PAMERAN PANCAWARNA: SENI RUPA KASIH

Pameran 'Pancawarna: Seni Rupa Kasih' telah dilancarkan pada tanggal 14 April 2007 bertempat di Galeri Pelita Hati oleh Y.Bhg Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad. Lebih 50 orang pelukis menterjemahkan rasa dan kasih mereka di dada kanvas bagi meraya serta meraikan seorang tokoh penting dalam bidang sastera, seni dan budaya tanahair - A. Samad Said. Sempena usia Pak Samad yang ke 72 pada tahun ini, majlis sebegini dirasakan wajar diadakan sebagai tanda penghargaan golongan seniman kepada sumbangan besar beliau selama ini.

Pameran yang dicetus oleh Profesor Dr. Siti Zainon Ismail (yang merangkap kurator) disokong dengan sebuah pembukaan yang sungguh bermakna dengan dendangan lagu-lagu akustik oleh 'papa rock' Ramli Sarip, Meor 'folk' dan Fathullah Luqman Yussuf. Tidak ketinggalan bacaan puisi oleh A.Ghafar Ibrahim, Rahimidin Zahari, Raja Ahmad Aminullah, Piko dan Dato' Mohd Yussoff Jaafar. Majlis menjadi bertambah gempar pabila diakhiri dengan sebuah persembahan seni (perfomance art) oleh Rahmat Haron; yang telah mencarik-carikkan lukisan aslinya untuk dicampurkan dengan sampah sarap kering dan basah yang kemudiannya diperap untuk dijadikan baja kompos. Lakaran teks dengan titisan darah yang mengalir dari jemarinya di atas sebidang kertas, simbolik kepada kemarahannya terhadap janji-janji manis yang ditabur sebilangan manusia dalam dunia seni.

Pameran akan berlangsung sehingga 28 April 2007.

 

 

KEMBALI KE MENU

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design