari segi ideologi ekonomi, politik serta budaya. Mereka
juga perlu bijak bermain dalam takungan globalisasi dan ekonomi liberal pasaran
bebas.
Namun
demikian, kecenderungan terhadap kerja-kerja kolaboratif juga telah menunaskan
golongan pengkarya alaf 21 yang berbeza profailnya jika dibandingkan dengan pengkarya
seni rupa sezaman yang lazim (dalam kerangka pasca-moden). Mereka lebih gemar
melihat diri sebagai 'pemudah-cara' atau fasilitator yang bekerja sebagai sebahagian
dari unit-unit kecil saling-bergantungan dalam takungan transkomuniti yang juga
saling bergantungan. (15) Fokus mereka juga tidak perlu besar atau gah, tetapi
lebih tertumpu. Contohnya seperti projek pendidikan kanak-kanak untuk warisan
yang terpinggir, bengkel seni rupa remaja, atau projek video untuk komuniti bermasalah.
(16)
Di
manakah letak-duduk para pengkarya dan juga pameran "Takung" dalam konteks
kepentingan komuniti serta sumbangan pengkarya terhadapnya?
3.6
Kembali pada pasaran
Bagi
yang degil atau tidak mahu diri tergadai, nama mereka mungkin hilang dari senarai
pasaran. Ada juga yang serampang dua mata, memiliki pekerjaan tetap sambil menangguk
rezeki di pasaran seni rupa. Malah, ada segelintir yang mungkin disangka pengkarya
sepenuh masa, walaupun sebenarnya sudah memiliki pekerjaan lain yang bergaji tetap.
Suka atau tidak, inilah realiti takungan yang menakung "Takung."
Latar ekonomi dalam konteks kebangsaan telah banyak dibahaskan, terutama sekali
yang melibatkan sikap cemburu-mencemburui dalam hubungan (wajar juga dibaca sebagai
persaingan) sosial, etnik, gender, budaya dan identiti. Selalunya, hubungan sikap
ini dikepung oleh peluang ekonomi berdasarkan kerangka dasar rasmi Kerajaan. Perbahasannya
sudah tepu baku dan agak terhad. Biasanya ia hanya tertakung atau terkepung dalam
tempurung 'nasional' dan diklisekan oleh peristiwa tertentu yang diulang-tayang
sebagai beban sejarah.(17)
Obsesi
terhadap kesan dasar-dasar rasmi kebudayaan dan juga peristiwa-peristiwa yang
diulang-tayang sebegini mungkin ibarat tinggalan atau serpihan nostalgia lagu
60an dan 70an yang masih mahu bergema, walaupun dunia sudah semakin ditentukan
wajahnya oleh kuasa-kuasa besar politik, ekonomi dan budaya global. Pengaruh dan
gemanya juga agak terhad, bergantung pada sejauh mana Malaysia dapat meletakkan
diri dalam pasang-surut ekonomi sedunia. Hal ini akan diulas dalam bahagian-bahagian
seterusnya.
Saya
lebih berminat meninjau pameran ini berdasarkan beberapa andaian dalam konteks
antarabangsa, terutama sekali sekiranya dibaca mengikut pembingkaian ekonomi kapitalis
liberal pasaran bebas dan wacana politik globalisasi. Kaitan dengan sains juga
ada. Itu akan diulas kemudian. Pengaruh dan kesannya lebih menekan. Ironinya lebih
menarik. Habuan dan abunya lebih besar. Taruhannya - ekosistem sejagat!
Di
manakah letak-duduk para pengkarya dan karya "Takung" dalam ribut nilai
perasan dan nilai pasaran ini?
3.7
Ekonomi-politikal globalisasi : hABUan Besar
Habuan
atau abu, 'ekosistem' ekonomi peringkat antarabangsa tidak boleh diketepikan begitu
saja. Malah, takungan seni rupa sezaman Malaysia semakin bertindan dengannya.
Para penglibat dalam takungan ini perlu berdepan dan bergelumang dengannya, tidak
boleh lari menyorok dalam tempurung.
Pengantarabangsaan
seni rupa sezaman Malaysia sangat digalakkan. Ramai pengkarya tempatan yang semakin
mendapat tempat di persada dunia. Beberapa pengkarya "Takung" juga aktif
menyertai pameran di luar negara. Ada juga yang dibeli karyanya oleh galeri-galeri
luar, termasuk Singapura dan Jepun. Ada juga yang cemerlang dari segi pencapaian
pengkaryaan dengan nilai keilmuan yang sangat tinggi, halus dan perlu dicontohi.
Begitupun,
'ekosistem' seni rupa antarabangsa era globalisasi juga sangat ironik dan paradoksikal.
Seringkali kebaikan bertindan dengan keburukan dengan tabir yang sukar dibezakan.
Takungan
ekonomi Malaysia dalam jaringan konglomerat transnasional yang berpusat di negara-negara
maju juga berkait secara langsung dengan sistem pemasaran dalam 'industri seni'
termasuk seni rupa. Sekiranya dibaca dalam kerangka ini, seni rupa sebagai industri
semakin ditentukan oleh pasang-surut serta kehendak keuntungan 'pemegang modal'
transnasional. Modal dan dananya lebih besar dari dana sektor awam dan swasta
kepungan kebangsaan. Untuk segelintir saudagar seni, broker teori dan para pengkarya,
takungan ini ada habuan yang lebih besar. Untuk segelintir yang lain, mereka nampak
abu (dari sudut 'ekosistem' insan berdaya-hayat).
Dilihat
dari sudut globalisasi, (18) kuasa pemodal tertumpu pada syarikat-syarikat transnasional
yang berpusat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britian. Selera,
sistem nilai dan suara pemegang modal menjadi lebih berpengaruh dalam menentukan
halatuju aliran modal (juga dasar-dasar politik, dan secara tidak langsung - seni
dan budaya). Antara wahanaya adalah media. Ada yang menamakan mereka sebagai 'penguasa
modal.' Ada juga yang melihat 'penguasa modal' ini sebagai 'kerajaan baru' dalam
dunia global. Ia dianggotai oleh konglomerat yang ekslusif keahliannya. Menurut
sesetengah sumber, populasi keahliannya jika dibanding dengan populasi dunia,
tidak lebih 1%.
'Kerajaan'
sebegini tidak bersempadan, kadangkala tidak kelihatan, tidak bernegara-bangsa,
tetapi sibuk menanam benih (modal) di serata muka bumi. Ada masanya penguasa modal
transnasional mengamanahkan modal kepada proksi yang lebih mesra-khalayak - NGO,
atau Yayasan, justeru wajahnya boleh berubah-ubah bergantung pada tuntuan 'setempat.'
Dalam bentuk yang nyata, untuk melihat hasil benih mereka, pandang saja bangunan-bangunan
pencakar langit di kota-kota besar merata dunia. Ada yang semangat jantannya teruja
melihat bangunan-bangunan ini terpacak tegang dan tegak sambil membenam diri jauh
ke dalam 'ekosistem' bumi yang sentiasa sudi menadah.
'Ekosistem'
ekonomi sesebuah negara membangun seperti Malaysia perlu mengambil kira hubungannya
dengan 'penguasa modal asing.' Hubungannya pula pelbagai, kebiasaannya menuntut
pihak yang mahu 'dibangun' menjiwai sistem nilai, sikap dan dasar-dasar pihak
penguasa. Ada yang mengesyaki bahawa hubungan sebegini persis 'mengorang-putihkan'
yang dijajah ketika zaman kolonial dahulu. Syak sebegini sering dibingkai dalam
wacana pasca-kolonial. (19) Bagi yang 'moden,' 'berfikiran terbuka'dan 'progresif,'
syak ini mungkin dianggap sekadar kejumudan dan cemburu buta yang hanya membuatkan
kita di negara membangung kembali menjadi 'katak di bawah tempurung.'
Dilihat
dari sudut pemasaran seni rupa, semakin ramai pengkarya dari negara membangun
perlu bersifat migrant professional yang mungkin semakin transnasional ketrampilannya
mahupun sistem nilainya. (20) Dalam kata lain, sudah berjaya keluar dari tempurung
atau kepompong (atau kokun). Ada juga yang beroperasi di dua atau tiga kotaraya
dunia seperti London, Paris, New York sambil sesekali balik kampong untuk berak
mencangkung. Jika rindu, boleh juga disedut Dunhill sambil menyanyikan slogan
atau mantranya - London, Paris, New York
Bagi
yang kurang berkemampuan, mungkin boleh memilih Jogjakarta, Bandung, Manila dan
Bangkok atau pergi jauh sikit ke Melborne, Tokyo dan Fukuoka. Situasi ini pernah
ditempuh oleh beberapa pengkaya dalam "Takung." Sekiranya Jepun terlalu
pekat nasionalismanya, hinggap saja ke Australia. Sekiranya Australia terlalu
pucat kulitnya, Singapura boleh dijadikan markas, walaupun sering dituduh proksi
Amerika Syarikat di Asia Tenggara. Buat masa ini, selera lebih ke Jogja atau ke
Bandung saja pak! (21)
3.8
Pelabur o.k, peleburpun boleh juga!
'Ekosistem' ekonomi kebangsaan
sering juga dianggap sudah terlalu dikepung oleh dasar-dasar yang baku (anggapan
yang senada juga dengan sentimen WTO - World Trade Organisation). Bagi segelintir
pengkarya yang akarnya kurang dalam, penawarnya adalah takungan di peringkat antarabangsa
yang mungkin dianggap lebih terbuka dan berhabuan besar.
Begitupun,
ada yang memberi peringatan dan amaran bahawa selain membawa habuan, penguasa
modal seni dan budaya peringkat antarabangsa berkemungkinan menjadi pelebur yang
meninggalkan negara penakung dan pengkarya dengan 'abu.' Ramai juga yang berandaian
bahawa pengaruhnya berpotensi menipiskan segala dasar-dasar ekonomi, sosial, pendidikan,
seni dan budaya Kebangsaan hingga dasar-dasar ini mungkin berisiko menjadi sekadar
slogan, polemik atau retorika politik perkauman semata-mata. Kesannya melibatkan
juga 'ekosistem' pemasaran seni rupa sezaman, termasuk di Malaysia. (22)
Boleh
dikatakan bahawa di Malaysia, 'ekosistem' pemasaran seni rupa yang rela dikuasai
oleh tekanan 'aliran penguasa modal asing' menuntut perubahan sistem nilai dan
sikap agar seiring dengan citarasa penguasa modal, terutama yang berpusat di Britain
atau Amerika Syarikat atau yang sewaktu dengannya. Tidak hairanlah jika ia sering
dibaluti oleh wacana sosio-politik yang senada dengan penguasanya. Tidak hairan
juga sekiranya wacana ini berkemungkinan dipakai sebagai helah untuk menutup hasrat
meningkatkan nilai pasaran produk-produk seni termasuk pengkarya yang mahukan
habuan itu sendiri. Seringkali juga hubungan antara tekanan ekonomi global dengan
dasar-dasar ekonomi, pendidikan, sosial, seni dan budaya Kebangsaan dijadikan
antagonistik dalam set binari yang saling menyanggah. Tempiasnya merebak kepada
hubungan (baca- persaingan) sosial, termasuk dari segi etnik, budaya, gender dan
identiti.
Malah,
agama pun (selalunya Islam, pelik juga!) turut menjadi sasaran, jika tidak sasaran
utama. Ia kini dijadikan 'objek wacana' yang terdedah kepada 'persaingan pasaran
terbuka' atau dalam bahasa ilmiah 'pertentangan pendapat yang sihat - wacana.'
Wacananya sering dibingkai oleh kerangka hak-asasi, kebebasan meluahkan pendapat
dan kedudukan wanita. Ini diwajarkan oleh hujah mahu menjadikannya lebih 'relevan,''progresif,'
dan tidak bertentangan dengan kehidupan sezaman (ikut acuan siapa? Entahlah).
