P Q
GEBANG SENI : MAMAT KHALID

(Biodata dan filmografi Mamat Khalid)

 

Gebang Seni bersama sutradara tempatan MAMAT KHALID telah berlangsung pada 30 Mei 2008 di Rumah YKP. Acara dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara ini berjaya menghimpun sekitar 100 orang peserta yang terdiri daripada para pelukis, penulis, ahli-ahli kumpulan teater dan muzik serta peminat-peminat seni dan filem.

Mamat memulakan acara dengan menceritakan kisah bagaimana beliau mula menerjunkan diri di dalam dunia perfileman, menongkah arus getir serta pelbagai cabaran, hinggalah kepada kejayaan serta kepuasan beliau sebagai seorang pengarah filem. Ternyata program Gebang Seni pada kali ini mempunyai sasaran peserta yang membanggakan bilamana Mamat tidak putus-putus diasak dengan pelbagai soalan berkaitan dunia perfileman. Antara isu menarik yang dikupas dengan terperinci adalah mengenai ‘censorship’ dalam perfileman serta pembabitan wanita-wanita bertudung dalam dunia lakonan. Mamat merujuk kepada filem-filem Iran serta tokoh perfileman seperti Majid Majidi dan pertemuan beliau dengan tokoh ulama di Kelantan baru-baru ini yang menyelongkar potensi dunia perfileman di daerah tersebut.

Khalayak dikejutkan dengan kehadiran pelakon Sofi Jikan yang banyak terlibat dalam filem-filem arahan Mamat dengan membawa watak-watak penjahat (yang selalunya akan ‘reform’ di akhir cerita). Sofi turut bercakap tentang pengalaman beliau bergelumang dalam dunia perfileman. Kejutan seterusnya merupakan putaran filem pendek Mamat bertajuk “15 Puasa” berdurasi sekitar 40 minit yang menampilkan para pelakon seperti Adlin Aman Ramli, Yasmin Ahmad dan Loloq. Filem yang turut diadun dengan pendekatan komedi ini mengkisahkan tentang godaan untuk mencuri makan di bulan puasa serta secara sinis menonjolkan elemen-elemen hipokrasi yang ada pada manusia.

YKP mengucapkan jutaan terima kasih kepada DBPWU, Mamat Khalid, Balai Seni Lukis Negara, Badan Budaya Perak serta para penggiat/aktivis seni penting negara seperti Meor, Jayzuan, Myo & Bodysurf Music, Kamal Sabran, Fathullah, Rahmat Haron, Ise, Zulkifli Mohamad, Airmaz, Sofi Jikan dan Art Fadzil yang sama-sama memberi warna kepada acara Gebang Seni pada kali ini.

 

 

KEMBALI KE MENU

 

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design