MENCURI
ILMU DI TEMBOK BERLIN
Nur Hanim Khairuddin
Tanggal
20 Oktober 2004, sampai juga aku ke kota Berlin yang disebut-sebut itu. Dah nasib
aku, dapat peluang ini dalam bulan Ramadhan. Bayu dingin musim luruh yang mencucuk-cucuk
seringkali membuat aku ingin terkucil. Visual juadah berasap lazat kerap juga
melintas di benakku yang secara automatis mengarah perut supaya merasa kebulur.
Aku kecundang tiga hari.Tak tahan beb.
Satu
minggu bermusafir di kota itu cukup memuhasabahkan. Setelah hampir sepuluh tahun
selesa berkenderaan sendiri sayugia jarak sedepa pun harus berkereta, di situ
mahu tak mahu hari-hari terpaksa aku meredah subway yang jauhnya dari hotel boleh
menyengalkan urat keting. Ada dua jenis keretapi, satu di stesyen U-bahn dan satu
S-bahn. Tak sekali pun aku cuba-cuba menaiki bas awam kerana yakin akan tersesat
di atas kecuaian sistem 'bearing' aku sendiri. Dari tempat inapanku, lebih mudah
mengguna Uhlandstrase atau Savigny Platz.
Sebelum
aku pergi panjang, biar aku jelaskan bahawa pemergian aku ini ditaja sepenuhnya
oleh Heinrich Boll Foundation(HBF), sebuah ngo environmentalis yang punya perkaitan
dengan Green Party di Jerman. Supaya tidak ada nanti yang sembrono membuat andaian
yang bukan-bukan. Maklumlah, semenjak dua menjak ni ramai pula rakyat Malaysia
khususnya tikus-tikus politik berminat ke Jerman ye dak?

Anyway,
aku sebenarnya merupakan partisipan pameran anjuran HBF yang bertajuk "Identities
Vs Globalisation?" yang dikurasi Dr. Jorg Lochsmann, yang dilancarkan terlebih
dahulu di Chiangmai University Gallery, Thailand pada awal tahun ini. Venue seterusnya
di National Art Gallery, Bangkok yang entah mengapa aku malas nak pergi, dan akhir
sekali dibawa pula ke Dahlem Museum of Ethnologies, Berlin. Seramai 60 perupa
terlibat di dalam pameran sementara hanya 11 wakil negara yang diundang ke Jerman.
Kononnya jadi duta negara le kejap
dan semasa perasmian berpeluang pulak
bertemu Duta Malaysia HE Datuk Kamal & isterinya Datin Jamilah. Baik dan ramah
depa tu
Karya
yang aku submit untuk pameran ini bertajuk se(rang)ga. Lately ni, aku cukup selesa
bermain dengan parenthesis
berjangkit dari bapak media si Hasnul tu kot.
Tajuk besar ialah 'serangga' (insects) yang suka menghurung. Kemudian boleh juga
digunapakai 'serang' (attack), 'rang' (drumming) atau 'rangga' (brand/interpellation).
Video work yang dibantu pembikinannya oleh Masnoor Ramli, Amirul Fakir, Bodysurf
Music dan beberapa individu ini mempersoal dengan lancang (dengan memakai kenyataan
Baudrillard) peranan manipulatif media-media Barat dalam bermain dengan semiotik
dan sistem tanda seputar isu-isu yang menegatifkan dunia Islam. Kononnya cara
aku berjihad melalui art lar
Sebab itu, aku tiba-tiba gabrah bila menerima
undangan serta nota dari penganjur yang sudah melabelkan karya ini sebagai sangat
'kontroversial'. Mereka turut akan menghalakan wacana satu-satunya karya ini ke
suatu ruang alternatif bernama Plattform (kuratornya Ulrich Kreimer) yang mana
program akan dihadiri artis dan pakar-pakar bidang teori, kritik, politik
retorik
Ah sudaaah
time itu aku fikir jawapan yang mudah ialah mengadaptasi konsep
Barthes aje
Matinya Sang Pengarang
habis citer!

