PAMERAN ' ROOM ' OLEH MATAHATI ART GROUP

Dr. Jolly Koh diapit anggota MATAHATI.

Sebahagian daripada pengunjung pameran

Karya Masnoor Ramli

" Gunting Dalam Lipatan " karya Ahmad Shukri Mohamed.

Mr. D's Last Meal

" Tak Ada Beza " karya Hamir Soib

Detail " Mr. D's Last Meal " oleh Ahmad Fuad

" In The Darkness " karya tryptich Bayu Utomo Radjikin

ARTIKEL DI KAMAR MATAHATI

Khalayak yang prihatin perihal perkembangan seni rupa Malaysia tentu mafhum tentang sekumpulan lima anak muda yang bervisi jauh ini. Memulakan perjalanan seni mereka sejak 1989, MATAHATI yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat, adalah bak permata yang digali dari sessi 1987/91 Fakulti Senilukis & Senireka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Mereka mula mendapat perhatian publik dengan pelancaran pameran pertama pada 1993 bertajuk "LIFE…an Art Exhibition" di Galeri Maybank, Kuala Lumpur; tatkala itu dengan tujuh orang ahli iaitu Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Fuad Osman, Soraya Yusof, Kamal Ariffin Kamisan, Ahmad Shukri Mohamed, Hamir Soib dan Masnor Ramli Mahmud. Pada tahun 1994, mereka berpeluang pula mendapatkan pendedahan di Shenn's Fine Art, Singapura menerusi pameran bertajuk "MATAHATI Group". Pameran "Dari Mata Hati" di The Weld, Kuala Lumpur yang berlangsung pada tahun 1994, menyaksikan kehadiran Akma Suriati Awang, seorang jurureka fesyen. Namun dalam pameran "Stories" yang bertempat di Pelita Hati Gallery pada tahun 1995, partisipasi menyusut kepada hanya lima orang iaitu Fuad, Shukri, Hamir, Masnor dan Soraya.

Berupaya mengetengahkan karya-karya dinamik, sedikit radikal dan penuh eksperimental di dalam setiap pameran hasil inisiatifnya, MATAHATI terus digilap hingga kilauannya mampu melangkau arus milenium atas dokongan kesetiaan Bayu Utomo, Ahmad Fuad, Hamir Soib, Masnor Ramli dan Ahmad Shukri. Antara objektif yang ditatang, yang menyumbang kepada kemapanan survival MATAHATI adalah: mewujudkan sebuah kumpulan seni untuk berdiskusi dan bertukar-tukar fikiran serta mencari ide-ide baru yang kontemporari, menjadi sebuah kumpulan motivasi bukan hanya untuk ahlinya tetapi artis lain dan memberi peluang kepada mereka untuk menghasil/mempamer karya bersama, menjadi sebuah suara besar dalam menyatakan sesuatu, bereksperimentasi dan bekerjasama dengan bidang seni yang lain. Selain daripada berpameran, MATAHATI turut memperkembangkan aktiviti mereka melalui usaha-usaha pembikinan video dokumentari khusus untuk tujuan pendidikan asas bidang seni rupa.

Kedapatan satu elemen yang terkesan tentang semangat muhibah mereka yang akrab. Kecuali Masnor yang lahir pada awal tahun 1968, kesemua ahli MATAHATI merupakan anak-anak hasilan 1969. Sebagai seorang yang juga lahir pada tahun tersebut, hal ini amat menyentap jiwa dan menjadi sangat menarik pada saya secara personal. Menarik kerana tahun 1969 merupakan satu zaman peralihan yang radikal dan fenomenal;tercetusnya peristiwa berdarah musibah miskomunikasi sosiopolitikal yang justeru mencantumkan dua gergasi besar politik Melayu: PAS dan UMNO; masa kemuncak rock n roll, bila mana Rolling Stones memberi konsert percuma kepada 250,000 peminatnya; grafitti mula dilabel sebagai satu cabang seni rupa serta penerbitan isu pertama jurnal seni "Art Language" oleh sekelompok artis konsepsual di Amerika Syarikat; Rudolph Schwazkogler, ahli gerakan Destruction in Art, membunuh diri atas nama seni dengan mutilasi tubuh yang melampau. Peristiwa-peristiwa ini hanyalah alasan demi mencipta suatu paralelisma di antara 'semangat' dengan 'kelahiran' serta karektor lima orang perupa yang berpeluang bertatih menelusuri zaman ini.