Agama
juga (baca Islam, jarang agama lain) kini menjadi komoditi berita dunia (atau
teks budaya) yang boleh dibogelkan, dibicara, diadili, dinilai, ditafsir, 'diberi
makna' dan dihukum oleh sesiapa saja, baik yang menganutnya, mahupun bukan penganutnya,
baik yang pakar (dari zaman dahulu hingga sekarang) hinggalah yang jahil. Dalam
banyak keadaan, ia dijadikan modal atau pakaian wacana, baik dalam bentuk ilmiah
mahupun dalam bentuk santai atau cetek separa cerdik. Bukalah kitab-kitab pameran
seni rupa sezaman yang mutakhir, termasuk yang ditaja oleh Balai Seni Lukis Negara
sendiri! (23)
Ada
yang berhujah bahawa dalam banyak keadaan juga, wacana yang senada dengan sistem
nilai penguasa modal antarabangsa seakan cuba berfungsi sebagai bahasa-meta dan
sejarah-meta. (24) Namun demikian, ia boleh secara paradoksikalnya tergelincir
lantas menjadi naratif-induk atau naratif agung dengan wacana yang menekan beberapa
sistem bahasa, naratif dan sejarah berkepentingan kebangsaan atau setempat yang
tidak sehaluan dengannya.(25)
Umpan
dalam takungan-meta ini sukar ditolak. Habuannya besar! Gemanya gah. Hebohnya
bingit. Glamornya berkelipan. Bintangnya bersinar. Pujian melambung. Hero disanjung.
Mungkin
ada di kalangan pengkarya "Takung" yang tidak betah melawan godaannya!
Ada ke? Dapat labur, atau lebur?
3.9
'Beban Orang Putih' (Whiteman's Burden) versi globalisasi
Bagi
segelintir yang melihat senario ini sebagai pembawa abu, ia dibaca sebagai imperialisme
baru, yang seringkali menggunakan media sebagai senjata membina 'suara-ramai'
atau konsensus paling berkesan.(26) Imperialisme sebegini dibaca dalam kedua-dua
konteks - kebangsaan dan antarabangsa. Sasaran kebangsaan adalah Kerajaan dan
dasar-dasarnya, sasaran antarabangsa adalah Amerika Syarikat, jika tidakpun konglomerat
transnasional. Atau kedua-duanya sekali. Kedua-dua sering disyaki sebagai egen
hegemoni dan pemusatan kuasa yang mengeksploit budaya popular serta konsumerisme
melampau untuk memperluaskan penguasaan, terutama sekali politik-ekonomi. Antara
keduanya, sasaran kebangsaan tidak begitu meninggalkan impak kerana takungannya
kecil. Sasaran antarabangsa lebih kritikal, walaupun ramai yang 'buat-buat lupa.'
Lapangannya termasuklah pemasaran seni rupa. Pelanggannya yang utama adalah golongan
belia, walaupun adakalanya mereka sendiri tidak menyedarinya.
Para
pengkarya "Takung" majoritinya belia. Memetik Buddha, adakah mereka
termasuk dalam golongan 'yang sedar?"
3.10
Siapa nak jadi pembersin dan kayu api?
Lingkaran
pemasaran industri seni rupa sezaman antarabangsa sering bertindan dengan wacana
belia anarkis yang berkait dengan 'bara,' 'api,' 'angin,' 'bebas' atau 'berdiri
sendiri' (DIY-do it yourself), 'independen,' 'alternatif' dan 'bawah tanah,' 'sezaman'
dan 'baru.' (27) Ini tidak menghairankan kerana golongan belia mewakili peratusan
'konsumer berpotensi' yang tinggi. Wacana belia sering bertindan dengan kecenderungan
sosio-politikal, penyanggahan dan anarki politik, teknologi media, kenakalan dan
sindiran-sindiran politikal sub-budaya.(28) Agak menarik juga bahasa semiotik
belia di atas banyak bertakung dalam budaya kosmopolitan berlatarkan suasana urban
yang merupakan pusat komersial untuk penguasa globalisasi.
Tindanan
wacana sebegini penuh ironi yang menarik kerana boleh juga dijadikan tabir licik
untuk menutup strategi pemasaran viral dan memaksa (viral & coercive marketing).(29)
Pemasaran 'halimunan' begini hanya memerlukan belia sneezer atau pembersin (dan
pelatah) yang boleh merebakkan 'wabak' yang dihajati. Ia juga memerlukan belia
'kayu api' yang kering ilmu dan cetek pengalaman untuk dibakar. Sneezer dan kayu
api sebegini merupakan tabir yang terbaik untuk menutup nawaitu menjana ketamakan
dan keuntungan sempit dalam persaingan sengit 'survival of the fittest' tajaan
ekonomi liberal pasaran 'bebas.'
Saya
berharap para pengkarya dalam "Takung" banyak mengambil vitamin C dan
rajin mandi agar terhindar dari menjadi pembersin dan kayu api.
3.11
Seni korporat atau keparat : Pengkarya sebagai jenama
Terdapat
juga keselarian nada serta nuansa antara wacana arus perdana seni rupa antarabangsa
dengan strategi pemasarannya jika dibaca mengikut kerangka penjenamaan atau branding.
Persaingan yang sengit dalam arena seni rupa antarabangsa menuntut kepakaran mencipta
'bintang' dan 'hero' menerusi strategi jenama, rangkaian pemasaran dan perhubungan
yang bijak dan licik. Ini termasuklah usaha membina wacana (dibaluti oleh jargon-jargon
ilmiah) oleh saudagar-saudagar seni dan broker teori yang dapat meningkatkan nilai
jenama produk atau pengkarya yang berkaitan. Set binari (30) digunapakai untuk
meninggikan impak dramatik, seperti Barat-Timur, pemimpin adil-diktator, paksi
kebaikan-paksi kejahatan, dunia pertama-dunia ketiga, pejuang kebebasan-terroris,
pejuang hak asasi-pejuang penapisan, sekularis-fundamentalis, orientalis-oksidentalis,
Amerika-orang lain dan banyak lagi.
Jika
dibaca berdasarkan pembacaan di atas, timbul pula pelbagai andaian dan persoalan.
Bolehkah diandaikan bahawa sistem nilai yang melatari jenama 'bintang' dan 'hero'
ini perlu berselaras dengan sistem nilai, kuasa, selera dan suara 'penguasa aliran
modal' antarabangsa? Siapakah penguasa dan penentu aliran modal antarabangsa ini?
Ironinya,
kita mungkin boleh mengesan tempiasnya dalam "Takung" termasuk dalam
katalog ini. Cuma "Takung" sebagai sebuah pameran, hanya tasik kecil.
3.12
Di manakah kita?
Baik
kebangsaan mahupun antarabangsa, apakah nilai-nilai yang diperjuangkan dapat membentuk
'ekosistem' takungan seni rupa yang berdaya-hayat, atau hanya untuk meningkatkan
persaingan nilai jenama yang sempit? Adakah permainannya boleh membina 'ekosistem'
ketamadunan yang berkepentingan sejagat? Atau sekadar tabir untuk memaksimakan
keuntungan sempit atas serpihan kemanusian yang hancur 'bersaing' (perkataan korporat
untuk berbalah, bergaduh, kutuk-mengutuk, caci-mencaci, maki-memaki, tohmah-menohmah
dan berbunuhan sesama sendiri)?
Samada
latar ekonomi tempias abad ke 20 sebegini berdaya-hayat atau sihat untuk kelangsungan
'ekosistem' takungan seni rupa Malaysia dan antarabangsa, terpulanglah kepada
pembaca dan penonton untuk menentukannya. Samada abad ke21 memerlukan 'ekosistem'
ekonomi dan politik yang lebih berdaya-hayat, itu juga terletak dalam tangan kita
semua. Kita yang menadah, dan yang ditadah.
Saya
menjemput pembaca dan penonton merenung sendiri di mana letak duduk kita semua,
termasuk pengkarya yang terlibat dalam pameran ini jika dibaca dalam kerangka
latar di atas, baik diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Adakah kita mahu
membawa habuan atau abu atau keduanya serentak - hABUan? Adakah kita mahu mengipas
atau mengapi atau kedua-duanya hingga hanya mampu mengeluarkan asap saja - kipASAPi?
3.13
'Ekosistem' pendidikan
Latar
pendidikan para pengkarya dalam pameran ini agak mono, dari pokok dan cabang dahan
yang sama. Semua merupakan pemegang diploma dan berijazah, majoritinya dari UiTM
dalam jurusan yang sama - Seni Halus. Dua orang berijazah sarjana luar negara,
termasuk seorang bertaraf profesor madya, manakala yang seorang lagi masih menunggu
buah pangkat tak gugur. Tiada professor dan tiada yang berPhd (dibaca dari segi
akademik) dan harap tiada juga berpenyakit Phd (dibaca dari segi semiotik budaya
Melayu).Tiada yang self-taught.
Bau
pendidikan formal dalam pameran ini tentunya kuat dan mungkin tempiasnya dapat
dihidu menerusi karya. Mungkin ada masanya kurang enak dihidu oleh khalayak yang
tidak ada degree seni. Pendek kata, ini pameran kelas terpelajar atau cendikiawan
(di atas kertas) dengan latar pendidikan formal yang hampir sama.
Jika
ditinjau profail pendidikan pengkarya, ranting bidangnya lebih menjurus tirus
dan tidak begitu melebar. Latar pendidikan sebegini tidak begitu berdaya-hayat
kerana tidak memungkinkan berlakunya cross-fertilization dan hubungan transdisiplin
yang dapat memperkaya ekosistem keilmuan sesebuah pameran. Lebih bahaya sekiranya
lingkaran serta kitaran ilmu menjadi incestuous atau 'syok sesama-sendiri' dalam
kerangka disiplin atau wacana yang sama. Lebih berisiko sekiranya dipasung oleh
pendekatan sejarah 'sehala' dan metod apresiasi yang dibekukan dan dijumud oleh
kapsul ruang dan masa (yang sebenarnya bertindan mengikut fizik kuantum). Lebih
kronik sekiranya 'ekosistem' keilmuan dalam pameran ini diperhambakan untuk agenda
persaingan politik, ekonomi, sosial, etnik, dan budaya yang sempit. Jika berlaku,
boleh membentuk takungan yang busuk.
3.14
Meng'Alami' sains dan seni
Untuk
memperkayakan 'ekosistem' keilmuan dalam kegiatan seni rupa, terdapat usaha meningkatkan
penglibatan susulan atau sampingan dari beberapa individu dalam bidang atau disiplin
ilmu yang lain, termasuk sains. Balai Seni Lukis Negara sendiri pernah mengusahakannya
menerusi program 'Alami' yang sudah masuk siri ketiganya. Sebelum itu pernah dianjurkan
pameran 'Seni Elektronik' melancarakan 'E-Art Asean Online,' dan "Flow' yang
mengahwinkan teknologi maklumat dengan seni halus. Penglibatan mereka dari bidang
sains dapat membantu dalam memperluaskan lagi kerangka teori serta wacana yang
boleh dijadikan asas dan inspirasi berkarya. Projek-projek kolaboratif sains dan
seni bukanlah perkara yang baru. Di beberapa pusat penyelidikan rentas disiplin,
para saintis dan pengkarya sama-sama bergiat menyelami beberapa persoalan kritikal
seperti sistem AI (Artificial intelligence), teori minda pasca-jasad, teknologi
Nano, realiti-maya, teknologi-bio, teori genetik, teori kuantum dan banyak lagi.
(31)
Para
penglibat dalam pameran "Takung" seperti juga pameran-pameran seni rupa
yang lain, perlu sesekali menjengah keluar dari takungan, tempurung atau kotak
keilmuannya (out of the box).
3.15
Luar tempurung, dalam rumah kaca
Begitupun,
slogan dan pendekatan 'out of the box' (32) yang memungkinkan pembinaan 'ekosistem'
pendidikan transdisiplin yang berdaya-hayat, tidak wajar diamalkan membuta tuli
tanpa mempertimbangkan konteks yang lain. Pendidikan juga perlu dibaca dalam konteks
globalisasi (dalam versi 'survival of the fittest'nya) dan polemik keilmuan pasca-moden.
Dalam
konteks globalisasi, pendidikan adalah suatu industri. Liberalisasi pendidikan
terbuka era global terutama peringkat IPT boleh menekan dasar-dasar pendidikan
Kebangsaan yang telah dijadikan kanun dalam pendidikan IPTA tempatan. Latar pendidikan
global lebih bergantung kepada pasang-surut ekonomi liberal pasaran bebas yang
aliran modalnya ditentukan oleh pemodal atau pelabur-pelabur besar dari negara-negara
maju. Polemiknya hampir sama dengan apa yang telah diulas sebelum ini.
