KOCAK
DI FUKUOKA
Elegi Untuk Bayang Yang Hilang
Hasnul Jamal Saidon
Yang
bernama Bayang
Mengapa kau hilang?
Nikmat melarat. Nafsu kuat. Fikir sarat.
Jasad berat. Daki melekat kuat. Iman makin karat.
Duhai
Bayang yang hilang
Engkau memaksa aku beruzlah di bumi Kanji, Hiragana dan
Katakana. Apakah atas nama sebuah karier? Atau untuk mendabik nama? Atau untuk
mengusahakan lupa?
Di
tebing Hong Kong, aku nampak jantan tegak berkotak-kotak dan dara hijau sedang
nazak. Hanyir lautnya memeluk lapangan, semangat Asia aku dalam kenangan. Sayap
garuda menjadi sarapan, songkok aku bengkok siapa yang boleh betulkan? Begitupun,
siapa aku nak tipu Tuhan?
Di
pinggir sebuah tingkap, aku lihat sayap yang hinggap. Hati sakit mengharap, angkuh
tertiarap. Takbir dipinggir, mata berair, jiwa mengalir.
Yang
bernama Bayang,
Izinkan aku kembali menayang, intenari suatu pendakian.
Penang
KL KL KowLoon KowLoon Taipei Taipei Fukuoka
Naik Turun Naik Turun Naik Turun
Naik Turun
Tinggi Rendah Tinggi Rendah Tinggi Rendah Tinggi Rendah
Rohani
Jasmani Rohani Jasmani Rohani Jasmani Rohani Jasmani
Isra'
dan mi'raj Rasulullah jadi azimat, seiring melangkah keluar pesawat.
Jin
Matsuura, Tomomichi Nakao dan Masae Kamachi sama-sama melontarkan 'Konichiwa'
untuk aku yang sedikit 'kuciwa'. Setelah check-in, aku meniduri katil empuk Hyatt
Fukuoka sambil dipanaskan oleh rindu pada pelukan bayang kasih.
Sebelum
pejam, sempat menjeling ke lukisan manis di dinding katil yang berkata,
"Aku
yang cantik, bukan kamu yang tak serik meramah pasca moden jelik."
Aku
berpaling lalu membaca doa tidur.
Esoknya,
matahari Teluk Hakata terbit terang walaupun terpaksa akur pada dingin mengetit.
Lombong hidung semakin keras dan sempit. Di atas mangkuk canggih, bijih ponggong
terbenam antara suara-suara Nippon yang aku tak faham. Terkenang kencing Saleh
Joned dan Duchamp. Ketika membaca aneka butang digital di tebing mangkuk canggih,
aku terbaca pernyataan alihbahasa,
"Saya
toilet-bowl tekno. Bukan awak yang hanya sibuk shhh..i.t dan pantang ditegur."
Pantang
ditegur, ego ku melarik, "Dear Mr. Self-proclaimed Original, we are living,
breathing and shitting in the world of 'ready-mades'. Nothing is original. Everything
is shit upon shit upon shit. We don't like it, but we do need to let them out
though. It feels good to unload, these (recently) inner selves of mine. Fire in
the hole!"
Untuk
mengelak kebusukan soal-jawab falsampah najis, aku lari ke ruang tamu. Darah Jebat
bercampur pelobi Washington menghasut aku memaki dan meyumpah tulisan kecil di
punat tv yang tebal 'nasionalisma'nya. Aku saja yang betul, orang lain salah.
Aku saja yang murni, orang lain perlu disanggah. Aku di tepi, marah orang di tengah.
Aku sihat, orang lain parah.
Dengan
pantas aku terdengar bisikan sinis dari sebuah skrin Hitachi,
"Saya
bangga dengan bahasa pencipta saya. Bukan macam awak, akar tidak menyucuk bumi,
pucuk tidak mencecah langit."
Belum
sempat dijawab, polemik basi diselamatkan oleh deringan telefon.
Tepat
jam dua, Tomo-san dengan janji Jepunnya memanggil dari lobi untuk memimpin aku
menyusuri kaki lima Nishijin, berpandu lorong gerutu berwarna kuning yang dikhaskan
untuk insan buta. Aku melara,
"On
a blind path from Nishijin to Nakasu-Kawabata. My eyes and ears are shut, for
this is a path with a heart."
Pelajaran
hari pertama adalah pengangkutan awam untuk aku yang masih meraba. Aku buta huruf
Kanji-Katakana-Hiragana, dan pekak juga. Aku yang hilang Bayang.
