DAERAH SAMAD : 100 SKETCHES BY DATUK A. SAMAD SAID
“ Sedar atau alpa kita telah dianugerahi sebuah buana terindah oleh
Allah maha kuasa untuk dinikmati atau dimusuhi mengikut selera
insani atau nafsu hawari manusia sendiri.
Inilah antara inti gelora kedunguan atau kebijaksanaan manusia
yang cuba saya lakari.”
A. SAMAD SAID
Buat julung-julung kalinya, Sasterawan Negara A. Samad Said menampilkan lebih seratus buah karya lakarannya di Galeri Petronas, KLCC. Majlis perasmian telah disempurnakan YM Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, Pengerusi YKP pada 12 Jun 2007 . Acara perasmian turut diserikan dengan persembahan seni oleh Dr Zulkifli Mohamad dengan tajuk geraktarinya ‘Kertas’.
Daerah Samad adalah sebuah pameran yang menghimpun sejumlah lakaran dakwat dan manuskrip tulisan tangan Sasterawan Negara A. Samad Said. Setelah begitu ‘hadam’ dengan bahasa verbal novel, cerpen, drama dan puisinya, melalui pameran ini kita diperlihatkan pula kepada kemampuannya bermain dengan bahasa visual.
Walaupun elemen-elemen seni yang digunakan bersifat asas, iaitu garisan dan warna, daya kreativitinya menggubah gambar dan corak tetap terserlah. Meski kebanyakannya berciri ekspresif, beliau pintar menjalin garis-garis dengan goresan-goresan mata pena berdakwat menjadi imej-imej abstrak dan figuratif yang menarik, menjadi lambang-lambang yang mahu bercerita. Daripada kelompok manuskrip tulisan tangannya pula, kita lihat betapa tekun, teliti, berdisiplin dan sistematiknya beliau di dalam menghasilkan sesebuah kerja sastera.
Dapatkan penerbitan khas yang mengandungi esei oleh Kurator Tamu Nur Hanim dan Penulis Undangan Dr Siti Zainon Ismail di Galeri Shop Galeri PETRONAS pada harga RM 65.00

Melawat Pameran : Pak Samad, Tengku Nasariah & Raja Ahmad Aminullah.

Antara himpunan lakaran Pak Samad

UCAPAN KURATOR
‘DAERAH SAMAD’ – 12 JUN 2007, GALERI PETRONAS
YM Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Pengarah Galeri PETRONAS
YM Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, Pengerusi Yayasan Kesenian Perak
Yang diraikan, Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said dan isteri
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Syukur Alhamdulillah, hampir sempurnalah tugas saya selaku kurator pameran Daerah Samad dengan pelancaran yang bakal dilangsungkan sebentar lagi. Sesungguhnya, projek ini merupakan satu projek yang amat mencabar sepanjang khidmat saya di dalam bidang kuratorial seni tampak tempatan.
A. Samad Said. Sebuah nama yang cukup gah di persada seni sastera negara. Dengan begitu banyak sumbangan beliau mengarang kata-kata yang indah melalui bahan-bahan penulisannya, dengan penampilannya yang begitu senang didekati, dengan kasihnya kepada anak-anak seni yang memerlukan, dan paling penting dengan semangat, keindahan serta kekuatan hasil lukisan yang ditimbulkan.. mana mungkin saya tidak merebut peluang untuk membantu menjadikan Daerah Samad satu kenyataan. Beliau sudah boleh dikategorikan sebagai ikon budaya negara. Justeru, kehadirannya di dalam dunia seni tampak kita sudah tentu memberi lebih erti kepada konsep multi-discipline, multi-faceted, multi-tasking dan seumpamanya yang ditatang dalam dunia seni rupa kontemporari.
Sepanjang lebih kurang enam bulan memberi sepenuh fokus untuk mengenali, mengkaji serta memahami diri dan karya-karya lakarannya, saya dapati komitmen seorang yang merasa senang digelar ‘Bapak’ ini, begitu tinggi dan meluap-luap. Lakaran-lakaran yang sempat dihimpun anaknya Helmy sejak tahun 90an, semakin hari semakin bertambah, semakin minggu semakin bercambah. Sekali imbas kelihatan semakin energetik bak sentuhan tenaga belia remaja. Saya semakin terpegun dengan semangat yang hadir dalam tubuh seorang insan yang baru sahaja mencecah usia 72 tahun pada bulan April yang lalu.
Pada hari ini, saya tidak akan menggunakan masa untuk menerangkan dengan rinci hal-hal berkaitan pengkaryaan Pak Samad. Semuanya sudah terkandung di dalam buku khas merangkap katalog yang diterbit sempena pameran ini.
Sebelum terlupa, moleklah saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seorang teman dan ‘professional drifter’ yang saya kasihi, saudara Rahmat Haron, yang telah memainkan peranan agak besar dalam projek ini, dengan bisikan awalnya kepada saya, “Pak Samad juga melukis”. Selain itu, terima kasih kepada Bapak sendiri, yang akhirnya bersetuju setelah beberapa kali dipujuk untuk menampilkan karya-karyanya kepada khalayak, kepada Dr. Siti Zainon Ismail yang memberi sentuhan amat bermakna dan penting kepada katalog pameran, kepada Galeri Petronas khusus kuratornya J.Anurendra yang telah yakin dan memberi sepenuh kepercayaan kepada projek ini, dan tidak lupa kepada semua pegawai dan petugas yang bertungkus-lumus mempersiapkan pameran serta hal-hal yang berkaitan.
Akhir kata, Bapak, anggaplah ini sebagai sebuah hadiah harijadi yang sedikit terlewat, daripada semua yang hadir meraikan Daerah Samad .
Sekian. Terima kasih.