Walaupun
ada usaha untuk mengimbangi kepentingan kebangsaan dengan tuntutan pendidikan
era global, usaha ini seringkali dikekangi oleh faktor tuntutan pasaran. Apabila
ini berlaku, nilai keilmuan dan budaya setempat semakin dihimpit oleh tuntutan
persaingan pasaran global. Ini termasuklah pendidikan seni rupa. Pendidikan seni
rupa lebih menjurus kepada penghayatan dan pembinaan nilai-nilai abstrak, kejiwaan
dan kerohanian. Orientasi pendidikan seni rupa yang tidak bersifat gunaan ini
semakin marginal dalam takungan 'ekosistem' pendidikan yang berorientasikan persaingan
pasaran global.
Pendidikan
seni rupa di Malaysia, terutama di peringkat IPT semakin perlu bergelumang dalam
'ekosistem' takungan yang lebih besar atau global. Adakah 'ekosistem' takungan
ini berdaya-hayat dari segi pendidikan atau hanya mengembungkan poket segelintir
pemodal besar yang gagah, kuat dan berkuasa? Apakah pula yang menentukan nilai-nilai
pasaran dalam kancah pemasaran pendidikan seni rupa antarabangsa? Adakah sistem
nilainya berdaya-hayat serta memenuhi kepentingan sejagat? Atau dijadikan instrumen
daya-saing dan saluran baru neo-imperialisme pendidikan yang berpaksikan kepentingan
politik kronisme-nepotisme dan hegemoni ekonomi global yang sempit?
Hubungan
antara pengetahuan, representasi dan kuasa (baca politik) merupakan antara perkara
yang sering dibahaskan dalam wacana pasca-kolonial. Adakah kita dan para pemain
dalam "Takung" menyedarinya? Di manakah kita dan apakah peranan kita
dalam mendepani persoalan ini? Baik di peringkat kebangsaan atau global, adakah
profail dan latar pendidikan kita sudah cukup mantap? Atau dapat digembeling untuk
membina 'ekosistem' keilmuan yang sihat? Atau hanya dalam takungan yang terhad,
sempit dan mono?
Adakah
kita berkemampuan memutikkan tunas keilmuan yang berdaya-hayat (bukan sekadar
berdaya-saing) atau hanya mengikut arus dan membuat bising persis tin-tin kosong
dalam takungan tong drum yang kecil saja? Mungkin kita boleh cuba melayari laman-laman
web seni rupa Malaysia (baca-bahasa Melayu) untuk menjawabnya.
3.16
Polemik keilmuan dan nilai : Macam-macam ada!
Dalam
konteks pasca-moden, boleh dihujahkan bahawa takungan pendidikan seni rupa di
Malaysia sedang berdepan dengan polemik keilmuan yang sangat kritikal. Saya menggelar
puncanya sebagai tsunami perca-moden yang penuh ironi dan paradok, yakni nilai-nilai
modenisme yang sudah dikoyak, digasak, dihenyak atau yang paling popular - dinyahbina
(deconstruct) persis kain ela yang dijadikan perca. Untuk huraian seterusnya,
izinkan saya menggunakan istilah 'perca-moden' dan bukannya pasca-moden sebagai
suatu usikan terhadap cirri-ciri ironik dan paradoksikalnya.
Perca-moden
juga bersifat habuan - pelabur dan pelebur yang kedua-duanya bertindan. Sempadannya
kabur. Dalam banyak keadaan, kita (termasuk yang menakung dan ditakung dalam "Takung")
memakai dan membuangnya sekaligus; meminati dan membenci serentak; mengguna dan
mengelak pada masa yang sama. Ada yang melayari atau merenanginya tanpa sedar
pun, kerana sudah bercampur-baur dengan moden dan pra-moden sekaligus.(33)
Keadaan
bercampur-baur membentuk takungan pendidikan yang bersifat 'macam-macam ada.'
Tidak hairanlah sekiranya 'ekosistem' takungan pendidikan kini semakin ditandai
oleh pertembungan dan persaingan yang sengit. Bagi segelintir antara kita, pertembungan
dan persaingan sebegini wajar dilihat secara komplimentari yang mengizinkan kita
merenangi ruang-masa transdisiplin. Bagi segelintir yang lain, ia takungan yang
keliru persis kesesatan bila melayari internet.
Dalam
perca-moden, humanisme (versi Barat) yang menjadi teras atau kanun modenisme (34)
semakin dicarik. Pembacaan terhadap seni rupa moden, tradisi, kebudayaan, sejarah,
identiti, bahasa, representasi, tanda, makna dan 'diri sendiri' (dari kerangka
modenisme) menjadi tunggang-langgang.
Pameran
"Takung," seperti juga kebanyakan pameran-pameran seni rupa di Malaysia,
diisi oleh kandungan bersifat 'macam-macam ada.' Malah, sentimen atau sikap dan
nilai yang terkandung di dalamnya bercampur-baur persis rojak dengan pertembungan
pelbagai nilai moden, perca-moden dan pra-moden yang sukar dibezakan.
3.17
Tsunami perca-moden
Bagi
yang sudah merenangi, melayari dan menyelami perca-moden, (35) ekologi takungannya
boleh menghanyut, malah melemaskan. Begitupun, pelayar dan penyelam takungan perca
moden memiliki beberapa sikap yang boleh dibaca dan dikesan ketrampilannya. Tempiasnya
terdapat dalam beberapa ulasan sebelum ini. Untuk membolehkan kita mengenal-pasti
samada pelayar (dan penumpang!) sebegini wujud dikalangan kita sendiri, pengkarya
dan karya-karya dalam "Takung," saya bentangkan beberapa panduan agar
kita dapat menjangka dan mengenalnya persis 'global alarm system,' terutama bagi
mereka yang takut serta mahu melarikan diri dengan segera darinya.
Perca-moden
bersikap syak terhadap perkembangan sejarah seni moden Barat (yang sudah diglobalkan,
oleh itu boleh dibuang saja 'Barat'). Sejarah seni rupa moden tidak dibaca sebagai
rakaman dan ulasan peristiwa yang objektif, tetapi dibaca sebagai suatu konstruk
ideologi yang diwarnai oleh nuansa renungan-lelaki kulit putih bias Barat. Sejarah
seni rupa moden dilihat sebagai lanjutan sikap kolonial yang memaksa ideologinya
dilanggan sebagai kanun, doktrin atau naratif-induk untuk seluruh dunia. Naratif
induk ini mengekang cerita-cerita kecil dari 'orang lain' yang dianggap 'tidak
memiliki sejarah.' (36) Jika dibaca berdasarkan sejarah seni rupa moden, mereka
yang tidak 'bersejarah' ini meliputi 'wanita,' 'orang kulit bewarna' (selain putih)
dari negara dunia ketiga yang belum 'cukup maju' serta memiliki pemimpin diktator
yang 'belum cukup adil serta matang' kefahaman demokratis liberalnya. Ini menerangkan
bagaimana sikap ini boleh juga diaplikasikan di mana-mana (termasuk di Malaysia)
dengan sasaran yang dianggap memiliki ciri-ciri yang sama (malah lebih) dengan
penguasa kolonial dulu.
Sebagai
respon, cerita-cerita kecil dari 'orang lain' ini bergabung menjadi gelombang
naratif radikal (malah ada yang tidak rasional, sadis serta penuh marah) yang
cuba menyahbina kuasa, hegemoni, dominasi dan kekangan naratif induk. Hasilnya
adalah sejarah seni rupa moden yang semakin terpecah menjadi serpihan dalam permainan
artikulasi tanda atau bahasa perca-moden. Untuk membezakan sentimen, dipanggil
seni rupa sezaman, walaupun mengelirukan. Nada seni rupa sezaman perca-moden seringkali
bersifat mengejek, atau menyindir. Ada juga yang lantang memarahi, menengking,
membentak malah menyerang segala yang berkait dengan nilai seni rupa moden dan
saka kolonialnya. Tidak kurang juga yang me-'nyampah' dan ada yang memperhambakan-semula
(persis membalas-jajah) serpihan seni rupa moden untuk 'menembak' tuan punya serta
pewaris ideologi asalnya. Tidak hairanlah mengapa ia dibenci, terutama sekali
oleh mereka yang sudah terdidik dan terbaku beku oleh kanun modenisme.
Komitmen
(dan kesombongan atau keangkuhan) seni rupa moden terhadap pembacaan sejarah secara
sehala dan sejajar (linear), kemajuan material, semangat pemasaran dan inovasi
(termasuk teknologi), sangat gemar dipecah oleh perca-moden.(37) Pengaruh teknologi
sedunia dibaca sebagai suatu ilusi yang dibuat-buat, yang semakin terangkai luas,
terlampau tepu dan terlebih teruja. Teknologi sebegini dilihat sebagai sesuatu
yang terlalu bergantung kepada lebih banyak lagi ilusi-ilusi yang radikal, dan
diperkronikkan pula oleh pembiakan virus serta hempasan sistem komputer (crashes)
yang membingungkan atau tidak dapat dijangka oleh operasi rasional yang mendasarinya.
Perca-moden
juga bersikap syak terhadap bahasa, termasuk bahasa seni rupa moden. Bahasa tidak
dibaca sebagai wadah pembawa makna yang objektif dan hakiki, sebaliknya sentiasa
licin. licik dan selalu tergelincir dalam meletakkan sesuatu makna. Bahasa, seperti
juga sejarah, boleh dijadikan instrumen kuasa, terutama sekali dipihak yang menguasai
ilmu dan wacana. Penguasa ilmu dan wacana berpeluang membentuk bahasa-meta (membaca
di luar kerangka atau pengaruh ideologi). Objektiviti bahasa-meta boleh tergelincir
dan mendominasi artikulasi makna berdasarkan sistem nilai yang ingin dipaksakan
oleh penguasanya. Oleh itu, perca moden sentiasa syak terhadap penggunaan bahasa-meta
ini sebagai instrumen untuk menganalisa teks atau subjek-subjek kecil - dipanggil
bahasa objek. Diperingkat global, contoh bahasa objek antaranya adalah 'orang
lain,' 'dunia ketiga,' 'orang Islam,' 'orang Cina' dan banyak lagi. Istilah 'terrorisme'
umpamanya, telah menjadi sebahagian dari hasil konstruk bahasa-meta yang sering
digunakan sebagai instrumen untuk menyoal-siasat (kononnya secara objektif dan
ilmiah) bahasa objek yang kecil seperti - muslims. Di peringkat kebangsaan, bahasa-meta
sering dikaitkan dengan dasar-dasar kerajaan - meliputi sosial, ekonomi, pendidikan,
dan kebudayaan.
Wacana
bahasa dalam perca moden juga dilanjutkan menjadi suatu sistem artikulasi tanda
yang berperanan membentuk makna tertentu untuk dilanggan sesebuah masyarakat sasaran.
Perca-moden sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan sistem tanda dieksploitasi
untuk membenam suara individu menerusi beberapa instrumen-instrumen tertentu (contohnya,
menerusi pengawalan media oleh kerajaan atau konglomerat korporat atau kombinasi
keduanya). Media (arus perdana - lokal dan global) sering disyaki juga sebagai
instrumen untuk mencipta (atau memaksa secara halus) konsensus umum.
Perca-moden
membaca alam sebagai konsepsi yang dibentuk oleh kondisi budaya, tidak semestinya
semulajadi secara mutlak. Ideologi dilihat sebagai alat untuk meng'alami' dan
men'semulajadi'kan segalanya, termasuk ekonomi, politik dan aturan sosial. Ini
bertujuan untuk menjadikan kesan-kesannya kelihatan fitrah atau 'semulajadi,'
apolitical dan 'melangkau masa' agar tidak dipersoalkan. Ideologi digunakan sebagai
alat untuk meneruskan kuasa sosial.
Konsep
kemajuan sejajar (linear) yang berputik dari zaman Pencerahan Barat tidak disukai
oleh perca-moden. Dogma Greenberg tentang catan diejek. Gaya-gaya akademik yang
telah dibuang ke dalam tong sampah oleh seni rupa moden, mula dikutip kembali.
