PAMERAN ARTRIANGLE
Pameran ARTRIANGLE: Malaysia-Philippines-Indonesia telah dirasmikan pada 20 Mei 2007 bertempat di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Kuala Lumpur. Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Dr. Saharuddin Ismail telah menyempurnakan majlis sekaligus melancarkan Tabung Seni Matahati (TSM).

TSM ditubuhkan oleh kumpulan Matahati sebagai satu alternatif bantuan kepada para pelukis yang memerlukan. Ianya melibatkan perkara-perkara berkaitan pendanaan projek seni, musibah seperti kemalangan, masalah kesihatan dan termasuk kematian. Lima orang ahli yang terdiri daripada beberapa insitusi seni dilantik sebagai penasihat kepada TSM. Informasi lanjut akan disebarkan untuk rujukan umum tidak lama lagi.
Selain kumpulan Matahati, lebih 50 orang pelukis menyertai pameran amal ini. Antaranya pelukis Malaysia adalah Umi Baizurah, Multhalib Musa, Shia Yih Yiing, Hamidi Hadi, Kow Leong Kang, Bakhtiar Naim, Syahrulniza Zaini, Fairus Ahmad, Kamal Sabran, Chan Kok Hooi dan Jailani Hassan. Sementara Indonesia diwakili antaranya oleh Januri Horizon, Agus Purnomo, Yaksa Agus dan Eddy Sulistyo. Lawrence Borsoto, Wilfredo Alicdan dan Joseph Ermi Lofranco merupakan antara pelukis Filipina yang mengambil bahagian.
Pameran akan berlangsung sehingga 30 Mei 2007 di No. 243, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur (Tel: 03-90756876)
