PAMERAN OFF WALLS OFF PEDESTALS, AKAL DI ULU

Lagi kisah Akal diUlu. Kali ini mengenai sebuah acara seni yang punya potensi besar untuk meninggalkan kesan di dalam sejarah perkembangan seni rupa tanahair. Pada 27 Julai 2002 , Akal diUlu telah selamat dirasmikan sebagai 'Art Tourism Landmark' oleh YB Dato' Ir. Lum Weng Keong, Exco Pelancongan Selangor. Acara perasmian turut dimeriahkan dengan persembahan musik tradisional oleh penduduk tempatan di samping musik eksperimental tanpa elektrik yang menarik oleh sekumpulan pelajar seni UiTM Sri Iskandar, Perak.

Bersama-sama dengan pelancaran di ruang kepunyaan artis Juhari Said tersebut, turut dihidangkan sebagai acara utama, pameran seni instalasi 'Tiada Dinding Tiada Tapak' iaitu "Off Walls Off Pedestals : The Langat-Noko Art Exchange Project" yang menggabungkan para artis Jepun dan Malaysia. Artis Jepun terdiri daripada Akira Inoue, Katsu Murakami, Masaki Kidera, Maya Shuto dan Tohoyiko Kanzaki. Manakala artis dari Malaysia terdiri daripada Juhari Said, Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Mastura Abdul Rahman, Zulkifli Yusoff serta kumpulan Artis Jambatan Baru iaitu Ivan, Bin dan Hanafiah. Tidak ketinggalan sebagai artis undangan antaranya adalah Noor Azizan Rahman Paiman, Chuah Chong Yong dan Helena Hsong.

Karya-karya keseluruhannya berbentuk environmental art. Menggunakan sepenuhnya persekitaran yang ada, konsep 'off walls' dan 'off pedestal' adalah cubaan sihat untuk memasyaratkan seni rupa yang lazimnya ditempatkan secara formal di dalam galeri-galeri, muzium serta gedung-gedung seni. Karya-karya seni yang masing-masingnya mempunyai tarikan visual yang unik serta konsep yang mencetuskan gelora jiwa dan minda dapat memberi satu dimensi baru khusus kepada audien tempatan.

Karya oleh Maya Shuto bertajuk "Red Core"(Teras Merah) paling mendapat perhatian penulis. Bentuk-bentuk organik merah menyala yang seakan-akan parasit pada dahan-dahan kayu mati memberi kesan yang sungguh menakjubkan. Seolah-olah ianya sedang melalui satu proses metabolisma, menunggu masa untuk membesar dan membiak. Memberi andaian bahawa sesuatu yang dianggap mati atau statik sebenarnya masih membara dan membakar di dalam, menunggu masa yang sesuai untuk meletup atau mengambil alih kuasa.

Seorang lagi artis Jepun, Kanzaki Tohoyiko menggunakan medium fabrik atau kain untuk menterjemahkan konsepnya. Gubahan-gubahan kain berwarna kuning berbentuk 'kon terbalik' diatur di dalam kawasan kebun hampir 100 meter persegi. Beliau mempercayai dialog yang lebih hebat dengan alam dapat dijana di dalam tadahan-tadahan kain tersebut. Karya yang diberi tajuk "Ruangan Untuk Purnama, Bayang dan Angin" ini tidak kurang menariknya untuk santapan visual serta berupaya mencetuskan persoalan-persoalan berhubung dengan alam sejagat.

Artis kontemporari Malaysia yang tidak asing lagi, Noor Azizan Rahman Paiman sempat di'culik' oleh penulis untuk berkongsi bicara seninya. Lebih disenangi dengan panggilan surnamenya, Paiman telah meluahkan pemikiran serta ide yang serius sebagai salah seorang artis yang terlibat. Karya bertajuk "Mass/age on Mess/age" (Urutan Ke Atas Pesanan) merupakan hasil dari kutipan-kutipan pengalaman beliau di luar negara khususnya di Manchester, United Kingdom tatkala menyambung pendidikan seninya. Sebagai seorang musafir di negara orang, Paiman telah didatangi perasaan yang sama seperti yang dialami seseorang imigran atau pendatang asing merantau di Malaysia.