Begitu juga dengan bentuk-bentuk seni kraf (terutama di Asia) yang dianggap rendah
oleh seni rupa moden, dipakai dengan meluas. Budaya dan selera massa, termasuk
selera dan gaya sub-budaya yang dianggap sampah, diraikan, termasuklah gaya hidup
gay dan lesbian. Kecetekan dan kerencaman budaya digalakkan. Peniruan (plagiarisme)
diberi nama baru - pemetikan (appropriation) dan dianggap suatu amalan yang sah.
Nilai universal, kemajuan artistik, perkongsian makna dan kualiti sepunya (baca
Barat punya) yang dibawa oleh modenisme dipecah menjadi serpihan yang relatif
segalanya.
Takungan
'ekosistem' perca moden boleh menjadikan pelayar atau perenangnya seakan si Alice
yang tersedut masuk ke dalam lubang arnab menuju ke Wonderland!
Para
pelayar dan penyelam perca-moden di Malaysia (termasuk penumpang yang tak sedar!),
juga sering mendapati diri mereka terapung-apung dicelah jaringan bahasa dan wacana
yang bertindan. Ini termasuklah tindanan set penentangan binari abu dalam habuan
menerusi pelbagai versi seperti lokal-global, barat-timur, orang putih-bukan kulit
putih, penjajah-dijajah, kita-orang lain, bumiputera-bukan bumiputera, hak istimewa-tidak
istimewa, Islam-bukan Islam, kerajaan-swasta, alternatif-arus perdana, bawah tanah-atas
tanah, buat sendiri-buat orang, syok sendiri-syokkan orang, liberal-konservatif,
toleran-tidak toleran, progresif-jumud, hadhari-hindari, Umno-Pas, dan banyak
lagi. Dalam takungan perca-moden, tabir antara pasangan berpolariti ini semakin
nipis, malah semakin bertindan dan mudah tergelincir.
Contohnya
apabila segala yang liberal dan bebas menjadi melampau hingga terlalu ketat dan
'konservatif' persis polis moral liberalisme yang tidak toleran dan tidak mahu
mereka yang dianggap jumud itu 'bebas.' Atau permata 'bawah tanah' yang terlalu
terkenal hingga menjadi bintang 'atas tanah' arus perdana; atau Pas cuba menjadi
seperti Umno dan sebaliknya (walaupun tidak mahu mengaku); atau yang dijajah menjadi
penjajah dan orang bukan kulit putih menjadi lebih putih dari yang berkulit putih.
Demikian juga dengan perca-moden, yang ironisnya, boleh menjadi lebih pekat dan
tebal bau modennya hingga mencipta pula hero berstatus bintang yang dulunya cuba
dielak, malah diejek. Perca-moden yang kononnya marginal dan serpihan semakin
menjadi 'arus perdana,' hingga menghanyutkan 'tradisi' termasuk modenisme.
Perca-moden
seakan satu implosi (letupan ke dalam) yang akhirnya memecahkan diri sendiri kerana
terlalu merenangani dan bergantung (seperti juga moden) kepada hujah akal dan
fakta yang boleh dicerap oleh mata kasar semata-mata. Dunia yang dibina oleh hujah
akal dan pandangan mata kasar musnah dilanda tsudami perca-moden.
Begitupun,
persis ungkapan Cina yang mengatakan, "jika terlalu jauh mengembara ke Barat,
anda akan sampai ke Timur" atau "pergi jauh bermakna kepulangan,"
pelayaran dalam takungan perca-moden secara ironis boleh membawa pelayarnya pulang
semula ke takungan asal yang lebih berselaras dengan getar alam semesta.
Adakah
'ekosistem' keilmuan perca-moden sebegini berdaya-hayat atau sebaliknya? Atau
ia persis tsunami yang mahu menyentak dan menyedarkan kita tentang kegagalan ketamadunan
moden yang sudah diglobal dan dibakukan? Adakah ia mahu meninggalkan kita dengan
'padang jarak padang tekukur' untuk memberi peluang pada kita membentuk takungan
dan benih-benih baru yang lebih berdaya-hayat?
Di
manakah letak-duduk kita, para pengkarya dan karya-karya "Takung" dalam
'ekosistem' perca-moden sebegini? Adakah kita masih khayal bercinta dengan dendangan
seni rupa moden? Atau benci tapi rindu dengan sistem nilainya (termasuklah sistem
galeri)? Atau adakah kita pelayar tsunami perca-moden yang sudah sampai selamat
ke tebing yang lain, atau sempat berpaut di menara-menara masjid, atau masih di
tengah, atau sedang hanyut, atau mungkin juga sedang lemas?
3.18
Tumbuh tidak berpunca?
Dari
segi taburan usia, pameran ini boleh dikategorikan 'belia' - dalam kurungan 25
hingga 45 tahun. Dari 25 orang yang tinggal, dua orang termasuk yang menulis ini
boleh dianggap 'belia yang sedang menua,' tiga belas 'orang muda yang sudah lama'
lingkungan usia 30an manakala selebihnya 'orang muda' dalam lingkungan usia 20an.
'Orang tua yang lama' tiada dalam senarai. Begitupun, dua pengkarya generasi 'belia
sedang menua' di atas mungkin boleh dianggap jambatan penghubung, apatah lagi
keduanya pernah berguru dengan pendita-pendita seni rupa 'lama' yang tersohor
semasa menuntut dahulu.
Secara keseluruhan, majoriti pengkarya adalah
generasi yang muncul pasca 90an abad yang lepas, termasuk beberapa pengkarya baru
yang mula berkembang selepas 2000. Taburan usia sebegini seiring dengan peratusan
besar golongan belia dalam komposisi usia rakyat Malaysia. Getar golongan belia
pasca Merdeka, pasca 90an dan pasca 2000 wajar diberi perhatian bukan saja kerana
peratusan besarnya, tetapi juga kerana peranan golongan ini dalam mendepani cabaran
sosio-politik, ekonomi, teknologi dan budaya. Teknologi media baru misalnya, banyak
digerakkan oleh golongan ini, baik sebagai produser mahupun konsumer. Halatuju
masa depan semakin ditentukan oleh profail golongan dalam kategori usia ini.
Jika
dikiaskan sebagai tanah dan air, suara belia yang bergabung boleh menjadi gelombang
yang besar. Jika disisihkan, mungkin boleh menjadi keroh dan boleh pula menjadi
amokan tsunami atau tanah runtuh menghanyutkan segala yang telah dibina oleh sejarah
dan warisan. Suara mereka juga semakin menampilkan kesedaran dan kecenderungan
sosio-politikal, adakalanya marah menengking, melalak, melaung, melolong.
Dalam
konteks ini, mereka boleh dikiaskan sebagai bara, api dan angin. Bara yang disambar
angin panas dari mana-mana arah (barat umpamanya), boleh membawa dua kemungkinan
- membawa habuan atau menjadi abu, seperti yang berlaku pada latar ekonomi. Jikapun
'aliran bawah tanah' dan 'alternatif' boleh dikipas dan diumpan keluar menjadi
'arus perdana atas tanah,' ia boleh membawa dua implikasi yang sama kerana sentiasa
ada 'sekam yang tinggal bersembunyi di bawah tanah.' Selain hal 'bawah tanah'
yang sudah menjadi baku dalam semiotik belia bergelora, mereka juga merupakan
ahli tetap krisis urbanisasi yang berkait rapat dengan perubahan nilai dari kekampungan
kepada kekotaan atau kosmopolitan. Muncullah puak dan kaum belia kacukan dengan
pelbagai gelaran dan panggilan, termasuk 'jantan metroseksual.'
Suara
golongan belia, terutama pucuk baru yang radikal dan garang-garang amat ironis,
seperti juga ironisnya perca-moden yang penuh dengan paradok. Sering kita mendengar
laungan underground atau DIY atau independent yang terlalu dicanang hingga akhirnya
menjadi terbalik. Ia ibarat mendengar seorang perisik mencanangkan kepada dunia
bahawa dia seorang perisik hingga akhirnya diusik kerana tidak pandai membuat
kerja berbisik. Tidak hairanlah sekiranya semakin banyak yang underground, independent
dan alternative menjadi mainstream dan dependent (merenget dan merintih), DIY
menjadi DIFMP - do it for me, please.
Memandangkan
golongan ini merupakan kumpulan sasaran ekonomi liberal pasaran bebas yang terbesar,
tidak hairan juga sekiranya mereka seringkali ditunggangi untuk tujuan-tujuan
pemasaran yang bijak ditabir seperti yang telah diulas sebelum ini. Seperti yang
telah diulas sebelum ini dalam konteks ekonomi-politikal, tidak hairan juga jika
slogan-slogan yang radikal, garang dan brutal akhirnya ditipiskan menjadi gaya
dan trend terkini untuk dilanggani sebagai lifestyle semata-mata. Yang untung
tetap penguasa modal besar di belakang tabir.
Tanah-air
yang sejahtera, seperti juga jasad manusia, perlukan api dan angin. Jika dicantas
keduanya, ia menjadi terlalu cair 'berlumpur' atau keras 'merekah menunggu belah.'
Begitupun, api dan anginnya perlu dalam kadar yang berimbangan dan tidak melampau
agar 'ekosistem' yang terbentuk bersifat menyihatkan serta berdaya-hayat. Api
dan angin pula tidak boleh bebas berdiri sendiri, atau dibaca dan dijaja dalam
lingkaran sendiri persis api untuk api atau angin untuk angin. Keduanya perlu
bersinergi dengan tanah dan air dalam hubungan yang saling bergantungan. Untuk
pameran "Takung," mungkin boleh kita mengkiaskannya sebagai menemukan
tanah-air Tasik Banding dengan api-angin para pengkaryanya.
Faktor
jurang generasi atau usia semakin menjadi kritikal dalam pembinaan 'ekosistem'
sosio-politik, ekonomi, seni dan budaya Malaysia. Ia semakin meruncing. Untuk
menjamin 'ekosistem' seni rupa yang berdaya-hayat, diperlukan hubungan usia yang
lebih bersinergi, berselaras dan berkesinambungan, bukannya terlalu tercantas
hingga tiada apa pun boleh berputik dan membesar. Cogan 'sepanjang zaman' perlu
diberi nafas yang senada (jika tidak lebih tinggi) dengan 'sezaman.'
Persis
prinsip 'mengukir budaya,' komposisi usia sebuah 'ekosistem' pameran perlu ada
punca atau benih, ada pucuk, ada pengasuh (daun), ada sulur yang matang melentuk
tunduk tapi tajam yang tidak menikam atau membunuh.(38) Jika ditinjau menerusi
pameran "Takung," ia lebih tertumpu kepada batang yang sedang tumbuh,
dan yang sedang melentuk. Perlu ada usaha untuk membenihkan punca dan pucuk-pucuk
yang baru agar kitaran atau kelangsungan 'ekosistem'nya lebih terjamin. Perlu
ada 'Ying' kerana terlalu 'Yang.' Ini mungkin boleh dilaksanakan menerusi beberapa
program pengisian pameran dalam bentuk bengkel, ceramah dan seminar yang melibatkan
penglibatan individu merangkumi skop usia yang lebih luas - dari kanak-kanak hingga
ke warga emas.
Adakah
"Takung" benar-benar memainkan peranan generasi belia yang lebih berdaya-hayat
atau lebih terarah kepada kecenderungan membenam, melemas, membakar dan meribut
semata-mata atas nama lifestyle?
3.19
Ying-Yang
Dari
segi jantina, pameran ini berat sebelah. Pengkarya wanita adalah minoriti, hampir
1/5 atau lebih kurang 20% jika dibanding dengan lelaki. Komposisi sebegini mungkin
agak lumrah pada abad ke 20 yang lepas, apatah lagi sejarah seni moden di Barat
itu sendiri memang bias lelaki. Untuk abad ke 21 ini, mungkin komposisinya perlu
lebih berimbang, agar 'renungan' yang terpapar tidak terlalu berorientasikan renungan
lelaki. Ia juga dapat mengelak sesebuah pameran dari menjadi sekadar pelantar
'male bonding' yang berisiko kerana mudah dijangkiti cauvinisme gender, mahupun
lain-lain bentuk anomaly gender yang di luar tabii kealaman. Walaupun pameran
ini tidak bertemakan persoalan politik gender secara langsung, fitrah alam semulajadi
yang menjadi sumber mungkin sepatutnya dijadikan asas untuk memperolehi imbangan
komplimentari 'Ying' dan 'Yang' dari segi gender.
