BELASUNGKWA : A TRIBUTE TO REDZA PIYADASA

RA Fine Arts menganjurkan majlis ‘Belasungkawa: Redza Piyadasa’ pada 2 Jun 2007 sebagai memperingati serta menghargai sumbangan tokoh seni tampak negara Allahyarham Redza Piyadasa.

Majlis dimulai dengan ucaptama daripada Datuk Syed Ahmad Jamal, pelukis veteran yang pernah suatu ketika berpeluang menjadi guru kepada Piyadasa. Sejarahwan seni dari Singapura, TK Sabapathy yang banyak bekerjasama dengan Piyadasa di dalam menghasilkan penulisan-penulisan seni, turut mengajak khalayak mengenang kembali segala sumbangan Allahyarham sewaktu hayatnya.

Sesi petang membariskan panel yang terdiri daripada Baha Zain, Tan Sei Hon, Sulaiman Esa dan Marion de Cruz.

Sulaiman Esa, kolaborator seni yang amat sinonim dengan ‘pakatan’nya bersama Piyadasa melangsungkan pameran Towards A Mystical Reality yang kontroversial dalam tahun 70an di Dewan Bahasa dan Pustaka, turut melontarkan perasaannya mengenai pengalaman-pengalaman bersama Piyadasa. Beliau memperkatakan tentang bagaimana, Piyadasa sewaktu usia seawal 30an telah mula berbicara tentang para filasuf dunia serta telah mewacanakan konsep serta falsafah yang tinggi-tinggi, secara tak langsung mengangkat imej serta integriti pelukis yang sering dipandang sebagai second class citizen berbanding mereka daripada profesion lain.

Tan Sei Hon, yang secara tak langsung mewakili suara anak muda dunia seni, diundang untuk memperkatakan tentang pengaruh serta semangat yang pernah dicetus oleh Piyadasa dan rakan-rakan seangkatannya.

Sessi akhir membariskan Zabas, Wairah Marzuki, Pakhruddin Sulaiman serta Raja Ahmad Aminullah yang memberi anikdot-anikdot yang penting tentang Piyadasa.

Program diakhiri dengan paparan video wawancara antara Hasnul Jamal Saidon dengan Redza Piyadasa. Rakaman yang kemungkinan terakhir dibuat sewaktu hayatnya, mempertontonkan harapan Piyadasa untuk melihat dunia seni tampak negara lebih dihargai melalui penulisan-penulisan serta penerbitan buku-buku seni yang baik selain penjanaan intelektual-intelektual dari kalangan seniman.

Secara keseluruhannya, program tribut ini berlangsung dengan penuh emosi, semangat serta kenangan yang begitu berharga. Yang patah tumbuh hilang berganti. Namun dapatkah ruang kosong yang ditinggalkan Piyadasa diisi semula? Mungkin kata-kata Marion de Cruz yang menekankan persoalan seniman tidak mendapat penghargaan secukupnya dari negara wajar diperhalusi…

Sebarang pertanyaan boleh hubungi RA Fine Arts di talian 03 2161 7341 atau emel rafinearts@gmail.com

 

 

KEMBALI KE MENU

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design