Selari dengan kedewasaannya, MATAHATI yang menjunjung prinsip team-work, telah mengorak satu langkah penciptaan seni yang penuh inovatif serta tidak pernah mual mencuba media-media baru di dalam eksplorasi visual mereka. Berdasarkan pameran terakhir bertajuk "PL" yang dilangsungkan di Galeri PETRONAS (1999), kebanyakan karya-karya yang dipaparkan mengambil bentuk instalasi¾satu medium marginal pengucapan seni yang menjadi praktis kebanyakan perupa generasi kontemporari. Dalam kerangka kon(sep/teks)tual, penghasilan "PL" merupakan penilitian dan penakwilan mereka kepada segala adegan hayat manusia lokal dan global yang disaksikan oleh MATAHATI. Kebobrokan serta kegawatan dunia akibat peristiwa-peristiwa arus milenium¾antaranya perang sabilisme di Afghanistan, Osama ben Laden dan World Trade Center (peristiwa 911), Al-Maunah dan KMM, mata hitam mantan Timbalan Perdana Menteri dan demam pilihanraya, serangan anthrax dan bencana alam di serata dunia¾sedikit sebanyak mempengaruhi tema serta konsep pengkaryaan setiap artis yang sensitif serta jujur dengan peranan sebagai khalifah-khalifah seni. Di dalam "PL", ternyata setiap anggota MATAHATI tidak mampu lagi menyimpan gelodak serta kecamuk yang melanda naluri mereka. Olahan-olahan instalasi yang menyulam elemen-elemen rebel dan protes, yang menampakkan kekuatan context dan content intrinsiknya, diadun dengan penuh serius dan berani walau pun secara berhati-hati. Karya-karya "PL" mencetuskan dialog dan persoalan kepada audien tentang apakah tindakan-tindakan relevan yang perlu ditatang dan mengajak audien berfikir bagi merumuskan formula-formula tersendiri di dalam menangani polemik dan kontroversi yang terzahir. Sesungguhnya inisiatif mereka ini mampu mengundang budaya berfikir dalam seni rupa.

Setelah hampir 13 tahun, setiap nama di dalam MATAHATI menempa impak masing-masing di pesada seni rupa tanahair. Tidak tergamak saya memandai-mandai membuat interpretasi formalistik terhadap karya-karya mereka; cukup sekadar cuba menyentuh aspek kon(sep/teks)tual, tanpa sembarang hipotesis visual. Perlu dan adil juga merujuk kepada ungkapan klasik estetika: "beauty is in the eye of the beholder". Malah "art can be anything"; kerana skop definisi seni itu amat luas dan sentiasa berubah-ubah. Apa yang utama adalah lapisan-lapisan simbolik, paradigmatik mahu pun sintagmatik yang bisa dikupas di sebalik setiap karya; tentang kemampuannya menyuntik perasaan gundah dan resah lantas membikin si pelihatnya tenat melayan perdebatan jiwa yang mendesah akibat 'persetubuhan' dengan karya-karya tersebut. Jadi, seafdalnya karya-karya persembahan MATAHATI pada kali ini dihayati di dalam kerangka kon(sep/teks)tual yang cuba diwujudkan oleh setiap artis MATAHATI.

Kesinambungan kon(sep/teks)tual "PL" masih terzahir di dalam pameran ROOM yang bertemakan 'Komentar Sosial dan Kemanusiaan'. ROOM adalah 'room' yang mengandung maksud ruang. MATAHATI menggarapkannya sebagai suatu idiom yang merujuk kepada ruang fizikal/material pembikinan seni yang semestinya bertitiktolak dari ruang mental/spiritual/intelektual seniman. Kamar merupakan suatu persekitaran; tempat untuk diluahkan elemen-elemen visual yang menekankan hubungkait dan bukannya integrasi pengolahan bahan-bahan karya. Kemantapan ruang pengkaryaan seharusnya ditentukan oleh kematangan paradigma dan wacana yang berinteraksi di dalam susuk kebatinan seniman. Kewujudan sempadan dan batas kamar sekali-kali tidak menyekat kebebasan paradigma seni yang tertancap di dalam jiwa dan pemikiran mereka yang berdaya menentukan wilayah garapan yang kreatif. Tema yang diajukan, walau pun kadangkala kedengaran seperti suatu klisé dalam konteks masyarakat pasca-moden, masih relevan dan utuh demi membongkar segenap peristiwa dan persoalan yang memberi kesan kepada jalur kreativiti MATAHATI.