Sampai
di simpang Nishijin, kami turun ke dasar stesyen. Ketemu naga subway, ditelan
menjadi isi perutnya, menyusuri lubang-lubang gelap bumi Fukuoka. Dengar suara
Oshin berkata-kata antara pintu yang terbuka dan tertutup - Tojinmachi, Ohori-Koen,
Akasaka, Tenjin. Nafas naga menampar aku yang totok, kentutnya tinggalkan pesan
buat bekal aku yang terlalu perlahan dan melankoli mengejar zaman. Wajah-wajah
dalamnya sudah lama diculik oleh Godzilla bernama kemajuan. Ultraman terlalu sibuk
melawan hantu Jeneral MacArthur di Okinawa agaknya. Gitupun, yang 'ultra' ramai
juga di Malaysia; boleh mengaji di Jepun yang agak mono simponi etniknya.
Sampai
di stesyen Kawabata, kami naik ke tingkat lapan bangunan Hakata Riverain. Aku
dijeling umpan Gucci dan lurah dada Yvues Saint Lauren. Lanskap globalisasi dan
kapitalisma pasaran bebas sudah lama mengebas aku yang sering terbabas. Segera
aku siulkan lagu elit belit liberal yang dikutip di belakang lorong gelap Telawi.
Dari
Meiji Dori (nama jalan), aku lihat sangkar besi chrome yang besar berlapik dinding
gelas, tersergam megah. Ketika dalam 'elebeta,' aku terbayang arca Ramlan Abdullah,
mungkin sampuk badi Balai Seni Lukis yang aku terlebih singgah.
Dari
dalam Muzium Seni Asia Fukuoka, struktur dua tingkatnya comel. Geisha beruniform
di kaunter memberi tunduk salam Jepun. Aku merayau sekitar ruang pameran koleksi
seni kontemporari Asia. Terserempak dengan bekas tangan Yau Bee Ling dan Redza
Piyadasa yang sudah selesa menjadi warga Fukuoka.
Singgah
ke ruang buku dan pameran Xu Bing yang terkenal dengan tulisan pseudo-Chinanya.
Selepas menonton dua ekor babi bersetubuh, aku hilang selera dan jadi bodoh. Xu
Bing dan seni babinya boleh tunggu. Aku meneroka ke tingkat dua pula.
Ruang
pejabat di tingkat dua sangat jimat. Diktum kaisha seakan mengajar aku - ruang
minimal, produktiviti maksimal. Yang berbilik hanya Tuan Direktor dan Setiausahanya
saja. Yang lain, berkongsi ruang kerja yang sama. Hairaki birokrasi kabur, mungkin
terselit di celah diplomasi sopan dan tunduk-angguk. Semua pintu bertanda, dijamin
tidak sesat di dalamnya. Lorong-lorong pejabat kosong dan putih bersih. Tiada
satupun kanvas songsang atau arca terbuang terlonggok untuk ditendang.
Ruang
kerja disimbah cahaya matahari petang yang datang dari cermin luas. Pandangan
boleh dilabuh ke antrium gelas tinggi di luar. Dalamnya terisi pokok, pentas dan
beberapa arca publik, termasuk dua burung kuning yang mengejek aku. Feng Shui
dan anginnya baik. Tambah pula di tingkat lapan, bahagian atas. Dari cermin gelas,
aku nampak sungai Naka yang bercabang dua, persis sungai Gombak yang ceria dengan
warna tehnya. Diseberang sungai adalah Tenjin, pusat dagang untuk santai insan
berwang.
Aku
ketemu Yasunaga, Tuan Direktor. Bual diping-pong, aku jadi sedikit tongong. Melontar
kata untuk dialihbahasa oleh Noriko Ishimatsu, sesekali suaranya kusangka Doremon,
kerana 'translation lapse' membolehkan aku melamun. Dengan Yasunaga, aku berbual
pelbagai perkara, persis dokumentari NHK yang dialihbahasa. Dari sahabatnya Piyadasa,
Long T Shieh, T. Sabri, Pertandingan Arca Oita (pernah menjadi hakim bersamanya)
hinggalah ke Melaka dan buaya di Kuala Selangor, aku meng'hait'kan saja.
Setelah
Yasunaga, aku bertemu Raiji Kuroda, Ketua Kurator yang 'gila' bekerja, ensiklopedia
bergerak untuk seni rupa kontemporari Jepun. Sememangnya layak bergelar pakar,
bukan 'dosen' seperti aku yang hanya pandai meriuhkan kampung dengan telur dua
biji.
Ketemu
warga kerja yang lain juga -Toshiko Rawanchaikul, kurator yang kedekut suara.