Paiman banyak menekankan tentang konsep 'jajahan' jiwa dan minda. Sebagai orang Asia, karyanya mengambil bentuk khemah bangsa Mongolia yang berdindingkan jahitan-jahitan patchwork bahan-bahan yang dijumpai sepanjang penghidupannya di Manchester. Perca-perca kain gebar, tirai, kain sofa dan lain-lain disambung-sambung menjadi satu bidang yang besar, cukup untuk menjadi tempat berlindung bagi seramai hampir sepuluh orang. Bidang fabrik ini dipulihara seperti asalnya; tidak dicuci, masih mempunyai kesan-kesan peluh, darah, tumpahan kopi dan bermacam-macam stain lagi- supaya tidak luntur 'history' yang ingin dikongsi bersama audien.

Paiman telah mempersoalkan tentang milik siapakah bandar Inggeris itu? Melalui kesan-kesan yang dapat dicari pada fabrik-fabrik yang dikutip di sekitar masjid Syiah, pusat pelupusan sampah, kawasan Yahudi; ianya memberi semacam bukti tentang manusia-manusia yang membina bandar tersebut. Pertikaian juga timbul bila merujuk kepada produk teh dan kopi yang dihidangkan di dalam cawan berlambang karektor-karektor Inggeris kepada audien, yang hangat berbincang isu-isu global di dalam ruang membulat karyanya. Bahan-bahan tersebut yang memakai label-label Inggeris dan diakui dihasilkan di England, pada hakikatnya diimpot dari negara-negara lain seperti India dan China tetapi dibungkus di England.
Apabila Akal diUlu menjemput, Paiman tidak melepaskan peluang untuk memasang karya interaktif ini. Melalui seni persembahan yang turut mengiringi karyanya, beliau akan memberi khidmat mengurut kepada sesiapa yang berminat lantas bercerita bak penglipurlara tentang ide-ide yang cuba digarap. Terdapat tiga jenis urutan menggunakan tiga jenis minyak - minyak gamat, minyak kuda dan aromatherapy. Jenis urutan bergantung kepada pemilihan minyak tersebut. Sesiapa yang memilih minyak aromatherapy dari England misalnya, akan diusap secara lembut ibarat Frank Swettenham yang berjaya menambat hati Sultan dengan 'urutan-urutan' lembutnya pada masa dahulu. Begitu juga jenis-jenis urutan yang lain merujuk kepada situasi-situasi tertentu dalam sejarah bangsa kita.

Karya Paiman memancarkan persepsi tentang keadaan sosial, ekonomi dan politik secara jujur. Mungkin juga memberi peringatan kepada Akal diUlu supaya mengambil langkah berjaga-jaga, supaya tidak ada pihak-pihak yang bakal meng'urut' nya menjadi suatu ruang yang bercanggah dengan objektif atau misi murninya untuk memartabatkan seni melalui konsep eco-tourism, dan sama sekali supaya tidak timbul pula usaha-usaha untuk menjadikannya hutan batu (concrete jungle) pada suatu hari kelak.

Kini Paiman lebih gemar menghasilkan karya-karya yang lebih fleksibel sifatnya. Beliau berpendapat bahawa karya-karya perlu bergerak dan mampu disesuaikan dengan apa jua konteks persekitaran. Boleh dipamer di dalam galeri serta tempat-tempat elitis mahu pun sebaliknya, bergantung kepada keadaan masa dan penonton. Namun kejujuran berkarya itu sangat penting dan dalam konteks semasa, kejujuran menilai seni juga harus ada. Para hakim atau juri sesebuah pertandingan misalnya harus bersifat liberal, tidak terikat kepada anutan seninya secara peribadi, supaya peluang-peluang kelahiran karya-karya menggunakan new-media akan menjadi lebih cerah dan menjadi positif di dalam arus perkembangan seni rupa Malaysia. Sudah tiba masanya untuk menjana pameran-pameran seni rupa di luar konteks galeri dan ruang formal misalnya di stesen keretapi, petrol kiosk dan tempat-tempat awam.

Syabas diucapkan kepada Juhari Said di atas usaha giatnya untuk me'mesra alam' serta me'mesra khalayak' kan bidang seni khususnya seni rupa. Projek ini tidak akan berhenti di sini. Edisi kedua projek Art Exchange Langat-Noko ini akan berlanjutan ke sebuah kawasan ladang anggur (vineyard) di Pulau Nokonoshima, Fukuoka, Jepun pada tahun 2004. Semoga integrasi yang terjalin bakal merapatkan lagi hubungan kesenian melalui jambatan kebudayaan yang dibina oleh dua buah pihak ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Juhari Said di talian 03-90217725 atau faks: 03-90217467.

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE ARKIB YKP

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design