Siti Zainon Ismail:
Buku catatannya dilempar guru ke jendela!
Oleh DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH

WALAUPUN Prof. Dr. Siti Zainon Ismail kurang sihat (sudah demam beberapa hari) namun Bilik Kiambang, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya tetap meriah dengan suara lunaknya menyampaikan percakapan "Mengapa Saya Menulis dan Proses Kreatif" di hadapan mahasiswa kreatif dan graduan tingkat Sarjana pada 12 Februari yang lalu. Majlis anjuran APM dan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia yang diresmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Hassan, Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu yang mewakili Pengarah Akademi turut dihadiri Datuk Prof. Dr Firdaus Abdullah, Pengerusi Eksekutif Jabatan Penerbitan Utusan Melayu dan Dr. Hashim Ismail dan Presiden PKBM. Siti Zainon Ismail yang dikenal sebagai penyair, pelukis, penulis cerpen dan novel dan sarjana seni budaya Melayu itu pada hari itu tampil dengan pakaian seragam sutera putih.Siap dengan tengkoloknya. Beliau turut membawa bersama puterinya Melor Indah yang sempat mempamerkan sejumlah buku Malaysia dan Indonesia termasuk beberapa buku karangan Pramoedya Ananta Toer seperti Cerita Dari Jakarta dan Jejak Langkah. Percakapan dan diskusi yang rancak hampir dua jam itu banyak berkisar hubungan Siti Zainon sebagai penulis fiksi. Tapi pada hakikatnya dia tak dapat menjauhkan dirinya dari terikat kepada senilukis dan kepenyairan. Maka itulah sebabnya terpacul soalan yang agak menguji dari Dr. Hashim Ismail, pensyarah Akademi yang tak dapat melihat relevannya istilah-istilah seni lukis, warna dan sketsa dalam cerita pendek Siti pada tahunlapanpuluhan.

"Saya banyak dipengaruhi oleh sketsa-sketsa. Di Asri, Yogya saya dikenal sebagai juara sketsa bukan sebagai pelukis. Itulah sebabnya cerita pendek awal saya tak dapat anda temukan makna kesenimanan senilukis. Mungkin kerana itu wujudnya salah pentafsiran. Saya sendiri mengaku cerpen-cerpen awal saya ada kekurangannya". Dalam ucapan peresmiannya gejala ini turut diakui oleh Dr. Mokhtar peri cerita pendek dan novel Siti sarat dengan simbolisme dan ciri-ciri budaya yang wajar diarifi, sebelum mentafsirkan atau memberikan apresiasi kepada karya Siti. "Tapi, kita dapat merasakan kemesraannya apabila kita fahami simbol dan istilah-istilah budaya itu." Katanya.

Dalam pertemuan itu sebuah cerita pendek Siti Zainon "Kampung Paya Kami" dibacakan oleh pelajar tahun akhir Wan Munirah Abdullah dan Sandra Sebastian Ongoh. Cerpen ini membawa kembali nostalgia Siti Zainon terhadap seni kaitan renda neneknya yang dipengaruhi oleh kaitan renda zaman Victoria yang sama mutu keseniannya seiras dengan yang ditemuinya di Melbourne di tengah-tengah keluarga suaminya (Hafiz Ariff=Harry Aveling). Kesenian itu ditafsirkan dapat berkembang di mana-mana sahaja tanpa batas agama, bangsa, ruang dan waktu. Kini harganya di kedai antik seni kaitan di Melbourne itu sama dengan harga tambang tiket kapalterbang pergi balik Kuala Lumpur-Melbourne-Kuala Lumpur. Siapakah orang pertama yang mendorong Siti Zainon membaca dan menulis?
"Nenekku! Nenek Hajah Habibah Doraman, berasal dari Golagandang Batusangkar, murid Tuanguru Fakeh Suman; Nenek Bibah mendorongku supaya membaca dan menulis kalau mau jadi orang bijak pandai!". Kata Siti, ini ada hubungannya dengan budaya Iqra' dalam tradisi Islam. Nenek yang lain, Nenek Alang pula suka berkisah tentang Nenek Kebayan, Puteri Bungsu, Si Kembang Cina, Malim Deman, Raja Rom Syah Kobat. Itulah sebabnya semenjak kecil lagi dia sudah suka menulis dan membaca dan sekaligus bercerita. Apabila bersekolah di Sekolah Melayu Setapak, gurunya Cikgu Aisyah, Zainuddin Lapoh dan Ramlah sudah menemukan bakat pada si kecil Siti ini. Dia sudah dapat menghafal cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Si Luncai, Abu Nawas, Puteri China, dan Hikayat Hang Tuah.