Lisa dan Rina keduanya fasih Inggeris gaya Amerika, enak diajak berbicara. Hidmoto
Oguni menyambut aku dengan "seramat petang." Hideko Nishimura, makcik
'domestic assistant / juru cuci' mengajar aku beberapa patah Nihon-go.
Ramai
merujuk aku sebagai 'T.Sabri's friend,' dalam nada ceria. Selain T.Sabri, tinggalan
Tan Ching Kuan pun ada, begitu juga Chuah Chong Yong dan Paiman. Namun, T.Sabri
seakan lebih mesra dalam fikir dan rasa mereka. Mungkin berkat ketekunan dan 'wabi'
beliau dalam mengisi residensinya dahulu.
Jika
T.Sabri cekal dengan wabi-sabinya, banyak juga goreng wacana seni rupa Malaysia
yang aku baca (terisi dalam beberapa katalog pameran di sini). Ada yang membawa
modal cliché eksotika Asia (tiket untuk seni rupa antarabangsa bagi seniman
Asia Tenggara) cerita duka lara politik bangsa terpinggir, mencadangkan binari
bumiputera-bukan bumiputera sebagai angkara. Hal salakan promosi diri yang basi
begini bukan kepakaran aku, jadi aku 'hait'kan juga.
Ketemu
Hanura, karyawan tamu dari Indonesia, bermastautin di German beristerikan orang
sana. Hanura ranggi dan selamba. Ketemu juga Lili dari China, kelihatan seperti
anak manja orang kaya.
Tomo
yang sopan membawa aku ke pejabat penyelidik yang lapang. Belum sempat malahap
nikmat, sudah diajak bermesyuarat. Masae, Noriko, Jin masuk dan duduk berboria
sambil aku berbalada. Dalam sesat simpang-siur bahasa, aku melayang keluar.
Inikah
hABUan inikah umpan, atau hukuman?
Aku
dalam sangkar besi, memeram telur emas dalam dingin Fukuoka. Terbayang Siti Nurhaliza.
Kering mengenang dosa, belajar untuk lupa. Mencari makna Bayang yang hilang dicuri
mendung Hakata.
November
2003
Fukuoka, Jepun
DOKUMENTASI
KEMBARA KOCAK DI FUKUOKA
KOCAK
DI FUKUOKA
Elegi Untuk Bayang Yang Hilang (Bah.2)
Hasnul J Saidon
Cut
to :
Penat disakat mesyuarat, aku berhijrah ke ruang berasap di pinggir dinding
gelas sambil mengadap Kawabata-dori di bawah. Antara kepulan cemar Salem Light
dan downdown Fukuoka serta latar banjarannya, ada ruang terbuang untuk aku bebas
terbang.
Dissolve
to :
Bayang yang hilang.
Petang sebegini bila selalunya engkau panjang,
kini di sini makin singkat. Jika sangkar emas di Hakata Riverain ini penjara menjulang
nama, kaki lima sepanjang jalan dari Tenjin, Akasaka, Ohori-koen, Tojin-machi
ke Nishijin adalah litar kebebasan untuk aku yang berspeda. Di atasnya aku tinggalkan
tapak tanpa nama, antara langkah dan kayuhan dalam buta bahasa dan pekak kata.
Segalanya sunyi, wabi-sabi, terutama bila pulang malam hari. Begitupun, melankoli
begini diusik pula alunan jazz broadway ala-New York ketika menyusuri lorong lobi
Hyatt yang menyayat. Terima kasih sahabat trans-nasional, atas gergaji dua mata
mu yang melabur, melibur sambil melebur.
Jika
mahu yang ultra-nasional, berjalan saja dari Hyatt ke Muzium Kota Fukuoka, bersemuka
dengan sejarah Kuroda yang menyilau di atas sinar pantulan pedang samurai. Sebagai
imbangan, dan untuk kerohanian, singgah ke beberapa shrine yang tersepit di merata
celah kota, ketemu guru Shinto, atau meditasi di laman zennya.
Bagi
yang galak menyalak dirinya sekular, sila berspeda ke Menara Fukuoka dan Fukuoka
Dome, gelanggang Hawks juara baseball Nippon. Dua minggu lepas, seluruh Fukuoka
banjir manusia, dari yang bayi hingga yang dah senja, lelaki mahupun wanita. Semua
khusyuk berpesta, menjeritkan mantra juara. Kepada yang berhasrat menukar sukan
kepada anutan, ketaksuban dan kerasukan agama komoditi massa, datanglah mengaji
dari CEO Daie. Daei pemilik Dome, Hawks dan pelbagai jenis kuasa niaga di Fukuoka.
Mungkin inilah dewa anutan benih sekular yang sudah selesa menular bagai ular.