Wacana
politik gender boleh dibaca dari pelbagai kerangka yang sering bertindan. Ianya
juga telah dibahaskan dengan panjang lebar dalam wacana seni rupa sezaman antarabangsa.
Politik gender (gerakkan atau ombak pertama, kedua dan ketiganya) berkait rapat
dengan hubungan wanita-lelaki dalam arus dan pasang-surut globalisasi. Hasilnya
seringkali meletakkan 'wanita' dan 'lelaki' dalam hubungan yang antagonistik,
atau dalam wacana persaingan, pendek kata berperang dan bermusuhan serta berburuk
sangka. Lebih 'dirumitkan' lagi sekiranya bertindih dengan wacana agama dan budaya
Timur.
Namun
demikian, jika dibaca di luar kerangka politik gender, kualiti 'Ying' dan 'Yang'
atau male and female principles sebenarnya ada di dalam setiap manusia tanpa mengira
jantina, tempat dan zaman. Ini termasuklah takungan dalam pameran dan pengkarya
seni rupa. Ada yang lebih cenderung kepada sentimen pasif 'Ying' dalam berkarya;
ada cenderung kepada gelora aktif 'Yang' dan ada yang berimbangan antara keduanya.
Imbangan
'Ying-Yang' dapat membina 'ekosistem' takungan pameran yang berdaya-hayat, termasuklah
dalam menghidupkan putik-putik baru. 'Ekosistem' yang mono-gender tidak memungkinkan
kelangsungan atau kitaran yang berterusan. 'Ekosistem' pameran yang tiada imbangan
'Ying-Yang' pula akan menyebabkan sesebuah pameran menjadi terlalu aktif dan agresif
dengan ego kejantanan yang suka menegang segala urat persis api menyala dan angin
ribut. Boleh juga menjadi terlalu pasif, tidak bernafsu, tidak ghairah dan 'lembik'
persis tanah kering atau air berlumpur yang tidak membuat penonton teruja. Daya
sensuality dan sexuality dalam 'ekosistem' pameran banyak bergantung pada dinamika
'Ying-Yang.'
Sama
ada pasangan komplimentari ini berimbangan atau tidak dalam "Takung,"
saya jemput para pembaca untuk merenunginya. Jika berimbangan, ia akan lebih berdaya-hayat,
begitulah sebaliknya.
3.20
Kelahiran duniaputra!
Jika
dibaca berdasarkan kad pengenalan, profail etnik untuk pameran ini keseluruhannya
mono, bukan dts yang multi-arah. Biodiversitinya kurang gemilang. Kecuali Teoh
Joo Ngee dan Tan Vooi Yam, yang lainnya Melayu dalam beberapa variasi atau versi.
Namun
demikian, getar tampak yang tertera tidak begitu pekat Melayu perlembagaan, tetapi
lebih berwajah 'antarabangsa.' Dibaca dari kerangka tuntutan pluralisme dan multibudaya
yang melatari takungan seni rupa antarabangsa, kecairan ketrampilan fizikal berasaskan
klise rupa atau wajah kaum setempat memang sudah dijangka. Ini ditambah pula dengan
kesan pelbagai latar takungan yang telah dibincangkan panjang-lebar di atas, termasuk
ekonomi-politikal, liberalisasi pendidikan dan tsunami perca-moden yang menjadikan
pameran seni rupa sezaman begitu rencam dan tidak jelas paksi kaumnya. Bagi segelintir
pengamal seni rupa, situasi sebegini diterima, malah diraikan. Bagi segelintir
yang lain pula, dirintih, malah ditempelak dengan penuh syak.
Ciri
sebegini agak menarik jika dibaca dalam kerangka politik kaum yang mendasari taburan
parti-parti politik di Malaysia. Seolah-olah terdapat situasi yang paradoksikal
yang kini dislogankan sebagai unity in diversity atau kesatuan dalam kepelbagaian
oleh saudagar-saudagar pelancongan. Disebalik slogan rasmi pelancongan, politik
dan budaya sebegini, 'ekosistem' perhubungan etnik, budaya dan isu identiti di
Malaysia masih bergetar dengan perasaan cemburu-mencemburui, berburuk sangka,
saling tidak mempercayai, tuduh-menuduh, malah adakalanya benci-membenci.
Tempiasnya
dapat dirasa, terutama dalam takungan seni rupa Malaysia dekad 90an. Tempiasnya
juga melimpah dalam penawaran pendidikan seni rupa peringkat IPT. Jika seni rupa
satu ketika dahulu dijadikan alat perpaduan dan kesatuan, kini ia semakin gemar
dijadikan sebagai alat perpecahan persis membotol, membeku dan melabel semangat
air yang fitrahnya cair.
3.21
Di mana semangat anak-anak Sonneratia?
Usaha
menyatu dan menyegarkan semula semangat air pernah dilakukan oleh Balai Seni Lukis
Negara suatu ketika dulu. Para remaja pelbagai latar etnik yang datang dari pelbagai
program seni rupa IPTA/S tempatan cuba dikumpulkan dalam sebuah khemah seni untuk
membina suatu ikatan nurani berdaya-hayat dan merentas sentimen sempit sekolah
seni. Khemah seni ini dinamakan 'Sonneratia,' bersempena nama sejenis pokok bakau
yang menjadi hos kepada kelip-kelip di hutan Kuala Selangor, lokasi bengkel. Adakah
kelip-kelip ini akan terus bersinar? (39)
Usaha
ini malangnya dikekangi oleh banyak masalah termasuklah getar perasaan yang dimaklumkan
di atas tadi. Bagi segelintir yang jumud, bengkel ini dipandang sebelah mata,
malah ada yang mahu meminggir dan menempelaknya dalam nada-nada yang terlalu cauvinis
untuk ditulis semula. Ada banyak teori untuk menerangkan punca sikap sebegini,
termasuklah dasar-dasar Kerajaan yang dijadikan sasaran yang klise. Bagi saya
secara peribadi, ia lebih didasari oleh buruk sangka.
Dasar-dasar
Kebangsaan (di atas kertas) yang menjadi teras kepada pembinaan hubungan sosial,
etnik, budaya dan identiti juga menjadi sasaran dan modal wacana beberapa pengkarya
yang kritikal. Ada yang disokong oleh saudagar serta broker teori yang popular
dalam lingkaran seni rupa antarabangsa. Beberapa peristiwa penting dijadikan sebagai
beban sejarah dan turning point diulang-tayang persis cerita lama yang ingin dievergreenkan.
Itulah punca buruk sangka berpanjangan.
3.22
Mitos budaya dan identiti moden
Sasaran
yang klise, yakni institusi-institusi dan segala instrumen budaya rasmi Kerajaan
semakin cair pengaruhnya dalam politik budaya dan politik identiti jika dibaca
di luar kertas. Dalam konteks politik globalisasi budaya dan ekonomi liberal pasaran
bebas, ceritanya lebih menarik. Dalam konteks ini, isu hubungan etnik, budaya
(juga produk budaya) dan identiti bertindan dengan persaingan ekonomi global -
justeru semakin perlu dibaca berdasarkan kerangka politik budaya dan politik identiti,
bukan lagi dari sudut dasar-dasar Kerajaan. Bukan juga dari sudut falsafah, kepercayaan
spiritual, sistem nilai, kualiti dan prinsip estetiknya. Ini menerangkan mengapa
agama dan sistem kepercayaan (selalunya Islam) seringkali ditakuti, spiritualiti
dijadikan tersangat peribadi dan kelangsungan budaya semakin bergantung pada nilai
pragmatis dan ekonomi.
Pendek
kata, kebudayaan semakin dibaca sebagai produk ekonomi dan politik. Ia dianggap
sebagai suatu ruang yang dibentuk oleh ideologi manusia, terbuka untuk di'pertandingkan'
dan dipersaingankan, atau diubah dengan menggunakan kuasa hegemoni politik dan
ekonomi. (40) Dalam kerangka politik budaya dan identiti, nilai-nilai etnik, budaya
dan identiti (termasuk hasil karya seni rupa) dalam keseluruhan spektrum produksi
budaya moden bertindan dengan pertukaran serta aliran ekonomi. Oleh yang demikian,
produksi objek budaya, etnik dan identiti (yang moden, atau pra-moden yang dimodenkan)
semakin menjadi suatu bentuk pengilangan 'mitos.' (41) Tujuannya adalah untuk
mensejagatkan kepentingannya atau membuatnya menjadi 'fitrah'yang tidak dapat
dielakkan.
Makna
yang diterbitkan oleh 'mitos-mitos' moden sebenarnya bukanlah fitrah, tetapi boleh
dibentuk untuk kepentingan mengawal atau menguasai budaya (mendapat konsensus).
Dalam perkataan yang lain, kuasa membentuk makna budaya, etnik dan identiti terletak
kepada pemegang modal yang besar, gagah dan perkasa. Ia berlaku diperingkat kebangsaan
dan antarabangsa. Antara keduanya, kuasa pemegang modal antarabangsa lebih besar.
Ini termasuklah kuasa representasi, yakni penguasaan bahasa-meta yang digunakan
untuk mentafsir bahasa objek yang kecil. Wahana pengilangan mitos yang paling
berpengaruh adalah media. Dalam kata lain, pengilangan mitos bergantung kepada
siapa yang memiliki kilang untuk mengulangnya berkali-kali hingga mitos-mitos
tertentu diterima sebagai semulajadi atau fitrah. Ini termasuklah budaya, ciri
etnik, identiti malah kepercayaan atau agama apa saja kumpulan etnik atau masyarakat
sasaran (bahasa objek yang kecil).
3.23
Siapa tentukan siapa kita?
Cara
bagaimana kita dilihat dari segi etnik, budaya, identiti, malah agama semakin
bergantung kepada penguasa modal yang menguasai media global atau kuasa representasi.
Mereka yang tidak mempunyai kuasa representasi, semakin terpinggir atau mudah
dijadikan sasaran jika tidak mahu menyelaraskan ciri budaya, etnik, identiti,
malah agamanya dengan selera dan sentimen penguasa media global. Seakan ada dua
pilihan - tunduk pada konsensus atau suara ramai (yang boleh dibentuk oleh media
perdana) atau diserang secara langsung (jajah). Dalam kancah media global, mungkin
lebih baik dipinggirkan dari direpresentasikan sebagai terroris, jihadis atau
fundamentalis atau paksi kejahatan atau pengancam dekmokrasi liberal.
Agak
menarik juga jika ditinjau kecenderungan sesetengah pengkarya Malaysia menjadikan
institusi-institusi rasmi Kerajaan (termasuk kepalanya) sebagai sasaran kerana
jika dibandingkan dengan kuasa representasi media global, kuasa Kerajaan kelihatan
begitu kerdil dan kecil pengaruhnya. Mungkin sikap 'buat-buat tak nampak' terhadap
kepincangan media diperingkat antarabangsa sebegini lebih pragmatik kerana akan
menjamin daya-saing atau nilai jenama di peringkat antarabangsa. Atau mungkin
juga demi menjaga hati bakal-bakal pemodal yang lebih besar habuannya, terutama
sekali di Britain dan Amerika Syarikat.
Adakah
'ekosistem' persaingan etnik, budaya, dan identiti dalam kancah kuasa representasi,
globalisasi dan ekonomi liberal pasaran bebas begini menampilkan ciri berdaya-hayat?
Apakah tempiasnya dalam takungan seni rupa tempatan dan antarabangsa juga berdaya-hayat?
Siapakah yang lebih berkuasa dalam membuat representasi global terhadap nilai
etnik, budaya dan identiti pengkarya sezaman?