Ibunya Baina berdarah Minangkabau, si jelita yang mahir dalam jahit menjahit dan tekat menekat menikah dengan ayah Siti, Ismail Talib Batu Bara yang menjadi Bilal, dia berketurunan Banjar. Jodoh mereka tak kekal; kemudian si ibu menikah dengan Pak Wan Chik berasal dari Pulau Pinang, sahabat dan kenalannya seperti Zubir Said, Za'ba, Abdullah Hussain, Arena Wati, Nas Achnaz, Romainor, P.Ramlee, Pak Sako, A. Samad Said dan lain-lain. Pada mulanya Pak Wan bekerja sebagai Kerani CEB (sekarang TNB) Jadi gaya hidupnya dan sosialisasinya luas sejak dari kenalan Inggeris dan masyarakat tempatan dan kalangan kumpulan wayang bangsawan. Dia pembaca sastera dunia dan juga tokoh-tokoh politik seperti Gandhi, Churchill, Lincoln, Soekarno-Hatta membuka kedai bukunya di tapak Kompleks Pertama di hadapan panggung Odeon.

Pada tahun 1956-59 Siti dan keluarganya pindah ke Telipot, Kota Bharu dan di sini dia mula mengenal Dalang Wayang Kulit dan watak-watak Seri Rama, Sita, Rahwana. Guru mengajinya di Surau Makam Langgar, waktu itu Ayah Mat (ayah almarhum Pak Nakula). Dengan mencuri keluar malam, sesekali dia dan kawan-kawannya membuat temasa sendiri menjadi Dalang dengan cerita Seri Rama dan Sita Dewi mereka. Keinginannya untuk menjadi penulis sajak kuat tumbuh sewaktu dalam usia menjelang 15 tahun waktu bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki. Dia sudah meminati beberpa penyair yang prolific ketika itu seperti Firdaus Abdullah, Kemala, Ilias Zaidi, Atondra dan lain-lain.

"Buku scrap saya dicampak ke jendela oleh guru kerana dalam buku itu ditampal sajak "Sungai Mekong" oleh Latiff Mohidin dan tercatat nama pena saya Zaindra Kelana. Tapi saya tidak mengalah . Satu hari saya akan buktikan bahwa saya akan menjadi penyair, sasterawan dan akan terus berkelana menambah ilmu." Memang benar, Siti berkelana ke timur dan ke barat. Dia berhasil beberapa tahun mendalami Hal ihwal Seni Lukis dan Budaya Jawa di ASRI Jogjakarta, berguru dengan tokoh-tokoh kesenian seperti Bagong, Fajar Siddik, Nyoman Gunarsa, Rendra, Affandi dan lain-lain. Dia juga sudah ke London, ke Moskwa, Paris membaca puisi. Bukankah dia sudah buktikan dirinya mencapai angan-angan si gadis kecil dulu? Dia sudah dikenal kini sebagai penerima SEA Write Award Thailand (1989), menerima pelbagai hadiah sastera berbobot untuk puisi dan cerita pendeknya, gelaran Tengku Nyak Fakinah Aceh (1990) dan yang paling manis menerima ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya (1992). Jikalau dia bertemu lagi dengan si pelempar buku scrapnya dulu, apa yang akan diucapkannya kepada Siti selain, "Siti, ternyata saya silap, anda sudah jauh di hadapan sekarang, terimalah ucapan tahniah dan maaf dari saya!" Tuhan yang menentukan segala-galanya, sebagai seniman kita tetap terus bekerja, bukan?

 

KEMBALI KE MENU | KEMBALI KE WARKAH SENI

Hubungi Kami [Contact Us] | Hakcipta © 2002 - 2005 Yayasan Kesenian Perak | Erwina Crunk Design