Walaubagaimana
pun, sebenarnya tidaklah teruk sangat. Oleh kerana kami terpaksa membuat presentation
konsep berulangkali-di hadapan press, menteri, khalayak
malam terakhir aku
macam konfidenlah pulak. Tak sia-sia aku ambil tahu sikit-sikit alkisah dan teori
media, politik, falsafah dll. Maka bercakap-cakaplah aku fasal 'square-box paradigm'lah,
fasal 'culture of fear'lah, isu ikon agama di Peranchis, Chomsky, Edward Said
dan entah apa-apa jargon yang separuhnya bukan le aku faham sangat. Pokok pangkalnya
ialah bagaimana pembawakan diri serta keikhlasan kita. Dan akhirnya semua mempersetujui
bahawa nilai-nilai kemanusiaan itulah yang harus dipertahankan untuk mengelak
pelbagai tohmah dan prasangka dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ini.
Bercakap
tentang globalisasi ini, sebuah simposium yang wajib kami sertai, turut mendebatkan
topik identiti dalam globalisasi. Isu-isu tipikal semacam yang menghangat di dunia
seni rupa Malaysia menimbul. Tentang identiti lokal yang bagaimana? Tentang kesetaraan
visual yang macamana? Juga tentang 'branding' pameran ini yang memberi interpelasi
khusus kepada pengkarya-pengkarya dari ruang-ruang South East Asia. Di belakang
pemikiran aku, tertanya pula apakah kami ini dipandang semacam 'rare species'
yang perlu di'showcase'kan dalam sebuah muzium etnologi? Tapi kerana hormat punya
pasal sebab semua ditanggung
maka tak tersembur keluarlah apa yang bermain
di benak aku masa itu. Selain itu kaedah sezaman yang menaikkan identiti karya-karya
kontemporari turut dibincangkan. Kini, 'to hype is to be hip!' . Kerana itu, aku
merasakan dunia seni rupa Malaysia secara keseluruhan agak statik, berkisar dalam
sempadan dan konteks lokal kerana tiada usaha agresif dari mana-mana pihak untuk
mengangkat wacana seninya ke dalam konteks yang lebih global--seperti peranan
licik Saatchi & Saatchi meng'hype'kan Damien Hirst dan Young British Artists.

Akibat
cerita-cerita sensasi tentang pameran dari Flick Collection yang meniti dari bibir
ke bibir ramai, aku tak dapat menepis godaan untuk ke sebuah ruang seni kontemporari
yang bernama Hamburger Bahnhof Museum. Kisahnya begini. Friedrich Christian Flick
merupakan seorang kolektor seni yang berupaya mengumpul sejumlah besar karya-karya
penting oleh artis-artis yang ternama antaranya seperti Marcel Duchamp, Nam June
Paik, Jeff Koons, Bruce Nauman, Paul McCarthy dan ramai lagi. Lebih kurang tiga
minggu sebelum aku tiba, koleksi seni beliau telah dibuka untuk pameran di muzium
tersebut. Walaubagaimanapun, ramai pihak yang mempertikaikan peranan Flick sebagai
kolektor seni. Ini memandangkan beliau mewarisi harta yang banyak daripada mendiang
datuknya, Friedrich Flick, seorang yang dianggap penjenayah kerana menyumbang
terhadap penghapusan etnik (genocide) kaum Yahudi pada masa lampau. Dengar cerita,
datuknya itu merupakan towkeh kilang yang menghasilkan gas beracun yang diguna
sebagai alat penghapusan. Bagaimanapun, akibat kontroversi yang menghiasi dada
akhbar dan ruang siber, lebih ramai khalayak yang curious dan hasilnya, pengunjung
tetap menghurung walaupun terpaksa membayar entrance fee Euro 9 (lebih kurang
RM40 tu!)

Selain
hal-hal progam yang rasmi, HBF turut mengatur lawatan ke tempat-tempat historikal
di sana. Berpeluanglah kami semua menyentuh saki baki the 'Wall' yang sudah dipenuhi
lakaran seni dan grafitti di Potsdamer Platz. Di kawasan lain pula, salah satu
dinding yang prominent dan famous memaparkan imej dua pemerintah dari bahagian
Barat dan Timur bercumbu sejurus kejatuhan tembok Berlin. Tembok Berlin yang dibina
pada tahun 1961 selepas Perang Dunia kedua, merupakan bukti sejarah yang menonjolkan
ketidakadilan dan ketandusan nilai-nilai kemanusiaan dalam sistem komunis. Tembok
sepanjang 150km ini memisahkan bahagian Barat dan Timur Jerman untuk mengelak
majoriti rakyat melarikan diri ke negara lain melalui kawasan Barat Berlin. Lebih
150 orang mati ditembak oleh pihak patrol GDR ketika cuba melintasi 'no man's
land' di antara dua dinding puaka tersebut. Akhirnya, akibat kehancuran empayar
Soviet serta pertambahan mendadak pergerakan protes terhadap pihak GDR, sebahagian
tembok itu mula dibuka pada 9 November 1989. Secara rasmi, penyatuan dua kontinen
Jerman berlaku pada 3 Oktober 1990. Di atas permintaan sebuah yayasan- Topography
of Terror Foundation, sepanjang 200 meter tembok di Niederkirchnerstrasse masih
dipulihara. Ia bertujuan sebagai dokumentasi sejarah serta sebagai peringatan
terhadap kezaliman serta perikemanusiaan yang telah hilang pada suatu masa dahulu.
So
begitulah
antara celoteh, cerita, cita dan cinta yang dapat aku kongsi dengan kalian semua
buat masa ini. Ada rezeki teringin juga aku mencari ilmu hingga ke tembok China..InsyaAllah.
Chow!

NHK-30 Oktober 2004
***Teks ini diambil daripada zine 'sendawa'. Bagi
mereka yang berminat, boleh hubungi editor di : burpsendawa@yahoo.com