Kematian
massa dari peperangan di sana-sini, pemberontakan, penjajahan, campurtangan, jenayah
termasuk jenayah domestik, keganasan dan kesadisan (termasuk yang dijadikan hiburan
atau santapan petang) sudah cukup menerangkan betapa bumi sedang menakung hubungan
kemanusiaan yang terlalu tenat. Apakah peranan yang sepatutnya kita mainkan, baik
sebagai khalayak, mahupun sebagai penglibat dalam takungan seni rupa Malaysia
dalam konteks ini? Adakah kita juga mahu menari mengikut rentak kuasa representasi
penguasa global demi menjaga periuk nasi? Adakah kita mahu menjadi agen hegemoni
etnik, budaya dan identiti global, sedangkan di negara sendiri kita sibuk melaungkan
slogan unity in diversity? Di manakah letak-duduk para pengkarya "Takung"
dalam ribut etnik, politik budaya dan identiti sebegini?
3.24
Ketentuan genetik vis-à-vis stereotaip kaum
Salah
satu dari dogma sains moden ialah ketentuan genetik.(42) Walaupun kesahihan saintifiknya
dipersoal, ia masih dipegang kuat hingga hari ini. Dogma ini mempercayai bahawa
ciri genetik kita menentukan apa dan siapa kita. Salah satu dari andaian dalam
ketentuan genetik sebegini adalah segala kepelbagaian atau semua individu yang
berbeza ciri genetiknya boleh diletakkan dalam satu hairaki sehala berdasarkan
kekuatan, dengan yang paling kuat di tempat teratas.
Bukan
satu kebetulan jika ketentuan genetik bersinonim dengan science of heredity, yang
boleh ditiruskan untuk tujuan penguasaan politik dan ekonomi. Ia memudahkan, malah
memberi justifikasi kepada penjajahan, perhambaan dan rasa perkauman melampau.
Ia menghahalkan kepercayaan bahawa sesuatu keturunan lebih tinggi atau mulia dari
keturunan yang lain, bahawa sesetengah kaum adalah lebih primitif dan lemah atau
berada pada tahap evolusi yang rendah. Kaum 'tuan,' ditakdirkan untuk menguasai,
menakluk dan juga menghapuskan yang lain, termasuklah mereka yang memiliki wajah
yang berbeza, bercakap dalam bahasa yang lain dan hidup dalam sistem nilai kehidupan
yang berlainan. Bukan saja 'kaum-kaum lemah' halal untuk dihapuskan, malah individu-individu
lemah, kurang berdaya-saing atau cacat-pincang dari segi kesempurnaan genetiknya
juga dijadikan sasaran penghapusan.
Dogma
ini telah bermetamomorfosis dalam bentuk sains genomik dan kejuruteraan genetik,
yang bukan saja ditaja secara sah menerusi penguasaan politik, tetapi juga ditentukan
halatujunya oleh penguasaan ekonomi pasaran bebas. Dalam pasaran bebas ini, yang
miskin akan menjadi paria genetik, dan diletakkan di tangga paling bawah. Ketidakadilan
sosial boleh saja digantikan dengan ketidakadilan genetik, begitu juga sebaliknya.
Namun
demikian, seiring dengan fizik kuantum, beberapa penemuan genetik moden menunjukkan
bahawa populasi semulajadi alam menampilkan kepelbagaian genetik. Ia menunjukkan
bahawa variasi atau perbezaan genetik dalam sesuatu populasi (atau takungan) adalah
lebih besar dari perbezaan antara populasi; bahawa alirannya lebih beralir (fluid)
dan intergatif serta saling-berkait, bukannya boleh ditentukan secara mekanikal
oleh manusia. Ini bertentang dengan paradigma ketentuan genetik yang masih digunakapai
dalam sistem ekonomi, politik, sosial, malah budaya global berteraskan 'survival
of the fittest.'
Adakah
saka ketentuan genetik ini wujud dalam 'ekosistem' seni rupa sezaman Malaysia?
Adakah ia bergetar dalam "Takung?"
3.25
Kelangsungan-hidup untuk yang terkuat
Sains
moden, seperti juga seni rupa moden, sering dikemudikan untuk tujuan-tujuan penguasaan
politik dan ekonomi yang sempit. Ini dikronikkan lagi oleh paradigma moden bias
jantan dan mesin yang melihat dunia secara mekanistik persis kilang pembuatan.
Kesemuanya membuatkan manusia moden bertindak dengan budi yang cetek dalam membentuk
sebuah dunia yang merosakkan dan tidak berdaya-hayat. Sains, seperti juga seni,
boleh digunakan untuk mengancam dan mengawal, untuk mengeksploit, menakluk dan
mengekang, malah menghancur dan memusnahkan.
Sains,
seperti juga seni, boleh dikahwinkan dengan perniagaan atas tujuan jahat yang
bertentangan dengan kepentingan daya-hayat warga sejagat. Apa yang membawa 'sains
jahat' dan 'seni jahat' ini bersama adalah satu paradigma yang menganggap bahawa
persaingan untuk menguasai dan kelangsungan-hidup untuk yang terkuat dapat menjamin
kemajuan dan kekayaan. 'Yang terkuat,' dalam konteks biologinya, adalah mereka
yang dianugerahkan ciri genetik yang istimewa daya-saingnya. Ini mengizinkan usaha
di pihak 'yang terkuat dan paling berdaya-saing' untuk mengubah 'genes' menerusi
'kejuruteraan' tertentu, agar kualiti organisma yang dihajati (termasuk manusia)
dapat dibentuk untuk memenuhi tujuan-tujuan penguasaan politik dan ekonomi.
3.26
Dari sains ke ideologi
Sains
moden secara asasnya mekanistik, melihat alam dalam pembahagian yang terpecah-pecah
dan tiada pertautan atau perkaitan sepunya antaranya. Sejak dari abad ke 17, jasad
dilihat sebagai sebuah mesin, yang terpisah dari 'minda' seperti yang diwartakan
oleh diktum 'aku berfikir maka aku ada,' oleh ahli falsafah Peranchis Rene Descarte.
Diktum ini disusul pula oleh 'kelangsungan-hidup untuk yang terkuat,' usulan ahli
biologi England Charles Darwin.
Dalam
teori evolusi menerusi pemilihan semulajadi ini, spesis dikatakan berevolusi dari
lemah ke kuat dalam aliran masa sehala, berdasarkan persaingan (baca percakaran
atau bunuh-membunuh) antara satu sama lain, dan persaingan dalam menguasai alam
semulajadi. Darwin bukan keseorangan. Beliau dipengaruhi oleh Adam Smith, pemuka
ekonomi laissez-fair yang memegang fahaman bahawa 'ekonomi bebas - dibawah payung
kekuatan ketenteraan Empayar British' perlu dilihat sebagai kunci untuk penguasaan
ekonomi.
Darwin,
dan versi 'neo'nya untuk zaman sekarang, menjadi inspirasi kepada teori ekonomi
neo-liberal yang diamalkan hari ini. Ia melibatkan persaingan bebas yang tidak
boleh dikawal oleh apa jua panduan moral. Ini mengizinkan konglomerat transnasional
beroperasi tanpa sebarang tanggungjawab atau amanah.
Ideologi
yang sama menjadi pengemudi globalisasi. Mangsanya bukan saja 'yang lemah dan
miskin,' tetapi juga kelangsungan ekosistem global. Ia menukar 'hayat' kepada
'benda,' 'spiritual' kepada 'material,' manusia kepada 'mesin,' takung kepada
'kumbah.' Ramai dikalangan 'yang lemah dan miskin,' sudah melalui proses eliminasi
kerana mereka dilihat sebagai 'cacat,' 'tidak sempurna,' 'kurang berdaya-saing,'
dan 'berpenyakit.' (ingat dogma ketentuan genetik). Kadangkala dipanggil juga
'terroris,' 'fundamentalis,' 'jihadis,' 'Islamis.'
Marilah
kita, terutama yang pernah ke Tasik Banding, membuat 'association' dan 'deduction'
tersendiri, termasuk melihat diri sendiri dalam takungan sebegini.
3.27
Sains korporat pun boleh, keparat pun o.k
Sekiranya
kualiti berdaya-saing mahu dijadikan syarat memilih menantu yang kaya (termasuk
pengkarya seni), mari kita tinjau kembarnya dalam sains. Kita petik penyahut seruan
Darwin, Richard Dawkins. Menurut beliau, sekiranya kita melihat bagaimana proses
pemilihan semulajadi berlaku, ia seakan mematuhi hukum bahawa segala yang berevolusi
perlu bersikap tamak. Menurut beliau lagi, kita perlu menjangka dan tidak perlu
hairan (malah mungkin agaknya meraikan pula) sifat-sifat tamak pada manusia, apatah
lagi pada binatang. Bagi beliau, adalah mengelirukan jika kita mahu menjangka
bahawa fitrah manusia sebenarnya bersifat pemurah dan tidak mementingkan diri
sendiri. Dawkins mewajarkan fahaman ini dengan mengatakan bahawa organisma di
peringkat genes (asas genetik) adalah bersifat tamak.
Dogma
tamak versi Dawkins ini diwajarkan lagi oleh E.O. Wilson. Menurut beliau, ketamakan
yang tulin adalah kunci kepada kontrak sosial yang lebih sempurna, manakala moraliti
tidak mempunyai apa-apa fungsi yang berguna. Ciri pemurah, tidak mementingkan
diri, pengasih, dan cinta ditiruskan menjadi 'topeng' atau 'interface' untuk menutup
sifat tamak.
Kedua-dua
Dawkins dan Wilson berjaya dalam menukar hayat dan keajaiban alam kepada 'mesin
penyalin' yang tamak ini. Inilah yang menjadi genesis kepada realiti sosial kapitalisma
korporat yang mengizinkan eksploitasi terhadap mereka yang lemah, miskin oleh
mereka yang kaya dan berkuasa. Dogma ini diperkukuhkan lagi oleh Thomas Malthus,
yang menganggap peperangan, wabak dan kebuluran sebagai suatu cara semulajadi
mengawal populasi, justeru penggunaan sumber.
Gema
yang lebih kurang sama juga dilaungkan menerusi WTO (World Trade Organisation)
menerusi mantra globalisasi versi mereka. Mengikut mantra ini, sekatan perdagangan,
kewangan dan pelaburan perlu dipecah agar negara-negara miskin boleh 'dibangunkan'
(baca eksploit). Pada masa yang sama, syarat-syarat perdagangan korporat dicipta
manakala hak-cipta intelektual diberikan kepada kroni tertentu untuk menjamin
keuntungan negara-negara kaya dan berkuasa. Inilah kegemilangan dan kecemerlangan
'persaingan pasaran dengan apa cara sekalipun' yang menjadi teras 'perlumbaan
tikus' manusia moden.
Dogma
persaingan (ingat - bahasa lembut untuk peperangan atau berbunuhan sesama sendiri)
jugalah yang menjadi asas beberapa entiti korporat transnasional yang sangat teruja
apabila dapat melihat anak-anak dan cucu-cucu syarikat bersaing sesama sendiri
untuk mendapatkan 'yang terkuat' dan 'yang terbaik.' Tempiasnya ada dalam 'ekosistem'
seni rupa Malaysia. Malah kita sama-sama merenangi dan menyelaminya.
Seperti
juga seni rupa, terdapat perhubungan intim antara sains dengan urusniaga korporat
yang sangat dalam. Ia juga membentuk ikatan 'akademik-industri-ketenteraan' yang
mungkin bakal memuntahkan pula pelbagai bentuk kecelakaan kepada ekosistem sejagat.
Apakah
seni rupa mahu turut serta?
4.
KE ARAH TAKUNGAN SENI RUPA YANG BERDAYA-HAYAT
4.1
Manusia sebagai sebahagian dari ekosistem sejagat
Seiring
dengan fizik kuantum, kajian genetik mutakhir memaklumkan bahawa fungsi genes
yang beralir (fluid) mencerminkan interkomunikasi berterusan antara pelbagai bahagian,
dari sistem organ, tisu-tisu dan sel hinggalah ke peringkat gene dan protin yang
diperlukan dalam hidup. Proses ini adalah sebahagian dari satu sistem yang mampu
menjamin kestabilan dan keselarasan keseluruhan, pada masa yang sama menjana kepelbagaian
untuk gene yang khusus atau bahagian-bahagian tertentu berdasarkan keperluan.
