SEMBANG SENI RUMAH AIR PANAS

Rumah Air Panas (RAP) di bawah bimbingan artis visual Chuah Chong Yong, telah menganjurkan sembang seni pada 24 Mei 2003. Pembicara yang dijemput khas, Hasnul Jamal Saidon (seniman /pensyarah USM) dan Zanita Anuar(Kurator Balai Seni Lukis Negara), kedua-duanya merangkap hakim Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS)2002, telah diasak dengan persoalan-persoalan berkenaan halatuju pertandingan yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara(BSLN)setiap dua tahun sekali itu.

Penerangan komprehensif mengenai kriteria serta tarikan-tarikan yang membenarkan pencalonan para pemenang telah diperjelaskan. Hasnul memberi contoh simbolik 'air di dalam botol' di mana 'air' mewakili seni dan 'botol' mewakili para hakim yang mewujudkan interference berkata bahawa karya pemenang tidak semestinya mewakilkan seni yang terbaik. Beliau berumusan bahawa akhirnya, para seniman yang berkarya dengan sokongan-sokongan wacana (discourse) apatah lagi dalam situasi pasca-moden ini, akan diberi keutamaan.

Antara lontaran-lontaran ide yang mendapat perdebatan adalah seperti saranan supaya acara pertandingan BMS dilakukan sepanjang tahun, dipertingkatkan nilai prestijnya, dengan penilaian dibuat terhadap semua karya yang dipamerkan di mana sahaja tidak kira latarbelakang seniman. Karya-karya yang dicalonkan oleh sesiapa sahaja, di lokasi mana sahaja, dianalisa berlandaskan kekuatan tarikan-tarikan tertentu, feed-back dari para audien, didokumentasi dan akan melalui discourse yang serius oleh ahli panel yang dilantik khas.

Inisiatif tersebut jika dapat dilaksanakan sudah tentu akan menjadi katalis yang sangat gagah untuk mengacah setiap seniman menghasilkan karya-karya yang bermutu secara prolifik, bukan hanya menunggu acara dua tahun sekali. Di samping itu ianya akan memberi lebih ruang untuk organisasi-organisasi kecil, kelompok-kelompok independen dan persatuan-persatuan pelukis untuk bergabung memberi khidmat dan membantu pelaksanaannya. Namun begitu, untuk merealisasikannya, dana yang berpatutan perlu dituntut dari pihak-pihak yang bertanggungjawab menjaga kehidupan seni dan budaya tanahair. Persoalan yang lebih penting. Adakah BSLN mampu melakukannya?

* Untuk informasi lanjut berkenaan Rumah Air Panas, layarilah laman web RAP di alamat : www.rap.home-page.org

* Kemukakan pendapat anda berkenaan topik ini di Laman Forum kami segera.

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design