TEATER
DABUS
Majlis
Teater Perak 2000 (TEMA Perak) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan,
Kesenian dan Warisan Negeri Perak telah mementaskan teater bertajuk
'DABUS' pada 2 & 3 Sepetember 2006 bertempat di Taman Budaya
Negeri Perak. Arahan dan naskah oleh Onie Moraza.
Teater mengkisahkan tentang pertembungan di antara budaya tradisi
dan budaya popular (yang diperkenal penjajah) yang membaluti suasana
Kampung Ketapang. Kebanjiran Joget Moden mengakibatkan masyarakat
menjadi kecoh dan kucar-kacir sehingga ramai yang hilang akhlak.
Pak Mat (Jefri Osman) yang berjuang untuk kesenian Dabus akhirnya
berjaya menyelamatkan kesenian tradisional itu apabila ramai yang
menyedari akan keberkesanan ilmu kesenian permainan Dabus sebagai
pembakar semangat dan pendinding maruah bangsa. Teater ini juga
mendedahkan sejarah asal usul kesenian itu dan apakah sebenarnya
yang dikatakan Dabus.
Seramai 30 pelakon mengambil bahagian, diiringi oleh persembahan
muzik secara langsung. Plot menarik yang menjelmakan semua unsur
perasaan; riang, sedih, pelik, takut dan marah serta sekali-sekala
disulami babak-babak jenaka menjadikan teater ini tidak membosankan.
Lebih menarik adalah segala penceritaan terangkum hanya dalam sebuah
mimpi Dollah Londeh (Ali Samat) yang sepanjang itu berangan menjadi
pengurus Pentas Joget Moden.
Untuk sebarang undangan pementasan, boleh hubungi Onie Moraza (016
5684950)