(43)
Kajian
ini juga mengakui bahawa genes memiliki ekologi yang kompleks dan menerima timbal-balik
biologikal merentas segala skala ruang-masa. Secara genetik, genes bukanlah tamak
seperti yang didakwa Dawkins, tetapi sensitif, responsif dan dinamik, sifat inheren
yang ada pada semua manusia.
Begitu
jugalah ekosistem, termasuk manusia, yang sebenarnya bukan terdiri dari individu-individu
atau bahagian yang bersaing antara satu sama lain, atau dengan alam. Ekosistem
yang berdaya-hayat mengandungi organisma-organisma dari pelbagai spesis, dan dipandu
secara keseluruhan oleh perhubungan simbiotik yang juga pelbagai serta saling
melengkapi, merentasi segala lapisan atau skala ruang-masa, merentas segala jenis
alam, dari lokal ke global, dari paling laju hingga paling pantas (kelajuan cahaya),
dari yang boleh dilihat hinggalah yang ghaib. Ia adalah holistik. Perubahan ekologikal
boleh berkembang ke 'dalam' lantas mempengaruhi organisma, hingga ke peringkat
genes. Pada masa yang sama, perubahan di peringkat genes juga boleh berkembang
ke'luar' dan mempengaruhi ekosistem yang lebih besar. Oleh itu, ekosistem yang
berimbangan adalah teras kepada genes yang berdaya-hayat begitu jugalah sebaliknya.
Keseluruhan
dan kesatuan yang organik (bukan mekanisitik) bersifat pelbagai dan pluralistik.
Ia adalah antitesis kepada keseragaman dan hemogeniti. Agak menarik jika kita
merenung bagaimana kita boleh menggunakan perkataan 'aku' sedangkan dalam diri
kita sendiri terdapat 100 trilion sel, setiap satu memiliki molekul protin yang
juga bertrilion banyaknya. Kita juga memiliki 200 tulang, 500 otot, berbilion
fiber untuk otot, berkilometer fiber deria untuk membolehkan kita berkoordinasi
menjadi 'aku.' Otak kita memiliki sejuta-juta sel, setiap satunya bersamaan 167
kali populasi bumi, setiap satu lebih hebat dari komputer peribadi.
Apakah
yang membuat molekul dan sel yang tidak terkira banyaknya ini menjadi keseluruhan
dan kesatuan yang kita gelar 'aku?' Bagaimana pula dengan 'kamu?' termasuk segala
yang kita 'kamu'kan dalam hubungan kita dengan seluruh alam?
4.2
Frekuensi - getaran (jiwa), gelombang (perasaan)
Secara
genetik, saintis Henrik Kacser menggelar ekosistem seperti yang dihuraikan di
atas sebagai 'demokrasi molekular dengan kawalan teragih,' (44) bergantung pada
keperluan keadaan dalam sesuatu jaringan atau rangkaian dalam keseluruhan. Keseluruhan
jaringan atau rangkaian dalam sesebuah ekosistem akan berubah atau membuat penyesuaian
berdasarkan keperluan keadaan, dengan tugas kawalan yang sentiasa berganjak antara
bahagian-bahagian tertentu. Kesemuanya bergantung pula pada getar elektromagnetik
yang hadir dalam semua molekul. Molekul juga mengeluarkan gelombang elektromagnetik
apabila teruja dan menyerap tenaga. Setiap molekul memiliki karektor getar frekuensi
tersendiri. Molekul-molekul yang memiliki getar frekuensi yang sama akan menarik
atau melengkapi satu sama lain dalam bentuk yang berselaras (synchronized). (45)
Ia persis ritma muzik atau jazz yang indah dalam mana setiap pemuzik berimprovisasi
dengan bebas, tersendiri dan sentiasa berubah, pada masa yang sama masih mengikut
rentak dan ritma keseluruhan. Ini dipanggil berada dalam keadaan koherensi kuantum
(46) atau rasa keseluruhan.
Bukankah
kita juga pernah merasakannya dalam beberapa situasi - dengan insan yang sangat
kita cintai sepenuh jiwa raga - kekasih, isteri, anak, bapa, ibu
. Alangkah
baiknya jika ia meliputi seluruh alam, termasuk yang kita musuhi sebagai 'pesaing'
(baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya dan apa jua)
4.3
Fizik kuantum atau fizik klasik
Pada
awal abad ke 20, ahli fizik German, Max Planck mendapati bahawa tenaga, seperti
juga jisim, datang dalam bentuk paket yang berbeza-beza. Dari sinilah munculnya
fizik kuantum yang bertentangan dengan fizik klasik dan mekanikal yang sebelum
itu mendominasi aliran pemikiran saintifik Barat hampir tiga abad. Salah satu
dari penentangannya adalah keperluan menolak deskripsi fizik berdasarkan sebab-akibat
yang sejajar (linear), tirus dan berketentuan mutlak. Ia perlu digantikan dengan
kerangka deskripsi kuantum berasaskan 'kemungkinan.' Kesan dari penolakan ini
adalah hakikat bahawa memang mustahil untuk menjangka dan mengawal secara mutlak
hasil atau kesan sesuatu peristiwa atau perkara yang berlaku terutama di peringkat
kuantum, yakni atom dan molekul (ingat tsunami).
Ciri
'kemungkinan kuantum' ini melahirkan paradok - seperti radiasi elektromagnetik
dan jisim yang bersifat gelombang dan partikel secara serentak (sehinggalah apabila
ia dilihat atau dicerap), atau ketidaktentuan keadaan kuantum dalam mana segala
kemungkinan (atau potensi) bergumpalan hinggalah ianya juga dilihat atau dicerap
atau ditangkap; dan juga komunikasi tanpa perantaraan yang tidak dibatas ruang-masa,
termasuk sesama manusia, atau antara manusia dengan alam semulajadi (termasuk
binatang dan tumbuhan). Binatang dan tumbuhan berbicara dengan kita, cuma kita
saja yang sombong tidak mahu mendengar.
Menurut
antara pemuka awal fizik kuantum Niels Bohr, situasi kedudukan-momentum yang terhasil
dari pilihan dualiti partikel-gelombang sebenarnya bukanlah berkontradik, atau
berkonflik, tetapi komplimentari, maksudnya meliputi aspek yang saling-melengkapi
untuk objek kuantum.(47) Fizik kuantum meninggalkan impak yang kuat kepada konsep
hubungan makro-mikro dalam tradisi Barat yang diasaskan oleh pandangan yang mekanikal
serta terpisah-pisah. Menurut Bohr, realiti kuantum dalam dunia-mikro sangat berpuntalan
dengan aturan dalam dunia-makro. Dalam perkataan yang lain, bahagian kecil (mikro)
tidak memiliki apa-apa makna kecuali pada hubungannya dengan bahagian yang besar(makro).
Karektor holistik kuantum fizik sebegini seiring dengan tradisi mistikal Timur
yang berteraskan kesatuan dan keharmonian alam semesta.
4.4
Dari kawalan kepada inter-komunikasi
Berdasarkan
kajian genetik mutakhir, organisma tidak dikawal dari luar, atau dari dalam. Ia
juga tidak memiliki pusat kawalan dan tiada pemandu atau pengurus yang menyebarkan
arahan dari atas ke bawah. Tiada juga 'master-gene' yang mengarahkan pembangungan,
atau tentera-tentera pengawal yang menjaganya. Dalam sebuah kesatuan simbiosis
yang menyeluruh, ia bersifat plural dan pelbagai, hasil dari penglibatan dan inter-komunikasi
kesemua bahagian merentas segala skop ruang-masa. Ia berterusan, berkoherensi,
berselaras dan bebas dan berdikari pada waktu yang sama (ingat - jazz).
Ini
berbeza dengan budaya mekanistik masa kini yang mahu menukar segalanya kepada
keseragaman dan homogeniti. Budaya ini beroperasi menerusi suatu sistem berhairaki
terpasung antara yang mengawal dan yang dikawal (besar hingga kecil, dari yang
terkuat hingga paling lemah). Ia meluaskan jurang (malah memisahkan) antara individu
dengan masyarakat, peribadi dan awam, malah memecah-mecahkan manusia kepada minda,
jasad, jiwa yang tidak berselaras. Kegagalan melihat alam sebagai suatu kesatuan
jaringan yang saling-bergantungan adalah punca kepada segala jenis konflik, penyakit
dan kemusnahan.
Kita
bukanlah seperti mana yang kita lihat dengan mata kasar. Kita ialah sebahagian
dari entiti kuantum yang saling-berkait, yang dihayatkan oleh segalanya dalam
sebuah kesatuan organik yang menyeluruh dan berselaras.
Demikian
simbiosis tulus yang ditunaskan apabila kita memiliki getar frekuensi yang berselaras
dengan seluruh alam semesta - berteraskan getar cinta yang juga tulus dan murni
(bukannya penuh cemburu dan tamak, persaingan yang tiada berkesudahan).
Kita
perlu bijak berhikmah mencari frekuensinya. Dapatkah kita?
4.5
Anjakan pasca-tsunami dalam seni rupa
Dalam
Bahagian 1, anjakan sikap telah dilaraskan dalam nada romantis yang mendayu serta
agak melankoli. Terasnya adalah kasih atau cinta tulus. Mungkin hal-hal kasih
dan cinta tidak begitu hip dan trendy untuk selera belia kosmopolitan dan persaingan
era konsumerisme global. Mungkin juga bisikannya terlalu 'lembik' dan tidak kondusif
untuk bersaing dalam 'wacana global' arus perdana seni rupa sezaman yang lebih
mesra dengan politik anarki dan radikal haluan kiri, sentimen bawah tanah, kenakalan
intelektual, pekikan dan lolongan 'perca moden' yang bertempik kuat. Begitupun,
di bawah lapisan demi lapisan hujah intelek yang bertindan, terdapat getar gelombang
halus manusia merentas segala label luaran yang boleh kita botolkan atau wacanakan.
Walaupun
cinta menjadi teras hubungan spiritual sesama manusia, ia memerlukan terjemahan
praktis yang pragmatik dan boleh diamalkan. Untuk itu, saya gariskan panduan dalam
bentuk cadangan anjakan sikap dan prinsip yang boleh digunapakai. Anjakannya melibatkan
ketiga-tiga aspek mental, rohani dan jasmani. Sumbernya banyak dipetik dari warisan
tradisi pelbagai budaya di Nusantara. Ia juga berselaras dengan apa yang telah
diulas dalam bahagian 4.1 hingga 4.4.
Secara
tuntas, ia menekankan kesatuan atau simbiosis yang berimbangan untuk mencapai
'ekosstem' seni rupa yang dapat memberi sumbangan kepada ketamadunan lebih berdaya-hayat.
Untuk memudahkan pemahaman, ia diterangkan satu-persatu seperti di bawah, walaupun
hakikatnya ia merupakan persikapan yang saling-bertaut dan bertindan secara kompleks
dalam realiti harian. Antara anjakannya adalah seperti berikut :
i.
Berorientasikan Fasilitator - orientasi ini mengimbangi kecenderungan melampau
untuk membina pengkarya dan karya agung. Kurator dan pengkarya sewajarnya dilihat
sebagai fasilitator atau pemudahcara pengalaman dan penghayatan seni yang dihajati
untuk khalayak pameran. Pengkarya bukan bintang 'tunggal' yang boleh memancar
cahaya dan berdiri sendiri. Mereka sewajarnya melihat diri dalam hubungan yang
saling bergantungan, bukannya terpisah. Hubungan ini melibatkan pelbagai pihak,
termasuk dengan khalayak pameran.
ii.
Berorientasikan 'Madya' - kurator, para pengkarya dan himpunan karya sewajarnya
dilihat sebagai 'madya' yakni 'perantaraan' atau 'media-tor,' bukannya produk
akhir yang kekal dipasung oleh kapsul ruang dan masa. Kesemuanya menakung amanah
menjamin sinergi tiga jenis hubungan yang saling berselaras - manusia dengan Pencipta,
manusia dengan manusia dan manusia dengan keseluruhan alam semesta. Penjananya
adalah rasa 'cinta' dari nurani tulus yang merentas sempadan sempit buatan manusia.