Tahniah dan syabas!
Aku
lari ke pantai Momochi. Dari pantai, Fukuoka Dome seakan kapal angkasa tempat
bertandangnya Power Ranger. Terbayang pula Feringgi. Begitupun, hanyir Momochi
tidak sama dengan Feringgi. Hanyir Feringgi adalah tempias persisir dagang untuk
santai elit berwang, yang menghalau aruah Pak Lang dan seluruh suku-sakatnya bertempiaran
lari di celah bukit Balik Pulau, atau sangkar-sangkar tinggi yang lusuh di beberapa
kawasan bertangguh Pulau Mutiara. Momochi lebih rata stratanya, sudi menerima
dan tidak memilih bulu. Peliknya, angin Momochi lebih nyilu, mencairkan hati keras
karat, menafaskan berkat. Segera aku mengingat.
Duhai
Bayang yang hilang,
Terima kasih kerana sudi mengingatkan aku tentang hakikat
cahaya yang membenarkan kamu wujud. Jika kamu hilang, apakah maknanya aku hilang
cahaya?
Cut
to :
Malam hari ke tiga, dihadiahkan dinner di restoran Cina. Walaupun miskin
selera, terasa kaya rasa kerana diraikan mesra. Berbual tentang banyak perkara.
Tentang Goldsmith, Tate, Anish Kapoor, Damien Hirst, hinggalah hal Nihon no biru
(beer Jepun) dan sup babi.
Yasunaga
bertanyakan Ramadhan, juga tudung kepala yang semakin ramai wanita memakainya
di Malaysia. Beliau hairan, dan bernada gusar juga. Hendak aku 'hait'kan saja
kerana terasa seperti ditemu tak ramah panel pengacara CNN. Begitupun, antara
alihbahasa, terpacul dari mulut kata 'merdeka', Ramadhan dan tudung kepala adalah
jalan hakikat kemerdekaan jiwa, kebebasan dari binatang nafsu dan juga penjara
mata. Pantas aku di'hait'kan pula.
Ketika
menyedut Feng Shui meja merah dan congsam terbelah, aku berbalah,
"Mengapa
yang galak melabel dan menjaja sekular kurang selesa dengan jiwa berugama? Mungkinkah
kerana Islam juga sudah menjadi 'jenama,' boleh dibentuk dan dipakej imej atau
bayangnya untuk dijaja dan juga dihina? Jenama atau bayang Islam mana yang mahu
digalak, mahupun digasak? Lantak!"
Jika
untuk menegang benang mengejar menang, berhelah mengelak kalah dalam berbabah,
lebih berfaedah aku beralah.
Cut
to :
Bayang yang hilang,
Mungkin kau ada di persada internet ruang maya.
Kerinduan memaksa aku belayar jauh untuk melabuh di beberapa wakaf maya. Mata
dan telinga celik semula dalam meniti wacana dan citra seni rupa Malaysia. Masuk
ke dewan forum, aku terpaksa pula meredah ombak andaian, tuduhan, gosip, cemburu,
prasangka, sensasi, dan dikotomi maki-lobi. Gelombangnya meloyakan, aku mabuk
dan muntah. Ketika mengapung dilambung, sempat memaut pelampung yang memaklum,
"Adalah
diumumkan bahawa saya yang bergelar kejujuran dengan rasminya telah dihanyutkan
ikatannya dari segala yang bergelar kesenian."
Pelampung
pecah, aku resah diredah. Menggagah pelampung yang lain pula. Ia berpidato,
"Adalah
dimaklumkan bahawa kami yang bernama kebenaran dengan rasminya akan dinikah dan
dihanyutkan dengan dia yang bergelar kepalsuan. Doakanlah kebahagiaan kami hingga
ke anak cucu pewaris keturunan."
Tidak
mahu ikut hanyut, aku semakin pantas berenang ke butang Esc sambil mendengar kuliah
dari sebuah menara,
"Kami,
yang bernama Hasad anak kepada Dengki cucu kepada Khianat, dengan takburnya mengaku
bahawa kami telah membunuh dan akan terus membunuh semua yang bergelar keikhlasan."
Lelah
muntah, aku segera log-off keluar untuk bersembunyi di belakang tabir meja kerja
yang aku panggil realiti.
Malangnya,
realiti di kota Fukuoka ini menjadikan aku kerdil terpinggir, bisu dan pekak kehilangan
Bayang yang sangat aku sayang dan banggakan.
