P Q

GEBANG SENI : KHALID SALLEH

  • Acara Gebang Seni bersama tokoh seni pementasan negara, Khalid Salleh, telah berlangsung di Rumah Yayasan Kesenian Perak (YKP) pada 1 Mac 2008. Program yang mendapat sokongan serta kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Utara ini sudah tentu memberi kenangan yang mendalam kepada khalayak yang hadir pada malam itu bilamana mereka turut berpeluang ‘bergesel bahu’ dengan nama-nama besar dunia seni negara seperti Datuk A.Samad Said, Dato’ Lat, U-wei Saari, Raja Azmi dan Mamat Khalid; yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis berbentuk santai tersebut.

  • Khalid Salleh atau lebih disenangi dengan panggilan ‘Wak’, telah memberi sepenuh kerjasama dengan persembahan sebuah monolog bertajuk “Jual Ubat” yang diluahkan dengan begitu teatrikal dan cukup berkesan. Persembahan selama kira-kira 45 minit tersebut memberi peluang kepada khalayak untuk merasa sendiri aura Wak Khalid yang cukup menonjol dalam dunia teater tempatan. Walaupun media massa lebih banyak menghebah akan peranan-peranan utamanya di dalam filem-filem U-Wei Saari seperti Jogho, Kaki Bakar dan Buai Laju-laju, jiwa Wak Khalid sebenarnya lebih taksub dengan dunia teater dan perpuisian. Itu yang diakui beliau sewaktu sessi gebang atau bicara seni. Selain menyentuh mengenai karakter utama beliau di dalam teater U-Wei ‘Wangi Jadi Saksi’ yang baru selesai pementasan di Esplanade Singapura, Wak turut memperjelaskan tentang naskah-naskah teaternya seperti ‘Bangsat’ dan ‘Benda Sulit’ secara lebih eksplisit. Khalayak turut dibawa mengimbau zaman awal pembabitannya di dalam seni jualan ubat di sepanjang kakilima di Kuala Lumpur, yang kemudian menjadi motivator untuk beliau terjunkan diri ke dalam dunia teater secara lebih aktif. Kisah-kisah menarik tentang kolektif penting zaman 70an iaitu Anak Alam, turut dikongsi bersama. Apa-apapun, corak penceritaan Wak yang bersahaja tetapi menyulam penuh tanda dan iktibar, yang sekali-sekala mengundang ketawa, berjaya membuatkan hadirin melekat di kerusi masing-masing hingga ke akhir program.

  • Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said selaku tetamu khas yang turut memberikan sepatah dua kata berupa dorongan kepada penggiat seni, mengambil keputusan tidak membaca sebarang puisi atas dasar ingin majlis lebih menghayati penampilan Wak pada malam itu. Acara ‘open-mic’ atau pentas terbuka yang dijalankan seusai gebang seni menyaksikan bacaan puisi, teater pendek serta nyanyian lagu-lagu puisi oleh khalayak. Antara mereka adalah ahli-ahli Badan Budaya Perak dan ASTAKA, Shamsul Zakaria, Piko, Chromatic dan Rahmat Haron. Meor Yusof Aziddin mewarnai majlis dengan persembahan debut lagu-lagunya daripada album independen bertajuk Sakrat yang mengangkat puisi-puisi Amirul Fakir.

  • Sebagai penutup, filem pendek berdurasi 30 minit sentuhan anak muda Razaisyam turut ditayangkan. Antara seniman-seniman generasi baru yang membarisi filem bertajuk Konsekuensi ini adalah Mohd Jayzuan, Avroco dan Rahmat Haron. Sebuah sessi gebang bersama pengarah serta pelakonnya sedang diusahakan untuk dijalankan di YKP tidak lama lagi.



 

BIODATA KHALID SALLEH

Lahir pada 29 Februari 1948 Kajang, Selangor.

Nama Khalid Salleh sangat sinonim dengan dunia teater di samping bidang penulisan kreatif seperti puisi, kritikan teater dan sebagainya. Bakat alam yang dimilikinya bersesuaian dengan jalur kehidupannya yang menjadi pokok sentuhan kerja-kerja kreatifnya. Sebagai pelakon, pengarah dan penulis, Khalid membesar dan dibesarkan di kalangan kelompok seniman yang menamakan dirinya 'Anak Alam' dekad 70-an, di mana anggotanya terdiri daripada pelukis, penyair, aktivis teater dan sebagainya. Khalid juga merupakan dramatis Malaysia yang pertama mementaskan teater di festival teater internasional 'Asia Monodrama Festival’ di Taiwan (1989), Jepun (1991), Calcutta (1992), New Delhi (1993). 1995 mewakili Malaysia bersama U-Wei bin HajiSaari (pengarah Kaki Bakar) ke Cannes Film Festival, Perancis. Dalam penulisan puisi Khalid pernah memenangi Hadiah Sastera Esso-Gapena (1984-85) – Percikan Sinar.

LAKONAN:

1992 Filem ‘Penghujung Malam’ arahan Ahmadi Hassan

1993 Filem ‘Azizah The Legend’ (supporting role)

1995 Filem ‘Kaki Bakar’ (The Arsonist) arahan U-Wei Saari

1997 Filem ‘Jogho’ arahan U-Wei Saari

2004 Filem pendek ‘Buai Laju-laju’ arahan U-Wei Saari

2007 Teater ‘Wangi Jadi Saksi’ arahan U-Wei Saari

ANUGERAH:

1984/85 Anugerah Sastera ESSO–GAPENA (Puisi)

1994 Pelakon Pembantu Terbaik, 11 th Malaysian Film Festival

– ‘Azizah The Legend’

1998 Pelakon Terbaik, Asia-Pacific Film Festival – ‘Jogho’

1999 Pelakon Terbaik, 14 th Malaysian Film Festival – ‘Jogho’

2006 Anugerah Karyawan Seni Teater – Anugerah Seni Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan

2007 Anugerah Hadiah Saguhati Penulisan Skrip Teater Sempena 50 tahun Dewan Bahasa & Pustaka


SAKRAT

  • Pra pelancaran album independen 'SAKRAT' telah dilangsungkan melalui 3 lagu yang disampaikan oleh MEOR YUSOFF AZIDDIN sewaktu sessi 'open-mic'. Kesemua 10 lagu adalah karya MEOR dan segala lirik diangkat dari puisi-puisi AMIRUL FAKIR. Hiasan kulit oleh Kamal Sabran. Harga RM15 termasuk kos penghantaran di Malaysia. Hubungi rumahykp@gmail.com untuk tempahan

  •  

    KEMBALI KE MENU

     

    Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2008 Yayasan Kesenian Perak |