Secara kolektif, karya-karya ROOM merujuk kepada tindakbalas MATAHATI terhadap norma, nilai dan sistem sosio-budaya yang berlegar di sekitar keperibadian artis. Teori-teori ciptaan makhluk Barat, seumpama teori evolusi bikinan Darwin, telah banyak dipersoal dan dinafi oleh penemuan-penemuan empirikal sains yang baru. Bagaimana pun, kewujudan gagasan intelektual tersebut masih meninggalkan impak-impak negatif kepada kehidupan manusia moden. Bermain dengan elemen-elemen semiotika, evolusi manusia dari homo-erectus kepada homo-sapiens diperpanjangkan menjadi 'homo-milenium' dengan karakteristik mempersetankan secara total hukum-hukum tabii insan. Penggunaan multimedia di dalam ruang yang dilingkungi oleh unsur-unsur figuratif dan ekspresif, menyulam falsafah kultur Pop dan dapat menyuntik semacam synaesthesia yang lantas memanipulasi kesedaran normal untuk membawa khalayak menerewang ke suatu kembara sintetik demi memahami kemajalan hidup moden. Sika (psyche) bangsa Melayu pasca-moden turut diusik halus secara kiasan metaforikal dan sinikal dengan niat mempersoal dan bukan mengkritik. Gabungan catan dan instalasi mengumpul pergolakan krisis jatidiri bangsa ke dalam ruang pameran lantas mencetus dialog dan polemik. Perupaan dilema belia Melayu gelandangan kontemporari yang diangkat ke atas karya-karya seakan memapar kontradiksi identiti individual Melayu¾hedonis yang berpaksikan tarikat pessimisme, dan konformis yang bertunjangkan falsafah kehidupan tradisionalisme dan agama. Tanpa mengajukan sebarang rumusan, karya-karya hanya tampil sebagai wacana ideologis yang berhasrat merobek topeng kebobrokan masyarakat.

Fenomena pertempuran dan pertelagahan, samaada yang berciri individual atau universal, turut dicerna ke dalam karya kali ini. Transformasi ruang dengan pengisian imajan-imajan yang disokong oleh projeksi montaj video, diadun untuk menghadirkan satu atmosfera surrealistik. Bahang kontekstual surreal yang diwujudkan mengutara kemelut dan polemik sejagat rekaan media ke atas ideologi holywar ciptaan imperialis Barat atau rukun jihad yang dianuti oleh penganut Islam. Mitos teroris Muslim dan pertelingkahan tentang kemulusan doktrin Islam yang diwarwarkan oleh media menimbulkan kegelisahan mental dan cuba disanggah dan diperbetulkan. Di dalam merenung makna makhluk dan kemanusiaan, artis memberi penekanan kepada orientasi jihad di dalam diri setiap manusia demi memungkinkan sebuah dunia yang damai dan berkompromi. Paparan visual tengkorak yang organik menterjemah gejolak pencarian yang bermain di ruang benak kontemplatif artis di dalam memahami idiom-idiom kehidupan dan paradoks kematian. Kecelaruan dan keracauan manusia di dalam menjejaki lorong-lorong kecamuk metafizikal bermeditasi di ruang ambiguiti akalfikir makhluk moden. Instalasi ini memberi kesan kepedulian artis terhadap realiti sosial secara umumnya dan terhadap nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri. Ianya adalah satu percubaan jujur untuk mengusung ilmu-ilmu saikologi ke dalam wadah kesenian. Pernyataan terhadap dimensi fizikal dan spiritual mengikut gagasan eksistensialisme dimanifestasikan di dalam ruang kamar. Paradigma masyarakat yang gemar memfitnah dan mengkritik di dalam bentuk tekstual, visual mahu pun fizikal turut diangkat sebagai konteks dalam pembikinan karya-karya. Simbol-simbol pertarungan yang memenuhi ruang bertujuan mencipta suatu suasana dialektik yang berusaha mengundang audien ke arah memahami kesan-kesan konflik masakini ke atas fenomena saikologi di dalam kehidupan manusia. Betapa ruang-ruang yang ada di persekitaran manusia hari ini, samaada dalam bentuk fizikal, material, mental, intelektual mahu pun spiritual, semakin sempit dihimpit oleh segala kerenah kedurjanaan hasil kerja insan itu sendiri. Menerusi ROOM, MATAHATI mengajak khalayak untuk sama-sama menghayati dan merenung kondisi dan situasi sosial dan kemanusiaan yang berlegar di sekeliling natijah daripada kebobrokan pasca-modenisme.

