TAK
KENAL MAKA TAK CINTA ... MAJLIS TEATER PERAK MASUK MEMINANG

Suasana
santai yang menyelubungi pertemuan para penggiat teater serta seniman pelbagai
genre seni di Taman Budaya Negeri Perak pada hujung minggu baru-baru ini memberi
petanda yang menyegarkan. Hampir dua ratus hadirin tampil untuk memeriahkan majlis
sillaturahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Warisan, Belia
dan Sukan Negeri Perak (JKKWBS), YB Dato' Hj Zaim bin Hj. Abu Hassan, orang baru
yang diberi kepercayaan mengemudi halatuju kegiatan-kegiatan bersangkutan seni
dan budaya khusus di Negeri Perak Darul Ridzuan.
Program
anjuran Majlis Teater Perak (TEMA Perak) dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan
Kesenian Negeri Perak ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pihak JKKWBS akan
kewujudan pertubuhan serta kumpulan seni dan budaya yang bakal bersama-sama mengambil
bahagian serta menyumbangkan khidmat di dalam aktiviti-aktiviti yang diharap akan
menyemarakkan kembali keberadaan seni dan budaya di negeri ini. Yang DiPertua
TEMA Perak-Zaharuddin Rafei, aktivis teater veteran mapan yang lebih senang dengan
panggilan Onie Moraza di dalam ucapan beliau memberi penekanan tentang situasi
seni dan budaya di Perak, khususnya bidang teater yang kelihatan seakan-akan lesu
dan tidak bermaya, tidak setanding semangat mahu pun keinginan meluap-luap para
pejuang teater sekitar era 60-an. Beliau seterusnya memohon agar pihak kerajaan
akan lebih bersikap terbuka dan prihatin dengan perkara-perkara yang menyentuh
perihal kebajikan para penggiat teater. Pertamanya, dengan memberi sokongan menyalurkan
dana yang munasabah kepada TEMA Perak bagi merealisasikan pelaksanaan projek-projek
teater bulanan yang mencakupi seluruh negeri bermula tahun hadapan. Selain daripada
itu, Onie turut menuntut agar sebuah tapak latihan yang sempurna disediakan di
Bandaraya Ipoh oleh pihak kerajaan bagi menjadikan suasana teater di Perak lebih
profesional dan dihormati-tidak perlu lagi untuk sebahagian penggiat menjalankan
latihan berpermaidanikan rumput dan berbumbungkan terik mentari atau pun menagih
simpati beraksi di laman-laman rumah semata.
Negeri
Perak Darul Ridzuan telah banyak memberi sumbangan kepada tanahair dalam konteks
seni dan budaya. Para seniman dan pelopor seni sama ada dalam bidang teater, senilukis,
kesusasteraan, filem dan budaya tradisi misalnya, telah banyak memainkan peranan
mereka di dalam menghadirkan 'kudapan jiwa' untuk masyarakat. Ramai yang semakin
mendatang dan tidak kurang juga yang telah pergi. Justeru, saranan terakhir Onie
supaya sebuah galeri atau muzium seni ditubuh khusus bagi memperingati mereka
yang telah meninggal dunia(post-humous) namun terbukti memberi sumbangan sepanjang
hayatnya, wajar dipertimbangkan pihak kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat
di dalam masa terdekat. Usaha murni ini sudah tentu tidak akan mengecewakan bila
mana sebahagian warisan itu nanti dapat menjadi sumber rujukan yang berfaedah
kepada semua lebih-lebih lagi kepada generasi yang akan datang.
YB
Dato' Zaim di dalam ucapannya turut melahirkan rasa syukur di atas pelaksanaan
majlis tersebut kerana dapat merapatkan sillaturrahim di antara kelompok-kelompok
penggiat seni dan para aktivis teater. Beliau yang berkongsi pengalaman tentang
penglibatannya di dalam pengajian subjek-subjek kesusasteraan, menekankan akan
kepentingan seni dan budaya sebagai satu elemen hidup yang berperanan mengimbangi
kekalutan dunia kini yang tanpa sempadan dan penuh dengan segala macam kemungkinan.
'Seni untuk Masyarakat' dirasakan sebagai konsep yang paling ideal untuk mewujudkan
kehidupan yang harmonis. Kehadiran TEMA Perak diharap menjadi katalis dalam memberi
motivasi kepada anak-anak teater tempatan untuk menjadikan teater sebagai wahana
murni yang memberi nafas kepada kehidupan harian masyarakat.
NH
Khairuddin

Kuartes
kerajaan bersebelahan Taman Budaya yang telah terbengkalai sekian lama, dicadangkan
sebagai pusat latihan teater...