KUNJUNGAN KETUA PENGARAH BALAI SENI LUKIS NEGARA KE IPOH

Pada 5 Februari 2006, Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Dr. Saharuddin Ismail serta delegasinya telah membuat kunjungan ke Ipoh untuk bertemu persatuan serta organisasi seni di Perak. Acara dijalankan di Taman Budaya Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perak. Turut hadir adalah Pengarahnya, Puan Habsah Noordin.

Di dalam perjumpaan singkat itu, Dr Saharuddin memaklumkan tentang kesanggupan BSLN memberi lebih peluang kepada semua pihak untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan mengangkat serta merakyatkan seni tampak tempatan. Justeru, hadirin dan para penggiat seni tampak lain dijemput mengemukakan pendapat serta saranan untuk kebaikan bersama dengan menghantar proposal secara terus kepada pihak mereka.

Hadirin telah dimaklumkan mengenai Skim Bantuan Penggiat Seni yang bertujuan menampung sebahagian kos perbelanjaan untuk pelukis-pelukis mengambil bahagian di dalam mana-mana kursus atau aktiviti jangka pendek di luar negara. Butir lanjut boleh didapati di www.heritage.gov.my .

Selain itu, orangramai dijemput menyumbangkan penulisan mengenai seni untuk buletin separa pendidikan Balai Seni Lukis Negara bertajuk 'SET', yang dijangka terbit pada penghujung Februari. Selain mengisi tentang kegiatan serta pameran yang dianjur BSLN, buletin ini akan turut menampilkan informasi yang berkaitan seni tempatan untuk dikongsi bersama khalayak. Hubungi 03-40254989/03-40254990 untuk keterangan lanjut.

Sementara itu, para pelukis dijemput mengambil bahagian di dalam Pertandingan Lukisan Catair Nasional Putrajaya Pertama: 2006. Hadiah lumayan menanti anda. Tarikh tutup: 15 Mei 2006. Muat turun borang penyertaan di www.artgallery.gov.my

 

KEMBALI KE MENU

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design