Ia sentiasa bergetar dan turun-naik persis pasang-surut laut. Sekiranya tidak
melibatkan 'perhubungan' ketiga-tiganya, jadi pincang dan memincangkan. Hubungan
antagonistik dan dikotomi sekular-spiritual wajar dicairkan dan dibaca secara
lebih komplimentari atau saling melengkapi. Begitu juga pencanggahan hubungan
minda (otak kiri-kanan), jasad dan jiwa keinsanan yang perlu ditautkan-semula
secara saling-melengkapi menerusi sumber-sumber tradisi transbudaya yang holistik.
Dikotomi Barat-Timur, negara maju-negara membangun, dan lain-lain wacana bersifat
dikotomi atau pasangan binari yang antagonistik ciptaan manusia wajar dicairkan
juga. Segala yang terlalu melaga dan memecahkan kemanusiaan perlu diberi pembacaan-semula
berdasarkan sifat komplimentari, bukan antagonistik. Kerangka insan sebagai perantaraan
yang memegang amanah menjamin kestabilan dan daya-hayat ketamadunan sejagat wajar
diberi nafas, dihayati dan dihidupkan. Hidup itu sendiri adalah perantaraan (media-mediator)
antara kelahiran dan kematian.
iii.
Menekankan kolaborasi (merentas pelbagai sempadan buatan) atau hubungan bersifat
rangkaian yang saling bergantungan, berkait, sentiasa berubah, dinamik dan tidak
pernah kekal terpasung dalam satu corak yang sama. Penjana kolaborasi ini juga
memerlukan 'cinta' seperti di atas. Hubungan antara semua 'pemain' yang menadah
dan ditadah sewajarnya menggunakan prinsip ini. Ianya berbeza dengan sistem hubungan
sesama manusia bersifat hairaki ala zaman feudal yang memakai diktum 'sembah pacal
harap diampun' serta melayan kehendak mereka dipuncak hairaki semata-mata. Diktum
'either you are with us, or you are our enemy' ala koboi dalam penguasaan politik
era globalisasi juga tidak boleh dipakai kerana tidak boleh membentuk sistem ekologi
seni rupa yang berdaya-hayat. Diktum pasca-Darwinian survival of the fittest dan
sikap manipulatif Machiavellian yang banyak digunapakai dalam persaingan ekonomi
liberal pasaran bebas juga tidak sesuai dipakai. Ketamadunan manusia sangat memerlukan
kolaborasi global atas dasar kasih sesama manusia, bukan perlumbaan senjata atau
siapa paling kuat!
iv.
Menekankan pertautan dan saling-bergantungan ilmu - tidak sepatutnya terlalu bersusah
payah menegang dan menegak ketunggalan atau keagungan sesuatu disiplin ilmu, kemahiran,
teknik, gaya, aliran dan pilihan subjek secara melampau dan sempit (contohnya
catan, cetakan, arca, lukisan, seni elektronik, dan lain-lain versi dalam epistemologi
ilmu yang terpecah-belah serta saling tikam-menikam dan tidak berselaras atau
berharmoni). Sikap menegang dan mengegak urat sebegini merupakan tempias ego kejantanan
melampau yang berkemungkinan merebak secara ganas dalam 'ekosistem' pendidikan
dan takungan seni rupa pada masa kini. Ekosistem keilmuan yang sihat adalah yang
bersifat kaya dengan kepelbagaian ilmu yang saling melengkapi antara satu sama
lain, bukannya bersaing secara tidak sihat dan antagonistik. Dalam perkataan yang
lain, bersifat transdisiplin dan transbudaya. Ia persis kejantanan dan kewanitaan
dalam suatu simbiosis sihat berdasarkan 'cinta tulus dan murni' tanpa menghapus
ciri intrinsik yang membezakan kedua-duanya. Ia juga persis suasana biodiversity
yang diperlukan untuk membina ekosistem yang berdaya-hayat.
v.
Transdisiplin dan transbudaya - ini berbeza dengan konsep antara-disiplin atau
rentas-disiplin atau multidisiplin. Rentas-disiplin atau antara-disiplin menekankan
jalinan perhubungan 'antara' sesuatu disiplin dengan disiplin yang lain manakala
transdisiplin melihat kualiti komplimentari atau pertindanan-serentak yang saling
melengkapi 'di dalam' ekosistem kepelbagaian disiplin. Contohnya melihat seni
dalam sains atau sains dalam seni, atau kewanitaan dalam lelaki dan kelelakian
dalam wanita; atau 'Ying' dalam 'Yang' dan sebaliknya. Dari segi keilmuan, jurang
sains dan seni wajar ditaut dengan merujuk kepada panduan dan sumber-sumber kosmologi,
termasuk dari daerah Nusantara yang sememangnya bersifat transdisiplin dan transbudaya.
Metodologi yang komplimentari dan bersinergi antara sains dan seni dan antara
pelbagai tradisi budaya sangat penting persis pentingnya mengabungkan penggunaan
kedua-dua fungsi otak sebelah kiri dan kanan (whole brain) dalam kesatuan komplimentari
yang dapat menyelesaikan masalah.
vi.
Menekankan proses dan penghayatan berterusan - pameran tidak 'dimula dan disudahi'
secara sehala oleh majlis perasmian atau tarikh penerbitan atau tarikh turun karya.
Apresiasi pameran sewajarnya bersifat 'formative' dan mencapah bukan 'summative'
atau sehala yang terburu-buru serta pendek akal. Wajar dielak sikap yang terlampau
bergantung kepada 'hasil akhir' jangka pendek ibarat 'markah dan geraf peperiksaan'
dan 'keputusan juri hakim'
vii.
Menekankan simbiosis antara kualiti fikir, rasa dan hayat - dalam perkataan yang
lain, sinergi minda, jasad dan jiwa; kognitif, psikomotor dan afektif; mental,
fizikal dan spiritual. Ketiga-tiganya mempunyai 'ekologi kealaman' tersendiri
yang saling berkait dan bertindih. Jika tidak ada imbangan ekologi atau terlebih
berat mana-mana bahagian, akan menjadi tidak stabil, tidak sihat, pincang dan
memincangkan, sakit dan menyakitkan, rosak dan merosakkan, hitam dan menghitamkan;
kocak yang keroh bukan kocak yang jernih. Terlalu banyak berfikir dan berkhayal,
atau bermeditasi dan beruzlah tanpa 'menguji' dalam bentuk 'realiti fizikal' persis
mengelak dari mengambil 'ujian hidup,' mengelak dari membuat salah dan silap,
atau hanya pandai memberi komen dan mengkritik hingga jasad menjadi beku. Terlalu
banyak membuat sambil mempamerkan kehebatan jasad tanpa berpandu kepada daya fikir
yang halus hanya membekukan minda dan rasa. Terlalu banyak mengikut rasa hanya
membekukan akal, merosakkan jasad dan menghitamkan jiwa. Pendek kata, perlu berimbangan
untuk mendapat chi atau tenaga yang baik agar suara nurani yang tulus dapat didengari
viii.
Menekankan perkhidmatan atau servis, bukannya terlampau berorientasikan bentuk
dan produk akhir. Ini termasuklah menghidupkan suasana wacana yang sihat dan terbuka,
bukan hanya menjamah juadah mata sahaja atau bergaduh tentang 'siapa punya paling
cantik'
ix.
Menekankan konteks, bukannya terlalu terbingkai oleh 'kandungan' semata-mata,
tetapi juga segala yang melingkari atau melatari kandungan, termasuk yang bertindan
dengan kandungan
x.
Menekankan keterbukaan pilihan, bukannya menyempitkan pilihan kepada sudut pandangan
kurator atau pengkarya semata-mata
xi.
Meraikan masa, bukannya terlalu taksub dengan objek tunggal yang membekukan masa
dengan apresiasi yang sangat terpasung atau tidak berpotensi untuk dikembangkan
Anjakan
ini boleh diterjemahkan dalam bentuk prinsip, yang seterusnya boleh dijadikan
panduan berpameran pada masa akan datang. Ada diantaranya yang telah diterapkan
sedikit-sebanyak dalam pameran "Takung."
4.6
Cadangan Prinsip-prinsip Kuratorial
i.
Modular - setiap karya (dan pengkarya) sewajarnya dilihat sebagai sebuah unit
atau modul kecil yang berdiri sendiri tetapi pada masa yang sama boleh diubah,
diolah, dikait dan dicantum dalam pelbagai corak gabungan yang saling berkait
dengan karya-karya lain untuk membentuk gabungan unit yang lebih besar. Ini bergantung
kepada faktor perubahan tuntutan ruang, masa dan lain-lain faktor yang saling
berkait. Dalam perkataan lain, setiap karya membentuk sebuah karya besar; setiap
pemasangan membina sebuah pemasangan besar. Keseluruhan ruang pameran merupakan
sebuah karya pemasangan yang boleh dibaca dari pelbagai sudut. Pameran boleh disusun
semula dalam susunan yang berbeza sekiranya diperlukan
ii.
Kepelbagaian dari segi Disiplin, Kemahiran Seni dan Wacana yang saling bertindan-
setiap pengkarya dan karya dilihat sebagai getar kocakan yang saling bertindan
dalam pelbagai frekuensi disiplin, kemahiran dan wacana untuk membentuk corak
'permukaan' atau gelombang keseluruhan sebuah pameran. Frekuensinya mestilah berselaras
untk membina 'ekosistem' pameran yang berdaya-hayat.
iii.
Saling Berkait dan Saling Melengkapi - setiap pengkarya dan karya wajar dilihat
sebagai unit yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain dalam sebuah
ekosistem ruang-masa pameran yang saling bergantungan dan sentiasa berubah mengikut
situasi (dibaca di luar kerangka fizik klasik)
iv.
Pelbagai Pusat, Tidak Berurutan, Multi-hala, Multi-arah, Multi-dimensi dan Dinamik
- semua bahan pameran sewajarnya dibaca mengikut enam prinsip di atas. Prinsip-prinsip
ini dapat mengelakkan pandangan sehala, pandangan berurutan atau sejajar (linear),
dan pandangan sepusat yang terpasung, pegun atau kekal terhadap karya dan pengkarya
yang menghasilkannya
v.
Pelbagai Pilihan, Terbuka dan Anjal - karya-karya yang modular memungkinkan susunan
pameran yang dapat mencetuskan pelbagai pilihan, keterbukaan dan keanjalan (contohnya
dari segi sudut pemerhatian dan pembacaan tampak)
vi.
Berpusatkan Penonton - susunan pameran wajar berpusatkan penonton bagi mengizinkan
mereka meneroka sendiri pelbagai potensi sudut pandangan, pemerhatian, pengalaman
penghayatan dan pembacaan yang berbeza berdasarkan pilihan sendiri
vii.
Interaktiviti atau Saling-tindak yang lebih menekankan penglibatan penonton secara
proaktif dan terserap (immersive) untuk mengelak pemerhatian dan penghayatan yang
pegun dan pasif. Penonton adalah sebahagian dari 'ekosistem' pameran - mereka
menonton dan ditonton sekaligus; menadah dan ditadah serentak
4.7
Mencari frekuensi cinta sejagat
Cubalah
kita menadah dan merenung ombak dan gelombang hidup kita sendiri. Adakah ia berdaya-hayat,
berselaras dengan kebaikan keseluruhan, atau penuh dengan persaingan untuk kekuasaan
sebahagian? Janganlah kita menunggu hingga dipukul gelombang yang tidak mampu
kita renangi lagi.
Cuba
kita renung dengan teliti bekas tadahan di atas telapak tangan. Bukankah ia membekas
tadahan berbentuk lekuk hati, seakan membisik bahawa kita adalah penadah cinta.
Kita
semua adalah 'yang menadah dan ditadah' saling-berkait dalam takungan Kasih yang
jauh lebih luas dan halus dari yang dapat kita bayangkan dengan pengamatan kasar.
Cubalah
cari frekuensinya
.
HASNUL
J SAIDON
Universiti Sains Malaysia
Februari 2004
Prof.
Dr. Ibrahim Komoo, Pengarah
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia
telah
merasmikan Pameran Takung pada 15 Februari 2005, jam 5.00 petang di Galeri 3A,
Balai Seni Lukis Negara
.
Pameran berlangsung dari 31 Januari - 20 Mac 2005.