Cut
to :
Malam hari ke enam, aku berspeda lagi. Kali ini di sekitar ceruk kota
bersama Tomo, Lili dan Hanura. Kami berlumba dengan jitensha (basikal) menyusuri
litar kota, mencari cahaya. Cahaya lantern dari festival budaya persis installasi
mewah karyawan ternama. Malangnya cahaya lantern yang mencitrakan naga tidak menemukan
aku pada Bayang yang sudah tiada.
Capek
berspeda, kami melabuh ponggong di Yatai, gerai tepian jalan yang mewah ramen
(sup babi) dan sochu (tuak Jepun), kombinasi selera lepas kerja paling popular.
Diplomasi dan PR antarabangsa memaksa aku menghidu aromanya. Hidung aku kebas.
Cut
to :
Esoknya aku membasuh kebas hidung dengan udara Momochi, mendongak Menara
Fukuoka yang terpacak megah. Menara bermenifesto,
"Semua
kota adalah jantan, bertanding onak memacak. Siapa punya paling panjang tegak,
menoda awan. Langit sakit, mentari malu, bulan cemburu. Aku sijantan mahu dinobat
jagoan, mengejar zaman menatang dabik kemajuan. Kamu yang hilang bayang, naiklah."
Dari
tapak pacal yang hina, terdengar bisikan manja,
"Aku pantai, seorang perempuan.
Menadah kawan membasuh rawan. Hamparan sujud mengutip tinggalan. Aku tapak dan
mukim renungan, penjaga tasbih Cinta pada hikmah tiap zarah butiran. Kamu yang
hilang bayang, tunduklah."
Kembali
dari mengimbang melankoli Momochi, aku dan Hanura berendam dalam jakuzi. Aku nyanyikan,
"Hanura
san. Hidup bagai roda speda berputaran. Mewah kita menjadi sang borjois, dilayan
jet jakuzi mengurut setiap nadi. Semburan tajam dalam ombak buih membuak bongkak,
melamun dalam rabun. Semuanya sebelum esok mengajak kita, melakonkan watak di
atas kelir terpinggir, menjadi sang pengkarya yang menagih nama dalam tangis.
Dalam roda antara roda, kocak antara kocak, gelombang antara gelombang, sentiasa
berputar bertindih, menayang corak bayang, apung melayang, bertali tanpa tali.
Inikah tempias bayang cahaya di belakang tabir. Tabir bayang yang kita pasungkan
sebagai
.Jati Diri?"
Segera
kami lagukan,
"Kawan-kawan.
Kami dibisik cemuh Baudrilard, sepanjang permatang yang umpannya sarat. Dijentik
pula pesan Edward Said, agar diri jangan dijangkit. Dibotol tolol tersepit. Neil
Postman menjerit, kenapa dilayan dimain bayang hingga sakit? Barthes menyindir,
'apa lagi yang hendak kamu karang?'
Para
pemuka pasca moden mengejek hidup kami yang cetek dan palsu. Kami rawan. Namun,
tabir yang bergelar pasca sangat nipis. Pasca sains, pasca seni, pasca realiti.
Ia hanya menyentak kami yang enak dibuai kocak bayang.
Bila-bila
masa, ada ketikanya, hijab terselak. Dan kami nampak hantu-hantu yang merasuk
kami."
Segera
aku sampaikan,
"Terima kasih Kadir Jailani, alGhazali dan alArabi. Terima
kasih Lao Tzu, Liu I Ming, Zen masters, Sidharta dan pengarang Upanishad tidak
bernama. Kamu menyelak kerakusan hijab rencam membenam. Tabirnya nipis. Cuma aku
yang segan menyelak. Enak dilabel, dibotol, ditoyol dan ditolol. Sedang jiwa adalah
air, melengkapkan tanah, api dan angin."
Naik
ke bilik, aku meniti pesan sang isteri,
"Bekalkan cahaya bukan bayang
dupa. Jadilah al-Hillal pemantul cahaya. Sahabat adalah mereka yang memeluk erat
hakikat sejagat. Sampaikan syukur pada pemberi kasih, menatang cinta dalam gelora
kebencian yang merasuk manusia. Tadahkan tangan kepada Pemberi Kasih Maha Kasih,
hakikat Kasih Abadi. Bayangan KasihNya saja sudah membebas, walau hanya pintas
sekilas."
Dissolve
to :
Seminggu berlalu. Hari ini Ahad yang satu.
Jasad masih berkarat berat
melahap nikmat. Aku yang mahu menatang amanat, antara empat dinding tawar Hyatt,
sujud pada hakikat
.
Al-Ikhlas.
..dan
kenapa aku masih terus mahu mencari dan bermain dengan engkau Bayang?
Hasnul
Jamal Saidon
Fukuoka, Japan.
November 2003