DIALOG 'SASTERA UNDERGROUND VS SASTERA ISLAM'
Dialog "Sastera Underground Vs Sastera Islam" telah berlangsung di Rumah PENA pada 19 Mei 2007 dengan barisan panel terdiri daripada Rahmat Haron, Ali Atan dan Ummu Hani.
Ternyata tajuk yang dipilih adalah sekadar ‘gimmick’ bila mana di akhir program, penganjur terpaksa menjelaskan bahawa perkataan ‘versus’ itu bukan untuk melaga-lagakan kedua entiti walaupun bermaksud ‘lawan’. Ianya diguna semata-mata untuk memancing khalayak untuk hadir mendengar perbandingan di antara sastera underground dan sastera Islam tanpa apa-apa resolusi.
Rahmat Haron mempersoalkan tentang sistem pelabelan (branding) yang menjerumuskan penulis ke ruang ‘underground’ walaupun sebenarnya beliau tidak pernah terfikir tentang status selain daripada menulis semata-mata untuk meluahkan perasaan.
Ummu Hani sebagai pejuang sastera Islam, dengan ungkapan ayat-ayat Al-Quran agak secara didaktik menyenaraikan hukum hakam serta formula yang ideal untuk menjadi penulis Islam sebenar. Sementara Ali Atan yang menyebelahi kepentingan sastera underground berlandaskan Islam, memberi contoh karya-karya Azman Husin aka 'Azman Candu' serta penulis-penulis lain yang tetap releven walaupun berbau seks untuk tujuan ilmu kehidupan.
Sasterawan Negara A. Samad Said turut melontar pandangan dengan membandingkan karya pertama beliau ‘Salina’ yang lebih ‘lancang’ dengan ‘Al-Amin ’ yang lebih Islamik.
Studio Rumah PENA turut dijenguk YKP seusai acara dialog. Kami disambut oleh dua orang seniman, Mad Anuar dan Mansor aka Chot yang meneruskan dialog seni secara lebih santai.