Sudah menerjah alam kedewasaan, MATAHATI sewajarnya melebarkan sayap mereka ke ruang-ruang yang lebih mencabar; tidak hanya berpameran di galeri-galeri yang menyediakan kawasan yang terhad dan terkawal sehingga pengkaryaan terpaksa dihasilkan mengikut kehendak ruang dan bukan sebaliknya. Perlu ada usaha-usaha untuk memartabatkan kejujuran pengkaryaan mereka di dalam konteks yang lebih alami dan lebih luas sifatnya. Sebagai sebuah kumpulan seni kontemporari yang prolifik, selain daripada membuat pameran yang tidak banyak sedikit mengembungkan kantung komersialisme, MATAHATI perlulah juga mempunyai inisiatif untuk mengongsi penciptaan mereka dengan kelompok masyarakat non-elit¾nelayan, peladang, anak-anak desa, para pesakit, banduan dan tapol, pekerja kilang dan berjenis-jenis manusia lagi¾selain daripada 'spesis' tertentu yang sememangnya tidak perlu disogok atau digosok dengan kefahaman seni yang melampau-lampau.

Kehadiran MATAHATI merupakan kontinuiti kepada persatuan, kelab atau kolektif seni Malaysia. Jika disusuri sejarah seni moden Malaysia, perkumpulan seniman seperti Wednesday Art Group dan Angkatan Pelukis Semenanjung, hanya memberi penekanan kepada seni visual. Begitu juga dengan Tunas '60 dan Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) yang diasaskan di Singapura. Penubuhan Anak Alam pada 1974 yang menitikberatkan peranan individu dalam memperkembang skop seni dan budaya berupaya menganjak penumpuan untuk turut merangkumi seni teater dan puisi. Di era artis muda negara mulai mengangkat stail pluralisme, MATAHATI perlu lebih dinamik dan inovatif. Pembentukan kolektif-kolektif independen oleh golongan artis muda pelbagai genre dan media perlu memangkin MATAHATI untuk lebih agresif di dalam eksplorasi seni mereka. Grup mandiri seumpama Spacekraft dan Space Spirit Studio telah mulai mencambahkan kreativiti mereka dalam pelbagai aspek terutamanya kolaborasi media baru seperti grafik, elektronik, video, filem digital, happenings dan performance. Mereka juga berusaha menghidupkan ruang-ruang alernatif yang tidak dikongkong oleh konsep muzium dan galeri konvensional.

Di dalam zaman pasca-moden, seniman seharusnya bertindak juga mempersoalkan fitrah kesenian itu sendiri. Kadangkala seniman harus berani mengkonseptual seni mereka dengan mendokong tugasan ke arah memikirkan semula seni itu sendiri. MATAHATI yang makin mendewasa seeloknya turut berusaha mencari bentuk-bentuk baru ekspresi seni yang boleh memperpanjang konsep Kebudayaan Kebangsaan Malaysia atau Akar-akar Kesenian Pribumi mahu pun Mystical Reality. Mungkin juga MATAHATI perlu mengabsahkan kehadiran mereka di dalam konteks historikal sejarah seni moden Malaysia sebagai suatu kumpulan yang bermiripkan gerakan Fluxus yang menentang terpisahnya seni dan masyarakat; atau mungkin sebaliknya. Semoga dengan ini Malaysia boleh tumpang berbangga mempunyai sebuah kumpulan seni rupa bersifat alternatif dan mandiri yang sama bertenaga dan sama gah dengan Plastique Kinetic Worms (Singapura), Ruang Rupa dan Taring Padi (Indonesia), Big Sky Minds (Filipina) dan Projek 304 (Thailand); mampu menjadi sebuah suara besar yang benar-benar telus, jelas serta berupaya mempertahan kesuburan seni yang berterusan, tanpa perlu selalu menjadi aksesori kepada ruang-ruang komersialisme, kapitalisme dan seumpamanya.

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design